Sudah lebih 10 hari penulis duduk berkampung di rumah. Rutin harian juga tidak banyak berubah dalam tempoh 10 hari ini, dengan lebih banyak masa dihabiskan membaca. Apa yang penulis baca, biarlah rahsia (hint - gosip artis).

Tidak dapat dinafikan perubahan jadual hidup kita yang sebelum ini mempunyai aturan tertentu, pasti akan menyebabkan timbulnya perubahan-perubahan yang tidak kita ingini atau sedari terjadi,

BESARKAN TEKS     A-  A+

Anda ada rasa perubahan pada diri anda? Berikut adalah lima perubahan terbesar yang berlaku pada penulis, sepanjang penulis akur dengan perintah kawalan pergerakan.

1. Jam biologi penulis memang kacau-bilau

jam biologi tertidur siang

Apabila kita dah biasa mempunyai rutin harian yang menandakan waktu kita bermula dan berakhir setiap hari serta aktiviti yang mengisi tempoh-tempoh itu, amat memeranjatkan juga pada penulis bagaimana dipaksa bekurung dalam rumah, menyebabkan jam biologi penulis tidak keruan.

Ada masanya penulis terjaga pada jam 3.30 pagi tanpa sebab. Kadangkala seawal lapan pagi dah rasa mengantuk. Tengahari tidak terjejas sangat emosi tetapi sampai saja waktu petang, penulis mula jadi tak tentu arah. Ini kerana setiap petang sebelum ini penulis akan memanfaatkan masa ini dengan berbasikal sendirian di tepi tasik yang indah.

Bagaimanapun, perkara ini tidak lagi mampu penulis penuhi. Jadi waktu petang, penulis akan tertidur sebelum terjaga sekitar sebelum Maghrib. Kemudian berjaga kembali sebelum rasa mengantuk tak tentu hala. Ada masanya 10 malam. 11 malam. 1 pagi. Yang buat penulis rasa emo sikit - 3 pagi saja, penulis mesti terjaga balik.

2. Rasa letih

rasa mudah penat kerana kawalan pkp

Duduk saja tanpa buat apa-apa aktiviti agak memenatkan. Penulis bernasib baik duduk di rumah teres, jadi adalah juga tanah sekangkang kera nak buat bercucuk tanam. Tak boleh penulis bayangkan bagaimana rutin individu yang duduk di kawasan kediaman berbentuk tinggi.

Siapa sangka duduk saja tak buat apa meletihkan? Pada pandangan penulis, rasa letih itu sebenarnya datang daripada kelembapan otak kita yang tak perlu memikirkan apa-apa sangat.

Apabila tiada rangsangan kepada badan, otak mula menjadi perlahan menyebabkan kita pun secara tak langsung jadi lemah saja seluruh anggota tubuh badan. Penulis cuba berlari di sekeliling laman rumah tetapi malangnya aktiviti itu mendapat perhatian jiran penulis. Rata-rata mereka memandang aneh kelakuan yang ditontonkan.

3. Banyak kali makan

kuat makan sempena pkp rmo

Hanya lelaki yang dah berkahwin faham godaan makanan pada hidup seorang lelaki, apatah lagi apabila kita dikurniakan seorang isteri yang pandai serta rajin memasak. Sikit-sikit masak, sikit-sikit masak.

Itulah yang dihadapi oleh penulis setiap hari sepanjang tempoh PKP ini. Jika sebelum ini jadual makan penulis agak teratur, tetapi kini apabila ada saja ruangan kosong - makan akan jadi aktiviti utama.

Apa yang lebih menghairankan, sepanjang PKP inilah penulis kerap berkunjung ke restoran-restoran yang menyediakan perkhidmatan pembelian makanan pandu lalu.

Walhal sebelum ini tengok saja dari jauh. Anda berhadapan 'masalah' serupa?

4. Nikmat memandu dengan tenang

jalan lengang akibat covid19

Duduk di kawasan yang agak sesak, penulis kebiasaannya perlu meredah kesesakan jalan terlebih dahulu untuk ke mana-mana. Seronok juga memandu membeli barangan harian di kedai dalam keadaan jalan lengang.

Beginilah agaknya suasana jalan raya pada era 70-an ke 80-an? Jalan lengang. Sekali-sekala saja berselisih dengan kereta, tak ada kereta cucuk-cucuk kita dari belakang. Nak keluar simpang pun mudah. Bezanya, di depan pintu masuk lebuhraya, berkumpul pasukan tentera dan polis mengawal laluan.

Boleh tak kita kekalkan situasi sekarang selepas PKP selesai? Bolehlah, untuk kesenangan penulis nak ke mana-mana. Memandu pun senyum je. Dibantu dengan harga petrol yang murah. Tak pernah lagi penulis rasa harga petrol sebegini rupa semenjak penulis ada lesen.

5. Rindukan boss di pejabat

setiausaha cantik shafie apdal 194

Sampai saja ke pejabat, tengok muka boss rasa meluat saja. Bincang minta naik gaji sikit, mulalah bermacam alasan dia keluarkan. Mana kesalahan yang dia buat, senang saja dia pindahkan kesalahan pada pekerja bawahan macam penulis. Mana kerja yang hasilnya bagus, cepat saja dia akui 'hasil kerja kumpulan di bawah kendalian saya.'

Senang cerita nak jumpa pegawai atasan yang mampu menyenangkan hati kita, samalah seperti pencarian sebatang jarum dalam jerami - sukar!

Walau bagaimanapun, bila dah terpaksa bercuti ini dan diminta bekerja dari rumah, teringat pula keletah boss. Bagaimana dia cuba mengelat bila dia nak mengelat. Perangai dia yang tak nak mengaku salah. Rindu pula nak tengok dia sibuk buat-buat sibuk.

Boss, perintah kawalan pergerakan ini membuatkan saya rindu pada boss. Percayalah, walaupun kita kerap tak sependapat - apabila berjauhan, boss menjadi antara individu yang saya kerap fikirkan. Selain daripada setiausaha boss.

Apa khabar dia? Pandai boss pilih setiausaha!

6. Betapa nikmatnya dapat hidup dalam rutin biasa

nikmat bekerja setiap hari

Semasa kita menjalani kehidupan normal, ramai antara kita memandang ringan nikmat menjalani hidup secara teratur bukan? Mungkin ada di kalangan kita gemar menyumpah seranah jadual kerja yang dikatakan mengaturkan hidup kita.

Kita mahu kehidupan bebas, tidak dikunci dan dikawal, mahu kerja tanpa ada sekatan masa, pergi kerja dan balik kerja sesuka hati kita (asalkan kerja berjalan). Ramai orang mahu jadual kerja fleksibel.

Tetapi apabila kita dikerah untuk hidup dalam jadual yang terlalu fleksibel seperti sekarang, di mana kita boleh melakukan apa saja yang kita mahu, hidup santai-santai, tenang-tenang dan enjoy-enjoy; kita akan mula merasakan perlunya 'kekangan-kekangan' agar diri kita jadi lebih terurus.

Sukar sebenarnya nak 'work from home' walaupun ramai yang nak sangat 'work from home' sebelum ini kan? Bab disiplin yang paling susah nak bentuk.




Hakcipta iluminasi.com (2017)