Oleh pada 06 Aug 2022 kategori

Kita manusia, mempunyai pelbagai jenis ragam dan perangai masing-masing yang membawa kepada keunikan diri kita. 

Ada perangai elok dan positif yang membuatkan ramai mesra dan mudah akrab dengan kita. Ada juga sesetengah individu yang mempunyai perangai, tabiat dan ciri-ciri yang agak menjengkelkan - tetapi sukar ditegur dek keengganan kita untuk menimbulkan sebarang konflik.

Setiap hari kita berdepan dengan ramai individu dan berikut adalah lima perangai orang yang menjengkelkan, tetapi perlu kita hadapi dengan tabah dan sabar - walaupun dalam hati mungkin nadanya jauh berbeza.

1. Gelak lawak sendiri

ketawa lawak sendiri

Salah satu perkara yang sangat-sangat ketara bagi sesetengah orang yang tidak ada bakat dalam komedi, mereka tidak mempunyai kemahiran yang digelarkan sebagai comic timing yang baik. 

Cubaan mereka untuk membuat kelakar sukar difahami, tidak jadi serta hanya mengakibatkan orang lain keliru dengan apa yang berlaku.

Mungkin bagi golongan sebegini, selepas menyedari situasi sama sering berulang - mereka mula mengakhiri dialog lucu mereka dengan ketawa terhadap lawak atau cerita sendiri bagi menandakan apa yang mereka bualkan itu sebenarnya lawak.

Argh. Bual sikit, ketawa besar. Cerita sikit, ketawa besar. Duduk berborak dengan orang sebegini samalah seperti kita sedang berada dalam sitkom dunia nyata yang memerlukan audio ketawa bagi memastikan penonton ketawa.

2. Gebang pasal kejayaan diri 

suka bercerita tentang diri sendiri

Daripada 10 orang kenalan anda baik yang rapat ataupun sekadar rakan sepejabat, mesti ada sekurang-kurangnya seorang yang sangat suka bercerita tentang diri sendiri.

Apa dia buat hujung minggu, dia ke mana hari itu, dengan siapa dia lepak, anugerah apa dia menang, jejaka/gadis mana berjaya dia pikat bla bla bla...Anda faham-fahamlah sendiri.

Walaupun kita sedang melepak ramai-ramai pun dan masing-masing cuba nak berborak tentang satu sama lain, orang seperti ini mahu topiknya tertumpu kepada dia dan semua kisah menarik hidupnya.

Lebih aneh, kisah-kisah itu diceritakan tanpa sebarang permintaan. Sebagai contoh, bila orang lain tengah bercerita tentang melancong, dia menyelit "oh, aku pun baru ke sana minggu lepas..." sebelum bercerita panjang lebar tentang sesi pelancongan dia.

3. Gemar main kahak dan meludah

tabiat suka meludah

Satu perbuatan yang cukup menggelikan penulis setiap kali duduk di kedai makan, adalah apabila perlu mendengar orang lain berdeham bagi melegakan tekak akibat ada kahak. Dia punya tarik tu, bunyinya dah ala enjin motor pakai ekzos buluh nyaringnya.

Nak burukkan lagi keadaan, golongan sebegini tidak cukup dengan gemar berdeham - sebaliknya turut sama gemar meludah merata-rata. 

Tengah berjalan ke kereta, dia meludah. Tengah tonton bola di stadium, dia boleh meludah di bahagian tangga. Tolonglah bang, geli tau tabiat abang tu. Kami sebutkan abang kerana jarang kami nampak wanita gemar meludah ni. 

Selalunya lelaki. Selalunya juga lelaki tu suka pakai gelang dan bawa beg pouch. Tak tahulah kenapa.

4. Suka panggil pelayan dengan bersiut dan petik jari

panggil pelayan restoran mamak dengan menyuit bersiul petik jari

Cuba anda muncungkan bibir anda rapat-rapat dan tarik angin ke dalam mulut. Bibir anda akan mengeluarkan satu bunyi ibarat belon yang sedang terlepas anginnya kan? 

Dalam masa sama, cuba angkat tangan anda tinggi-tinggi, petik jari sehingga berbunyi. OK. Ulangi kedua-dua gerakan itu berulang kali dan selang selikan dengan panggilan 'waiter! Waiter!' 

Memanggil pelayan kedai atau restoran dengan aksi sebegitu membuatkan kami secara automatik merasakan orang itu agak kurang adabnya. Tetapi aksi sebegitu kerap berlaku. Kami tak tahulah kenapa. 

Mungkin bagi mereka yang melakukannya merasakan tidak ada apa-apa yang negatif tentang perbuatan itu. Tetapi cuba anda dipanggil sebegitu oleh orang lain semasa anda sedang bekerja. Bayangkan. Anda tak rasa seolah terhina ke dipanggil-panggil sedemikian rupa? Kita yang perlu menyaksikannya pun malu dengan perbuatan sebegitu, walaupun kita tak kenal siapa pelakunya.

5. Suka berbual dengan wajah dekat

bercakap dekat sangat dengan muka kita

Empat perangai menjengkelkan yang kami senaraikan di atas, secara rasminya tidaklah mengganggu kita secara fizikal. Namun yang terakhir ni - memang membuatkan sesiapa saja rasa sangat tidak selesa. 

Ada segelintir individu kenalan kita, setiap kali dia berbual entah kenapa dia perlu meletakkan wajahnya sangat dekat dengan muka kita. Nak kata suara kita terlalu perlahan untuk didengari atau mungkin dia kurang pendengaran, tak pula. 

Bukan saja jarak badan hampir, mereka ini juga perlu merenung muka kita dengan kadar fokus yang agak menakutkan sepanjang perbualan. 

Perlu kami ceritakan di sini - kajian sains memang membuktikan ada di kalangan kita, wujud individu-individu yang otaknya mempunyai masalah untuk memproses kefahaman tentang ruang jarak peribadi. Mereka ini juga sukar untuk mentafsir rasa kurang selesa yang terpapar pada riak wajah orang lain. 

Jika anda berhadapan dengan situasi sebegini, tenang dan jangan salah faham, dia bukannya tertarik kepada anda.



Hakcipta iluminasi.com (2017)