Berbanding dengan sukan-sukan lain, sukan bola sepak mempunyai peminat yang tahap minatnya berada dalam satu kelas berbeza. 

Mereka fokus serta setia menguliti jatuh bangun pasukan, serta mampu sabar menanti mengharungi sebarang dugaan.

Bagaimanapun bola sepak sebagai sebuah industri antarabangsa bukan lagi dimainkan golongan bawahan, sebaliknya sudah jadi hiburan hartawan melawan hartawan.

Perubahan ini, mengubah banyak perkara dalan sukan ini dan bukan semua perubahan, dapat ditangani peminat yang masih berfikiran lama.

1. Tidak salah pemain kejar pendapatan tinggi

kereta mewah safawi rasid

Sukar untuk kami faham kenapa penyokong kelab masih mengharapkan agar pemain tidak mudah terpesona dengan duit, sedangkan realitinya pemain bola sepak juga cari makan.

Mana-mana kelab yang mampu menawarkan gaji lebih tinggi menjadi perhatian pemain-pemain.

Kadangkala ada segelintir peminat yang cukup sukar menerima hakikat bahawa pemain kesayangan mereka PERLU meletakkan kepentingan dirinya, berbanding kelab yang mengasuh bakatnya.

Kenapa pemain bola sepak dipersalahkan mengejar wang ringgit, walhal kita sebagai pekerja pun sama? 

Bola sepak untuk beberapa dekad kebelakangan ini tidak lagi menampilkan pemain yang hanya mewakili satu kelab sepanjang kariernya seperti Tony Adams, Francesco Totti, Paolo Maldini serta Ryan Giggs, disebabkan persaingan sudah jadi terlalu sengit.

Kesetiaan kepada satu kelab akan menutup potensi dan peluang pemain untuk berkembang dari aspek perkembangan kemahirannya serta pendapatan pemain.

2. Kelab kaya mewujudkan monopoli liga perlu dihapuskan?

jutawan hartawan beli kelab bola sepak

Satu-satunya situasi di mana seorang peminat kelab bola menyokong monopoli kejuaraan liga, adalah ketika kelab yang disokongnya menang pertandingan itu. Yang tak menang pasti akan membantah 'monopoli' yang berlaku.

Kehadiran jutawan yang melabur ke dalam kelab di Eropah mahupun di Asia mula mencipta jurang lebih besar di antara prestasi kelab, membolehkan sesetengah kelab menguasai liga tempatan dan saban tahun mewakili negara dalam kejohanan serantau.

Tetapi kenapa ketidak adilan ini hanya akan disebut, apabila melibatkan kelab-kelab tempatan kita? Kita mampu bersorak gembira setiap kali kelab sama saja yang mengungguli liga di Eropah.

Di Sepanyol, balik-balik dua atau tiga kelab. Di Jerman, hanya satu kelab. Di Perancis, ada dua kelab. Di England? Untuk setengah dekad kebelakangan ini, persaingan tampak hanya melibatkan 3 kelab saja.

Semua kelab-kelab gergasi ini didana dengan belanja yang besar serta mampu menawarkan fasiliti, gaji dan kemudahan lebih baik - serta menjadi idaman pemain untuk terpilih mengikat kontrak dengan mereka.

3. Perlu ke kesamarataan kewangan antara kelab?

gaji siling pemain hadkan kemampuan potensi liga

Idea untuk memperkenalkan gaji siling serta kawalan ke atas perbelanjaan kelab sering diwar-warkan. Di atas kertas, cadangan itu tampak munasabah disebabkan oleh keperluan untuk menyeimbangkan kuasa kewangan di antara kelab-kelab.

Namun kita juga perlu melihat isu ini dari perspektif pemain. Sekiranya ada pihak bersetuju gaji siling diperkenalkan, pengenalannya akan mengehadkan potensi pendapatan pemain berstatus tonggak pasukan yang nyata berhak untuk menerima imbuhan lebih.

Pasti ramai akan mempertikaikan pandangan penulis dengan mengatakan takkanlah gaji dah besar sebegitu pun tak cukup, kan? Letakkan diri anda dalam situasi serupa. Katakanlah anda seorang jurutera dan semua jurutera bertauliah dikenakan gaji siling RM6,500 walau betapa hebatnya pun kemampuan anda.

Adakah situasi itu anda lihat adil untuk semua? Kenapa pemain bola sepak perlu dikategorikan dalam situasi berbeza? Kerana gaji mereka besar dan kerjaya mereka 'glamour'? Tidak perlu.

Sekiranya pasaran kerjaya kita sebagai seorang pekerja profesional membenarkan kita untuk cuba mendapatkan gaji terbaik seiring dengan kemampuan kita, sepatutnya pemain bola sepak juga haruslah dibenarkan melakukan perkara sama.

4. Bolot pemain tonggak kelab lain tidak salah

messi neymar mbappe monaco barcelona santos

Kami selalu melihat hujah ini dijadikan antara hujah utama sesetengah peminat bola sepak.

Memang jelas situasi ini berlaku dalam liga bola sepak kita, namun seperti yang kami sudah nyatakan di atas - bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi; pemain juga perlu setuju untuk melakukan perpindahan ke kelab yang memancing mereka walaupun dengan cara bolot.

Kita boleh bertepuk tangan melihat gergasi Eropah membeli pemain-pemain yang meningkat naik, daripada kelab-kelab pertengahan atau bawahan. Kita juga sudah akur menerima ada kelab seperti Borussia Dortmund dan Ajax Amsterdam yang sering dilihat sebagai kelab pengumpan, melatih pemain sebelum menjualnya kepada kelab-kelab gergasi.

Apa yang perlu kelab yang pemainnya sering dijadikan mangsa bolotan kelab lain, adalah dengan membangunkan sistem latihan pemain muda yang mampu menghasilkan ramai pemain berkualiti tinggi setiap tahun - yang berpotensi untuk dibolot kelab gergasi.

Kelab sebegini harus berhenti melihat diri mereka sebagai mangsa, sebaliknya memanfaatkan peluang yang ada sebaiknya bagi menjana keuntungan berjuta-juta seperti modus operandi utama sesetengah kelab ternama di Eropah, melahirkan ramai pemain muda serta sekurang-kurangnya mampu bersaing dalam liga.

5. Aspek penggunaan bahasa Melayu yang semakin dipinggirkan

logo malaysian football league

Dengan usaha penswastaan liga kita di Malaysia, penjenamaan semula majoriti pasukan yang sebelum itu berstatus persatuan kepada kelab dijalankan - bagi meningkatkan nilai komersial setiap kelab.

Sekiranya kita rujuk laman web pengendali liga Malaysian Football League atau MFL, jelas sekali penekanan penggunaan bahasa Inggeris sebagai pengantara menjadi keutamaan.

Satu perubahan yang ketara kelihatan, adalah perubahan nama-nama persatuan yang kini sudah di 'Englishkan' meliputi majoriti kelab tempatan kita. Cuba anda sebutkan nama pasukan yang masih kekal dalam bahasa Melayu sepenuhnya - tak banyak kan?

iklan

Siaran langsung juga ada kalanya memaparkan liputan berbahasa Inggeris, malahan temubual bersama pemain dan jurulatih juga diadakan dalam bahasa asing.

Adakah perubahan ini perlu dilakukan untuk memudahkan pemasaran liga kita kepada pasaran luar? Mungkin itulah agaknya sebab sebenar kenapa perubahan itu dibuat. Tetapi melihat bagaimana bahasa tempatan kita dipinggirkan dalam liga tempatan sendiri, memang agak menyedihkan hati penulis.

Zaman dah berubah kan? Pemain naturalisasi pun dah ramai main Malaysia. Jika orang luar dianggap lebih layak main untuk negara, mungkin bahasa luar pun lebih sesuai digunakan masyarakat kita.




Hakcipta iluminasi.com (2017)