Gambar 'scammer' Foodpanda sebagai hiasan. Kredit : Todayonline

Saban tahun, kisah kejayaan individu yang terlibat dalam ekonomi gig mengutip pendapatan belasan malahan puluhan ribu, sering dikongsikan masyarakat kita.

Setiap kali kisah sebegini tular, perbincangan berkenaan potensi sebenar ekonomi gig untuk menjana peluang pekerjaan dan pendapatan kepada rakyat Malaysia mula mekar - sehinggakan ramai terpesona dengan angka pendapatan tinggi, memilih meninggalkan kerjaya sedia ada.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Namun tidak ramai yang mendadak bersemangat ini, mampu melihat kesan jangka masa panjang bergiat dalam ekonomi gig - bukan saja kepada status kita sebagai seorang pekerja bahkan kesan buruk jangka panjangnya kepada kita sebagai seorang warga biasa.

1. Pendapatan dikawal anda, tetapi realitinya...

pemandu uber tuntut elaun

Kisah berkenaan pekerja penghantar yang berdepan masalah pemotongan bayaran untuk setiap penghantaran memenuhi perbincangan media sosial, bukanlah sesuatu yang baru.

Ekonomi gig kitarannya memang begitu. Kebanyakan model perniagaan ekonomi gig dimulakan dengan syarikat akan menawarkan pelbagai jenis insentif kepada mereka yang menyertainya, sehinggakan kebanyakan syarikat perlu menanggung kerugian demi membina nama.

Selepas kitaran fasa pertama ini selesai dan pekerja berpusu-pusu masuk mengejar pendapatan mewah dengan bekerja sendiri ini - elaun dan bonus yang sebelum itu dijanjikan akan mula ditarik sikit demi sikit bagi memperbaiki kedudukan kewangan syarikat.

Di sinilah isu-isu berkenaan jumlah bayaran dan bonus mula dibangkitkan kumpulan pekerja.

Apa yang menyukarkan situasi, biasanya hak untuk meminda sebarang perubahan ke atas amaun yang dipersetujui 100% jatuh ke tangan syarikat. Hendak tak hendak pekerja perlu melakukan kerja lebih, demi memastikan amaun yang sebelum itu diperolehi kekal seperti biasa.

Itupun masih ramai percaya mereka adalah 'bos kepada diri sendiri.'

2. Berapa lama anda mampu melakukannya?

pekerja veteran ekonomi gig

Jika anda pernah menyertai ekonomi gig, anda akan bertemu ramai individu yang melihat karier dalam sistem ini sebagai sesuatu yang mampu di lakukan jangka masa panjang.

Ini disebabkan oleh kenikmatan yang mereka rasai memperolehi pendapatan yang jauh lebih tinggi berbanding kerja makan gaji sebelum itu. Realitinya, semua pekerja ekonomi gig pasti akan berdepan kesukaran dalam memastikan jumlah pendapatannya kekal konsisten.

Berapa lama agaknya seorang anak muda boleh bertahan menunggang motorsikal ke sana ke mari? 3 tahun? 4 tahun?

Sampai ke satu tahap, badan kita akan mula memerlukan rehat tetapi dalam masa yang sama, minda kita juga akan mula memikirkan kalau berehat - pendapatan tak ada.

Sebelum anda berhenti kerja tetap anda untuk mengejar amaun gaji besar yang sering tular - fikirkan berapa lama anda mampu melakukan kerja yang anda ceburi dalam ekonomi gig?

Kita memang mudah rasa teruja, tetapi realitinya tak ramai yang benar-benar cekal untuk melakukannya. Yang cekal pun, pasti akan ada masa berharap situasi lebih menyenangkan tiba.

3. Tiada perkembangan karier dan pengalaman berharga

gig ekonomi cabang

Seandainya anda ada pekerjaan tetap dan terpegun melihat pendapatan pekerja ekonomi gig, nasihat kami; jangan cepat alpa. Nilai pekerjaan tidaklah harus diukur dengan nilai wang ringgit semata.

Kepuasan kerja merupakan satu isu pokok yang perlu ada dalam semua pekerjaan kita.

Sekiranya anda mahu beralih kepada ekonomi gig hanya kerana disebabkan gaji besar, fikir semula. Ada banyak kelemahan dalam aspek perkembangan karier boleh berlaku, sekiranya anda bertukar ke bidang ekonomi gig.

Karier anda tidak berkembang. Anda tidak mampu memanjat hirarki pengurusan sesuatu organisasi. Anda bekerja sendirian. Anda tidak bersosial dengan kumpulan pekerja profesional lain yang mampu meningkatkan kemahiran anda.

Kemahiran anda juga tiada perubahan. Pengalaman bekerja sebagai penghantar makanan, bungkusan, barangan dan lain-lain yang berlaku secara ekonomi gig kurang mempunyai nilai di mata majikan bidang berbeza.

Perbandingannya - seorang penghantar makanan yang bekerja secara tetap dengan sebuah restoran makanan segera adalah lebih bernilai pengalamannya, berbanding dengan seorang penghantar makanan yang bekerja dalam ekonomi gig kerana penghantar makanan tetap turut perlu melibatkan diri dalam perjalanan pengurusan restoran itu sendiri.

Dia juga perlu berinteraksi dengan pengurus restoran, pekerja lain dan sebagainya. Pengalaman itu tidak wujud dalam sistem ekonomi gig yang popular.

4. Anda terdedah kepada bermacam risiko fizikal dan kewangan

wanita pemandu gig ekonomi

Walaupun makan gaji sering dikritik sebagai kerja senang, ramai orang sebenarnya tahu makan gaji merupakan satu bentuk pendapatan yang stabil. Yang kritik tu pun, sebenarnya kalau boleh nak gaji dia masuk bulan-bulan tetap kan?

Berbeza dengan pekerja ekonomi gig, individu yang memilih untuk makan gaji mempunyai beberapa kestabilan yang melegakan minda mereka.

Jika berlaku sebarang situasi di mana pekerja gagal hadir ke tempat kerja, gajinya masih berjalan. Bagi wanita yang perlu mengambil cuti bersalin selama beberapa bulan, dia tahu pendapatannya tidak akan putus.

Kisah-kisah berkenaan pekerja ekonomi gig yang kemalangan, tanpa mendapat bantuan syarikat pun dah kerap dikongsikan.

Tidak dinafikan ada faedah di tawarkan syarikat pengendali ekonomi gig bagi menampung perbezaan ini seperti insurans, latihan dan manfaat namun apa yang ditawarkan layak dikatakan pada kadar minima.

Nak ambil manfaat perlindungan seperti insurans atau takaful sendiri pun, berkemungkinan besar kumpulan pekerja ekonomi gig perlu membayar lebih kerana kelas risiko pekerjaan mereka.

5. Pekerja sebenarnyaperlu bersaing sesama pekerja

persaingan antara pekerja ekonomi gig

Ekonomi gig diramal akan terus kekal menjadi antara sistem pemacu ekonomi yang penting di negara kita. Namun dalam jangkamasa panjang, sistem ekonomi gig tidak membantu meningkatkan kualiti pekerja yang ada.

Kumpulan pekerja yang menyertai ekonomi gig adalah mereka yang sukarela menawarkan diri untuk bekerja, tanpa perlu menjalani latihan ketat atau kursus tertentu yang mampu mempersiapkan mereka.

'Kelonggaran' ini walaupun dilihat sebagai satu kelebihan, sebenarnya ada kesan buruknya.

Kualiti pekerja akan ditentukan oleh berapa bintang yang mereka capai. Bagi yang gagal mengekalkan kualiti bintang, tidak ada program atau latihan yang boleh mereka ambil untuk memperbaiki kualiti khidmat mereka. Mereka akan berdepan hukuman sama ada dikurangkan waktu kerja atau lebih teruk - ditamatkan terus penglibatan mereka.

Rasa tertekan yang hadir dalam memastikan skor bintang terpelihara. menjadi punca utama kenapa ramai yang terlibat dalam industri gig ini merasai tekanan jiwa dan raga.

Kita belum mengambil kira realiti sebenar ekonomi gig, di mana pekerjanya bersaing antara satu sama lain dalam merebut peluang pendapatan, yang dikawal selia sistem komputer berdasarkan 'prestasi kerja' mereka.

Bersaing dalam sektor ini mungkin akan memberikan pulang lumayan untuk beberapa ketika, tetapi dalam masa sama pekerja kehilangan portfolio yang membuktikan dia sebagai individu mampu bekerja dengan baik bersama satu majikan.


Jika anda berminat nak menceburi ekonomi gig, anggaplah ekonomi gig ini melalui tujuan asalnya dibentuk - sebagai sebuah pasaran ekonomi bebas..

Di mana organisasi atau syarikat mampu menggajikan pekerja berstatus bebas untuk bekerja sementara dalam bentuk komitmen atau kontrak yang singkat. Kata kuncinya di sini - 'sementara.'

Seandainya anda sudah ada kerja atau pendapatan tetap, janganlah mudah meninggalkan kerjaya anda hanya kerana terpedaya dengan potensi pendapatan tinggi yang tular dalam media.




Hakcipta iluminasi.com (2017)