Oleh pada 20 Sep 2022 kategori

Hendak tak hendak, kita terpaksa mengakui media sosial sudah menjadi satu elemen penting dalam fabrik masyarakat dunia.

Mempunyai lebih 4.5 billion pengguna secara keseluruhannya, media sosial yang hadir dalam pelbagai jenis bentuk dan platform kini bukan saja layak digelar sebagai medan komunikasi utama dunia bahkan turut sama telah mengambil alih bidang penyiaran biasa.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kehadiran media sosial membiasakan kita dengan kewujudan identiti kita di internet, mengubah banyak elemen secara kekal dalam kehidupan kita.

Selain keterbukaan dalam identiti, berikut adalah lima perubahan yang telah berlaku akibat media sosial yang tak mungkin boleh dipatah balik, bakal diteruskan generasi-generasi kita seterusnya.

1. Makin ramai selesa depan kamera

tiktok lahirkan selebriti internet

Zaman sekarang ramai individu selesa untuk beraksi depan kamera; baik melalui rakaman secara sendiri ataupun dibantu rakan atau kenalan yang menghalakan lensa.

Keselesaan ini juga mendorong kepada terciptanya 'karier-karier' baru melalui media sosial seperti pempengaruh atau influencer yang menjana pendapatan hanya dengan memiliki pengaruh luas.

Tidak ada lagi kekangan seperti dulu di mana hanya orang tertentu saja boleh disiarkan dalam kaca televisyen.

Sekarang ini asalkan anda berani serta tidak kekok; bermacam jenis kandungan dapat anda hasilkan sama ada secara sendiri ataupun dengan pertolongan seorang dua kenalan yang mempunyai minat sama untuk disiarkan tanpa sekatan dalam platform pilihan anda.

2. Penanda aras bakat kita makin rendah

tiada bakat pun boleh popular

Walaupun semakin ramai individu bebas mencipta dan mengeluarkan karya, dalam masa yang sama dapat kita lihat penanda aras yang diperlukan untuk seseorang dikira berjaya juga menjadi semakin rendah.

Ada orang popular hanya kerana dia pandai buat mimik muka depan kamera. Ada orang digilai kerana mampu buat miming lagu dengan bergaya. Yang tak ada talent langsung pun boleh ada peluang untuk berjaya.

Semakin kuat pengaruh media sosial, kadar keperluan untuk seseorang dinilai sebagai 'berbakat' semakin rendah sehingga mengakibatkan tidak ada lagi keperluan untuk kita mencuba sesuatu yang mencabar dalam hidup dalam mengejar populariti.

Banyak pempengaruh media sosial yang mencipta kandungan berkualiti tinggi sukar mendapat reaksi atau sokongan, jika dibandingkan dengan pempengaruh yang mencipta kualiti sampah. Maaflah.

Situasi ini jika kekal (dan kami yakin akan kekal) hanya akan mengakibatkan kejatuhan nilai dan kualiti kandungan yang layak kita kategorikan sebagai karya asli.

Karya yang terhasil dan diterima baik akan jadi semakin pendek, ringkas serta 'straight to the point' sehingga meninggalkan nilai-nilai budaya masyarakat kita, yang sangat berlapik dan berbahasa dalam berkarya dan bercerita.

3. Kualiti kewartawanan media makin menurun

kualiti berita makin menurun

Satu perubahan ketara yang jelas terpapar dalam masyarakat kita adalah nilai sesuatu berita. 

Jika satu masa dahulu wartawan perlu melakukan siasatan secara terperinci bagi membolehkan laporan yang sahih, tepat dan sensasi dilakukan, kini 'wartawan-wartawan' yang ada tak kiralah sama ada berstatus jurnalis atau penulis portal macam kami ni, ramai memilih kerja senang.

Buka laman sosial dan cari topik tengah trending atau tular....kemudian ulas.

Oleh kerana itulah perbincangan di kalangan ahli masyarakat juga jadi semakin kurang nilai inteleknya. Disebabkan itulah tahap topik arus perdana kita. Artis mana tak selera makan. Influencer mana songlap duit orang. Siapa gaduh dengan siapa dalam media sosial.

Nak menulis topik sebegitu mudah saja. Pilih isu hangat dan ulas. Pejam mata pun boleh.

Tetapi sebagai penulis atau jurnalis, tidakkah kita perlu ada rasa tanggungjawab untuk melaporkan atau menceritakan sesuatu yang mampu memberi impak baik kepada masyarakat? 

4. Kita rajin mengkritik dan memperbetulkan orang lain

kritikan dan berani dalam media sosial

Bagi orang berhati tisu sikit seperti penulis, menerima kecaman orang lain atas hasil penulisan kami di sini adalah sesuatu yang menakutkan. 

Kecaman ya, menakutkan. Kalau pendapat berbeza, kami suka dan kami alu-alukan.

Ada orang yang mungkin kurang bersetuju dengan penulisan kami, dia merasakan satu-satunya cara untuk menyuarakan ketidaksetujuan dia adalah dengan mengecam kami sebagai anggota freemason misalnya. Itu kecaman.

Media sosial membuatkan sesiapa saja yang ada simpan rasa tak puas hati, jadi berani meluahkan perasaan itu secara terbuka. (Kalau yang penakut sikit - dia akan guna akaun palsu.)

Situasi sama juga dapat kita nampak bila ada orang yang tak sependapat dengan kita. Waktu tu akan membuaklah rasa dalam diri kita ni berusaha membetulkan pandangan dia, agar selari dengan kita. 

Hinggakan ada orang tak dapat buat kerja, seharian membalas komen berdebat dalam media sosial selagi rasa menyirap dalam diri tak hilang.

5. Kita sibukkan diri dengan masalah yang tidak berkait kita

kes mahkamah diikuti masyarakat

Anda pernah tak kira berapa minit dalam hidup anda sehari anda gunakan untuk cuba menyelesaikan masalah orang lain? Ramai yang buat perkara sebegini kan?

Setiap kali tular sesuatu isu, berduyun-duyun kita cuba memberikan pandangan walaupun perkara yang dibincangkan itu di luar kemampuan dan kemahiran kita. Kita cuba menasihati, menenangkan serta memberikan petunjuk apa yang perlu dilakukan pihak-pihak terlibat agar keadaan jadi lebih jernih. 

Ada orang cerai? Kita ada pandangan kita. Ada orang bergaduh? Kita nak jadi ejen pendamai walaupun yang bergaduh tu tak kenal pun kita dalam dunia nyata. 

Ada orang kena scam? Habis semua tips elak scam kita, kita kongsikan walaupun semalam baru kita kena scam dengan karipap inti oksigen. Kadangkala apabila difikirkan, tak perlu pun kita masuk campur masalah-masalah orang lain ini tetapi tarikannya cukup kuat kan?

Adakah ini sudah jadi satu kebiasaan pada anda, suka enter frame masalah orang lain tanpa semena-mena?

6. Minda kita penat mencari topik atau isu untuk dijadikan konten kita

influencer cipta kandungan

Mungkin anda tidak menyedari situasi ini, kerana ianya sudah biasa berlaku kepada anda.

Adakah anda salah seorang daripada individu pengguna media sosial, yang sentiasa memikirkan tentang apa yang boleh anda muat naik sebagai kandungan? Contohnya - anda nampak ada sesuatu yang menarik berlaku, adakah anda ada terasa nak kongsikannya kepada semua pengikut anda?

Atau mungkin juga melibatkan benda-benda kecil dalam hidup anda seperti apa yang anda lakukan hari ini, ketawa anak-anak anda, apa yang anda makan atau minum atau gambar pemandangan yang anda rasa cantik? 

Adakah setiap kali anda melalui sesuatu yang lucu, aneh, menarik, indah, menakutkan dan sebagainya...fikiran pertama yang bermain di kepala anda adalah 'oh, ni kalau kongsi kat media sosial, best ni! Bagus ni!'

Susah kan menjadi sebahagian daripada mereka yang setiap hari dalam kepala 'sibuk' memikirkan apa topik yang boleh dimuat naik, untuk dijadikan topik? 

Media sosial telah mengubah kita semua untuk menjadi 'pencipta kandungan bebas' tanpa sebarang bayaran atau imbuhan untuk kita terima.

Kita secara sukarela menawarkan tenaga dan masa kita, untuk menyiapkan sesuatu yang tak memberi sebarang pulangan kepada kita melainkan rasa puas sahaja.

Berapa lama tamadun manusia boleh bertahan dalam situasi sebegini, sebelum ramai di antara kita menyerah kalah dan mengangkat tangan, mengakui 'budaya pencipta kandungan' ini bukanlah sesuatu yang patut kita jadikan biasa? 




Hakcipta iluminasi.com (2017)