Oleh pada 15 May 2023 kategori

Dalam hal berkaitan fiqah, masyarakat Islam di Malaysia rata-ratanya positif menuruti garis panduan atau fatwa yang diwartakan, oleh badan Islam di negara kita.

Kita sebagai sebuah masyarakat gemar berbicara bab fatwa yang akan dijadikan kata putus atau solusi kepada sesuatu polemik yang timbul, membolehkan sesuatu perbalahan dapat menemui jalan tengah dengan baik. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berkenaan pewartaan fatwa ini, mungkin tidak ramai belum menyedari penggunaan media sosial juga sebenarnya mempunyai panduan sendiri yang wajar untuk kita ikuti. Berikut adalah 7 fatwa berkenaan tatacara penggunaan media sosial yang baik untuk kita teladani.

1. Isteri suka buat live di media sosial

fatwa berkenaan penggunaan media sosial

Dalam mencari rezeki melalui perniagaan, ramai peniaga khususnya di kalangan wanita yang menjadikan platform siaran langsung media sosial sebagai ruang niaga yang efektif.

Adakah seorang wanita khususnya yang sudah bergelar isteri, perlu mendapatkan keizinan suami sebelum melakukannya? Ya. Itulah pandangan yang dikongsikan Mufti Pahang (fail PDF)- walaupun jelas tujuan siaran langsung mahu dianjurkan adalah baik.

Selain wajib mendapat keizinan suami, seorang wanita juga harus memastikan perwatakannya, kelakuannya serta tindak-tanduknya mencerminkan maruah tinggi serta menjaga kehormatan diri sendiri.

Pemilihan pakaian yang ketat kerana sengaja mahu menarik minat individu lain menonton haruslah dijauhkan.

2. Individu suka kongsi gambar tidak menutup aurat dengan kenalan rapat sama jantina

media sosial fatwa dalam islam

Kami yakin ada di kalangan individu khususnya wanita, yang gemar berkongsikan gambar-gambar tanpa penutupan aurat sempurna dalam kumpulan rakan yang dipercayai.

Dalam isu ini kita perlu jelas, sebagai seorang Muslim baik lelaki mahupun wanita - hukum dan adab sudah terang melarang kita daripada berkongsikan gambar kita dalam keadaan tidak menutup aurat kepada orang lain.

Apa yang dikhuatiri, gambar yang kita kongsikan walaupun hanya dikirimkan kepada kenalan sama jantina kita - akan dapat ditatap oleh orang lain pula, seperti suami kawan anda, bapa, adik beradik lelaki dan sebagainya.

Dalam erti kata lain, memuat naik gambar atau video yang tidak menutup aurat dengan sempurna sewajarnya dielakkan kerana itu adalah tindakan yang lebih baik.

3 Muat naik gambar pasangan bercumbu di media sosial

pasangan berkahwin bercumbu

Kadangkala penulis akan terserempak dengan perkongsian pengantin baru, yang memuat naik gambar mereka sedang bertentang mata hampir-hampir berciuman. Ramai juga yang tidak segan silu berkongsikan aksi-aksi mesra sesama pasangan.

Memang dari satu aspek, kedua-duanya adalah suami isteri yang sah dan halal, tetapi tindakan itu tetap dianggap tidak sepatutnya dilakukan. Ini kerana perkongsian sebegitu mencerminkan sifat malu yang berkurangan.

Dalam perspektif Islam, mencium isteri di hadapan khalayak ramai baik secara langsung ataupun perkongsian media sosial ditakrifkan sebagai perbuatan yang menjatuhkan maruah pasangan.

Senang cerita, tak semua aspek kemesraan rumah tangga harus dikongsikan secara terbuka walaupun kita suami dia, dia isteri kita dan sebaliknya. 

4. Kongsi masalah rumah tangga di media sosial

dedah masalah rumah tangga kepada umum

Zaman sekarang sudah menjadi trend pula di kalangan warga siber 'mengumumkan' masalah rumah tangga mereka, melalui pengisytiharan di media sosial.

Sama seperti panduan pasangan yang baik tidak akan mendedahkan kemesraan sesama mereka secara terbuka, menutupi masalah rumah tangga daripada disebar, dibincangkan dan dihakimi pihak-pihak tidak semena-mena juga haruslah dijadikan amalan kita.

Tidak ada apa-apa yang baik akan datang daripada tindakan kita 'memohon sokongan' netizen dalam mengharungi kejatuhan rumah tangga, kerana konflik yang berlaku sepatutnya ditangani hanya oleh pihak yang terlibat sahaja.

5. Bolehkah kita simpan gambar orang lain?

media sosial daripada aspek islam

Salah satu isu yang jarang diberikan perhatian, akibat kebiasaan kita memuatnaik gambar sendiri ke media sosial - adalah bagaimana mudahnya orang lain memuat turun gambar kita untuk dijadikan koleksi peribadi.

Anda tahu anda kacak atau cantik. Anda kerap muat naik gambar anda atas bermacam tujuan. Bayangkan jika ada di luar sana individu yang mengumpul koleksi gambar anda.

Apa perasaan anda? Bangga? Takut? Gementar? Benci dalam suka? Apa agaknya tujuan mereka menyimpan gambar anda? 

Menyimpan gambar teman lelaki atau wanita hanya disebabkan landasan nafsu, adalah tidak dibenarkan sama sekali begitulah juga tindakan seseorang yang rajin menyimpan gambar bukan mahram disebabkan oleh kecantikan atau ketampanan individu dalam gambar.

Memiliki gambar bukan mahram atas dasar tujuan muamalat atau urusan rasmi, adalah dibenarkan seperti gambar beramai-ramai semasa majlis dan sebagainya.

Jadi kenapa kita nak membiarkan gambar kita mudah diakses sesiapa saja?

6. Suka troll orang di media sosial

troll internet provokasi 342

Ramai tahu budaya troll atau sengaja mengusik, menyindir atau menjatuhkan maruah orang lain sudah menjadi budaya sebati dalam media sosial.

Semakin handal seseorang trolling, semakin ramailah pengikutnya. Itu lumrah netizen.

Harus diperjelaskan hukum sebenar menggunakan media sosial asasnya adalah harus  tetapi perbuatan trolling, sama ada menggunakan tulisan, video dan sebagainya dengan niat mahu memulakan pertengkaran, perbalahan dengan cara yang provokatif bagi mengusik emosi individu yang disasarkan - adalah tidak dibenarkan.

Hujahnya jelas kerana ada banyak firman Allah swt. melarang kita mengejek, menggelar, menghina, merendah-rendah dan melaknat sesama sendiri. Anehnya dalam era media sosial, lagi lahanat mulut seseorang, lagi disanjung akaun itu walaupun akaun itu akaun palsu.

7. Suka 'sharing-sharing' kemewahan 

tayang kemewahan dalam media sosial hukum

Media sosial sudah menjadi platform di mana penggunanya tidak segan untuk berkongsi kemewahan diri, dalam bermacam gelagat.

Ada yang gemar memuatnaik gambar melancong, ada yang memuatnaik apa dia beli hari itu, ada yang suka memuatnaik bukti kejayaan dan ada juga yang kerap muat naik makanan mewah yang dia makan hari itu. Ada bermacam caralah senang cerita.

Salahkah kita berkongsikan kemewahan atau rezeki yang kita terima ini? Tidak! Tak salah. Malahan harus hukumnya tetapi semuanya mestilah bergantung kepada niat melakukannya.

Adakah seseorang yang suka sharing pasal ke mana dia melancong, makanan dia, barangan apa dia beli dan bukti kejayaan dia melakukannya atas sebab mahu bermegah, berbangga diri dan riyak? Jika tidak ada ciri-ciri tersebut dalam diri pelaku itu, dia boleh melakukannya. 

Tetapi kalau dibuat sekadar nak menunjuk-nunjuk atau dalam bahasa orang sekarang 'nak memberikan inspirasi kepada orang lain', simpan sajalah perkongsian anda itu hanya untuk tatapan sendiri.




Hakcipta iluminasi.com (2017)