pasangan arab kahwin dan bercerai dalam masa singkat

Kadar perceraian di negara-negara Arab, seperti Arab Saudi sebenarnya mencapai satu tahap yang cukup membimbangkan. Entah di mana silapnya sehinggakan lelaki-lelaki Arab menjadi terlalu mudah untuk melafazkan cerai kepada isterinya yang kadangkala disebabkan perkara-perkara kecil. Di sini kami kompilasikan 5 kes perceraian paling pantas yang pernah dilaporkan berlaku di negara-negara Arab melibatkan pasangan Arab. Kelima-lima pasangan ini tidak sempat merasai kemanisan rumah tangga berikutan sebab-sebab tertentu, yang hanya mereka sendiri faham sebab-musababnya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah 5 perceraian paling pantas yang pernah berlaku dalam dunia, melibatkan pasangan Arab yang sukar untuk diterima ia benar-benar berlaku.

1. CERAIKAN ISTERI 2 JAM SELEPAS MENIKAH

isteri gila snapchat perkahwinan paling singkat

Seorang lelaki dari Arab Saudi menceraikan isterinya 2 jam selepas pernikahan mereka, selepas isterinya melanggar perjanjian mereka yang dibuat sebelum itu. Sebelum berkahwin, kedua-duanya bersetuju untuk menyediakan kontrak perkahwinan dengan salah satu syarat di dalamnya, mengandungi larangan kepada mereka berdua daripada menggunakan media sosial.

Ketika majlis perkahwinan mereka, isterinya memuat naik gambar perkahwinan mereka berdua ke aplikasi Snapchat, untuk tatapan kawan-kawannya. Suaminya yang mendapati tindakan isterinya itu, nekad menceraikan isterinya kerana melanggar perjanjian yang telah dipersetujui mereka berdua. (rujukan)

2. CERAIKAN ISTERI PADA MALAM PERTAMA

isteri gila telefon perkahwinan paling singkat

Malam pertama pengantin baru merupakan sesuatu yang sangat dinantikan oleh mereka yang mengikut ketat ajaran Islam, jadi tidak menghairankanlah apabila seorang lelaki merasa kekecewaan yang amat sangat, setelah ajakannya untuk bersama dengan isterinya tidak diendahkan isteri - yang pada ketika itu leka bermain telefon.

Cuba memujuk, wanita itu mengatakan yang dia sedang melayan ucapan tahniah kawan-kawannya. Suaminya meminta wanita itu meletakkan telefon namun tidak dihiraukan. Berang dengan tindakan isterinya yang baru saja dinikahi, suaminya melafazkan cerai dan beredar dari hotel yang ditempah. Ketika kes ini dibawa ke mahkamah, lelaki itu enggan memaafkan isterinya dan tidak mahu merujuk semula perkahwinan mereka. (rujukan)

3. CERAIKAN ISTERI SEMASA MAJLIS PERNIKAHAN

muka berubah tanpa makeup perkahwinan paling singkat

Bagi seorang wanita Saudi ini pula, perkahwinan yang diaturkan oleh keluarga menjadi bencana besar pada dirinya. Ekoran peraturan ketat keluarga mereka yang tidak membenarkan mereka bertemu sebelum berkahwin, detik kali pertama si lelaki melihat wajah isterinya adalah ketika sesi bergambar semasa majlis perkahwinan mereka.

Isterinya pun menanggalkan niqab yang menutupi wajah sambil tersenyum, selepas diminta jurufoto - namun suaminya terus bangun dan menceraikan isterinya itu kerana wajah isterinya tidak seperti yang dia gambarkan sebelum itu. Pengantin wanita itu pengsan lalu hari bahagianya bertukar menjadi tragedi. (rujukan)

4. CERAIKAN ISTERI KETIKA BERBULAN MADU

berenang tanggal makeup perkahwinan paling singkat

Tidak pernah melihat wajah sebenar isterinya, seorang lelaki menerima kejutan paling besar ketika berbulan madu, selepas isterinya berenang di sebuah pantai di Dubai. Ekoran aktiviti berenang, solekan ke atas wajah isterinya hilang dan menampakkan wajah sebenar isterinya yang tidak lagi mampu dikenali suaminya.

Lelaki berusia 30 tahun itu nekad menceraikan isterinya yang berusia 24 tahun, atas tuduhan menipu beliau selama ini. Isterinya juga dikatakan pernah menjalani pembedahan mencantikkan wajah serta gemar mengenakan bulu mata palsu. Menurut wanita itu, dia sebenarnya mahu menerangkan segala-galanya pada suaminya namun tidak kesampaian, selepas lelaki itu enggan bersama semula. (rujukan)

5. CERAIKAN ISTERI SEBELUM MALAM PERTAMA

suami terima rahsia isteri perkahwinan paling singkat

Seorang lelaki terpaksa menceraikan isterinya yang baru saja dikahwini, selepas mendapat satu jambangan bunga yang dihadiahkan kepadanya oleh seorang yang tidak dikenali semasa majlis perkahwinan. Diletakkan sekali dengan jambangan bunga tersebut sebuah memori USB dan nota berpesan supaya lelaki itu melihat kandungannya.

Apabila dia membuka memori tersebut, dia mendapati di dalamnya penuh dengan gambar-gambar isterinya dengan lelaki lain dalam keadaan 'mesra.' Lelaki itu menceraikan isterinya ketika berada dalam bilik hotel dan beredar pergi.

Siasatan mendapati pemacu memori tersebut dihantar bekas teman lelaki isterinya, yang tidak dapat menerima hakikat wanita itu akan berkahwin dengan orang lain. Bekas teman lelaki itu juga pernah mengugut akan melakukan perkara sama sebelum mereka berkahwin. Mungkin dalam kes ini, kita harus akui wanita itu tiada jodoh dengan kedua-dua lelaki tersebut. Bekas suami wanita tersebut perlu menjalani sesi kaunseling berikutan insiden itu. (rujukan)




Hakcipta iluminasi.com (2017)