Setiap hari semua orang dibekalkan tempoh waktu 24 jam yang sama. Bagaimana nak menguruskannya, terpulang kepada kita (atau boss kita).
Walaupun ramai suka mengaku kita sibuk dengan urusan penting, dalam masa yang sama ramai juga di kalangan kita menghabiskan masa dengan urusan atau perbuatan yang langsung tak berfaedah.
Tidak diketahui untuk apa kita melakukannya, walaupun kita konsisten melakukannya. Berikut adalah lima perbuatan tak ada faedah yang kita buat setiap hari sama ada kita sedar atau tidak melakukannya.
BESARKAN TEKS A- A+
1. Mengkritik orang secara terbuka
Dalam era di mana komunikasi berlaku melalui pelbagai sudut, satu kaedah utama menjadi pilihan ramai individu meluangkan masa adalah dengan menghamburkan kritikan.
Tak kiralah dalam media sosial atau ketika bertemu di dunia nyata, mengkritik sesuatu isu atau topik itu sudah jadi lumrah ramai pihak.
Tanya dengan diri kita sendiri - apa faedahnya kita mengkritik sehingga berjam-jam lamanya untuk mengkritik isu yang biasanya di luar batasan kemampuan dan pengetahuan kita?
Ramai semakin berani mengkritik secara terbuka, kerana kewujudan media sosial dan internet memudahkan kita rasa kita 'tahu' tentang sesuatu isu.
Realitinya, jika kita bandingkan apa yang kita tahu dengan pakar-pakar dalam isu yang kita kritik - bagai langit dengan bumi berbezanya kemampuan kita.
Seorang sarjana barat bernama Alexander Pope mengkritik sikap sebegini dengan sinis dalam sebuah sajak yang mempunyai ungkapan 'a little learning, is a dangerous thing.' Dalam era internet, itulah yang sedang dan telah berlaku.
2. Menunjuk kepada orang tak kita kenali
Mak ayah dan nenek moyang kita tak buat pun perangai menghebohkan perkara bersifat peribadi, seperti membeli kereta baru, rumah baru, pergi melancong dan sebagainya.
Kenapa kita pula melakukannya? Kepada siapa kita tujukan perkongsian-perkongsian ini dan apa matlamat sebenarnya?
Realitinya, sebarang usaha kita untuk menunjuk atau menayang di internet atau dunia nyata tidaklah mampu memberikan apa-apa faedah, melainkan kita saja yang rasa puas dengan 'kelebihan' yang kita ada.
3. Usaha keras menang perbalahan di internet
Sekiranya kita dianugerahkan hadiah wang tunai atas kejayaan menang debat internet, nampaklah logiknya kenapa ramai menghabiskan masa membetulkan pandangan orang lain..
Tetapi realitinya tiada ganjaran apa pun terhasil dari kemenangan kita. Apa yang kita ada menjadi 'bukti' kemenangan kita adalah rasa puas hati - yang hanya kita rasa.
Mana-mana pengguna media sosial khususnya cenderunh ada rasa sebegini, mahu membetulkan orang lain di internet yang punya pandangan berbeza.
Kita mahu mereka melihat sesuatu isu sama macam kita dan enggan mengalah selagi mana mereka masih duduk dalam perspektif lama.
Apa salahnya kita biarkan saja mereka punya persepektif berbeza?
4. Terlebih komunikasi dan maklumat
Sekiranya menunjuk dan menayang tidak mendatangkan apa-apa, begitulah juga dengan tabiat suka melayari media sosial dengan alasan apa yang dikongsikan 'mungkin' penting pada kita.
Ada satu masalah ketara melibatkan tabiat penggunaan peranti elektronik manusia zaman sekarang; di mana kita terlebih berkomunikasi dan terlalu banyak menelaah maklumat diperolehi.
Malangnya, majoriti info dan komunikasi yang kita sertai tak berguna pun.
Apa yang membimbangkan, masalah lambakan informasi tak ada manfaat ini dilihat sebagai sesuatu yang perlu kita biasakan.
Terpulang pada kita untuk menapis sendiri maklumat yang ada. Bagaimanapun, berapa kerat sangatlah di antara kita benar-benar berjaya menapisnya?
5. Suka reaksi orang sependapat dengan kita
Dalam era media zaman dahulu, sesuatu isu hanya boleh kita baca melalui majalah dan surat khabar. Bagi membincangkannya, mediumnya sangat terhad.
Dalam era di mana kemajuan teknologi membolehkan maklumat jadi mudah disampaikan, kita lebih banyak menghabiskan masa membincangkan isu yang langsung tiada kepentingan pada kita.
Sudahlah sesuatu isu langsung tiada gunanya bagi kita, setiap isu yang timbul akan memecahkan kita kepada kelompok berbeza bergantung kepada perspektif kita.
Apabila ramai yang sama pendapat ni bergabung, berlakulah fenomena yang digelarkan 'echo chamber', di mana komentar orang sependapat kita mula kedengaran lantang, seakan memperakui kita di pihak yang benar.
Berapa jam agaknya kita gunakan sehari untuk memeriksa pendapat dan reaksi orang yang sependapat dengan kita?
Bila hati dah berbunga-bunga kerana ramai '100% agree' dengan kita, tersenyum sajalah kita sepanjang hari. Padahal faedahnya kepada hidup kita langsung tak ada.