Oleh pada 18 Feb 2018 kategori

Sumber foto: thaihow.com (Gambar sekadar hiasan)

Sejumlah 62 daripada 8,623 staf jabatan kerajaan di negeri Johor yang melakukan ujian saringan air kencing, tahun lepas, didapati positif dadah.

Menurut Datuk Ayub Rahmat selaku Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor, keseluruhan staf tersebut melibatkan 197 jabatan kerajaan di negeri Johor.

Semasa saringan awal, beliau memberitahu, sejumlah 88 kakitangan didapati positif dadah, namun melalui ujian patalogi, cuma 62 individu disahkan.

Jelasnya, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Johor mengambil banyak pendekatan untuk menghapuskan penyalahgunaan dadah, khususnya dalam kalangan kakitangan awam di negeri Johor.

Antara usaha pencegahan dilakukan ialah kewujudan Program Tempat Kerja Bebas Dadah dimana pengisiannya merangkumi taklimat antidadah dan ujian saringan air kencing.

"Kerajaan memandang berat isu penagihan dadah dalam kalangan kakitangan awam dan sentiasa mengambil langkah tegas memastikan mereka tidak terbabit gejala itu.

"Arahan dikeluarkan menerusi Surat Pekeliling Am Bilangan 1 Tahun 1985 bertarikh 29 Januari 1985 memutuskan ketua jabatan mesti menubuhkan Jawatankuasa Antidadah bagi merancang dan melaksanakan program pencegahan serta pembasmian penagihan dalam kalangan pegawai dan kakitangan awam, termasuk ujian saringan air kencing secara mengejut," ujarnya.

Tambahnya, langkah AADK memastikan keseluruhan penjawat awam bebas gejala tersebut adalah bersesuaian dengan Dasar Dadah Negara 2017 (DDN2017) yang diluluskan menerusi Mesyuarat Jemaah Menteri pada 10 Mac tahun lepas.

"Kerajaan negeri menetapkan objektif Johor Bebas Dadah Menjelang 2018 dengan menyasarkan kadar penyalahgunaan dadah kurang daripada lima peratus jumlah penduduk di negeri ini," ujarnya.

Sumber berita: BH Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)