pkpd alor setar kota setar kedah

Foto kredit astroawani

Norma baru yang diperkatakan sebelum ini kini layak dikatakan sudah menjadi satu kebiasaan biasa, bukan lagi sesuatu yang baru untuk kita.

Walaupun masih ada pihak yang tidak mengenakan topeng muka atau masih lagi nak berdiri dekat-dekat antara satu sama lain, majoriti rakyat Malaysia pada pandangan penulis rata-ratanya mengikuti dengan baik perubahan norma rutin kita selama ini.

Banyak pihak melihat pandemik sebagai sesuatu yang negatif (memanglah kan?) namun di sebalik semua gejala yang melanda, harus kita akui wujud beberapa perubahan positif pada masyarakat kita yang berlaku akibat ketakutan kita pada virus.

1. Sabun kini sentiasa ada di tandas

sabun anti bakteria di tandas

Pengalaman penulis dengan tandas awam walaupun berbayar sekalipun, kebiasaannya buruk. Sabun basuh tangan jarang sekali berisi dan pengering tangan pun, ada masanya tidak berfungsi.

Tetapi sekarang ni pergi saja basuh tangan, bukan saja di tandas malahan di sinki-sinki restoran sekalipun ada disediakan sabun yang betul! Bukan lagi sabun campur air yang selalu disediakan sebab nak jimat belanja.

Kondisi tandas pun penulis nampak jauh lebih baik berbanding sebelum PKP dan semua peralatan yang dulu compang-camping, kini dah dibaiki dan diselia bagi memastikan tandas-tandas ini patuh standard SOP. Malaysia memang boleh!

2. Premis perniagaan selalu dibersihkan

membersihkan meja makan

Jika dulu ramai pekedai kebiasaannya ambil mudah saja kaedah mengelap meja, hanya dengan menggunakan kain buruk yang entah bila dicuci - kini kedai yang penulis kunjungi pelayannya pasti akan menyembur sabun sebelum mengelap meja.

Itu satu perubahan yang sangat drastik! Apatah lagi kedai-kedai ini mula lebih rajin menyapu dan membersihkan lantai.

Kadangkala rasa macam makan di kedai mamak pula bila kita tengah-tengah makan pun, ada yang datang nak mop berdekatan kita. Tapi demi kebersihan, penulis tahankan saja. Harapnya berkekalanlah.

3. Lebih selesa makan di kedai akibat jarak renggang

kedai makan amalan kebersihan

Salah satu perkara paling merimaskan penulis selama ini adalah apabila susunan meja dan kerusi di kedai makan agak rapat, menyebabkan kita mampu berlaga dengan orang belakang kita.

Dengan pengenalan syarat agar setiap premis perniagaan mewujudkan jarak renggang antara meja-meja pelanggan, keselesaan untuk makan di luar meningkat dengan positif.

Kini jarak antara meja ke meja di semua premis tampak lebih besar, membolehkan penulis khasnya makan dengan lebih tenang tanpa ada kerusi melanggar penulis semasa penulis sedang minum air panas.

4. Rasa tenang nak keluar duit

beratur di atm

Pernah tak anda nak keluar duit di mesin ATM dan individu di belakang anda macam tak faham bahasa, berdiri rapat-rapat macam dia nak tahu sangat berapa baki akaun anda? Mesti pernah kan?

Lega rasanya zaman PKP ni bila setiap bank dan premis yang mempunyai ATM meletakkan penanda yang sepatutnya pada semua mesin, bagi memastikan jarak antara pelanggan ke pelanggan terjaga.

Tak adalah sesiapa tahu berapa baki sebenar akaun bank penulis. Bagaimanapun, bila dah gaji tu ada masanya penulis saja-saja tinggalkan resit penyata di mesin kononnya buat-buat terlupa - kalau orang belakang tu sibuk nak tahu sangat berapa yang penulis ada.

Setakat ni belum ada yang terpesona.

5. Stesen minyak akhirnya membersihkan pam

shell pkp sanitasi pam minyak

Ramai sebenarnya yang ketika memandu kereta, gemar mengorek hidung. Kemudian dia buka tingkap, jentik tahi hidung itu keluar semasa kereta memecut laju.

Sampai di stesen minyak, terus dia capai pam dan mula mengepam minyak ke dalam tangki kereta. Selesai urusan, dia pun memecut keluar meninggalkan pam minyak yang dah 'tercemar.'

Semasa PKP ni, penulis perasan kebanyakan pam petrol yang penulis gunakan ada ditandakan dengan label 'saya selalu disanitasi.' Penulis yakin sajalah yang sanitasi itu benar-benar berjalan.

Satu persoalan yang penulis ingin bangkitkan di sini adalah - kenapa kena PKP dulu baru pengusaha stesen minyak terfikir keperluan untuk sanitasi pam dengan lebih kerap?

Persoalan lebih besar : kenapalah dah PKP ni barulah segelintir ahli masyarakat kita baru mula nak ambil serius tentang perkara-perkara yang penulis sebutkan di atas keseluruhannya?



Hakcipta iluminasi.com (2017)