Salah satu kegusaran paling dibimbangi golongan ibu bapa melibatkan anak-anak mereka, adalah apabila anak mereka gagal menemui pasangan hidup yang baik.
Walaupun isu ini dilihat sebagai satu usaha campur tangan generasi terdahulu dalam hidup anak masing-masing serta agak konservatif, realitinya masalah ini semakin meruncing di beberapa negara mengakibatkan kadar kelahiran populasi negara itu menurun.
BESARKAN TEKS A- A+
Negara seperti Singapura, Jepun dan China berdepan masalah masyarakat tua ekoran ketidakcukupan pelapis muda, yang nampak lebih selesa hidup berorientasikan kerjaya dan menjalani hidup sendirian, berbanding hidup berkeluarga.
Bagi satu komuniti ibu bapa di Shanghai, mereka terpaksa mencari cara kreatif; menjaja anak-anak mereka setiap minggu bagi membolehkan warisan keluarga mereka diteruskan. Dengan harapan anak-anak mereka tidak perlu keseorangan semasa berdepan hari tua mereka pula.
Pasar 'cari menantu' setiap hujung minggu
Dari jauh kawasan 'pasar'yang terletak di padang awam bandar Shanghai dipenuhi warga tua dan pengunjung, setiap seorang membuka payung diletakkan atas tanah menandakan tujuan kehadiran mereka di situ.
Payung yang terbuka itu dilekatkan biodata anak mereka, ada yang lengkap dengan gambar, tarikh lahir, tinggi, berat, hobi dan pekerjaan; semua informasi yang diperlukan bagi memberikan gambaran awal kepada bakal calon yang dicari.
Bagi ibu bapa yang lebih bersifat terbuka, mereka akan juga turut meletakkan ukuran badan anak perempuan bagi menarik minat individu lelaki yang hadir.
Sesiapa saja boleh cuba memulakan perbualan untuk berkenalan dengan anak pasangan yang dipaparkan, bebas bertanyakan apa saja yang dirasakan sesuai sekiranya ada keinginan untuk berkenalan lebih lanjut.
Walaupun demikian, biasanya yang hadir hanyalah ibu atau ayah kepada pemuda atau pemudi yang cuba dijodohkan. Rasa malu dan tidak sanggup berhadapan dengan tindakan dijaja ibu bapa sendiri sedemikian rupa mungkin menjadi penyebab utama jarang individu yang cuba dijodohkan hadir menampilkan diri.
Majoriti ibu bapa yang hadir tampak bersungguh mencuba nasib endapatkan pasangan kepada anak mereka namun realitinya, tuan punya badan sendiri biasanya enggan dijodohkan - mengakibatkan peluang untuk sesuatu perkahwinan benar-benar terbina dari perkenalan di pasar itu rendah kadar keberkesanannya.
Tradisi aneh yang bersifat tradisional
Walaupun mempunyai kebarangkalian berjaya yang rendah, pasar perkahwinan ini tidak lekang dengan pengunjung dan juga peniaga yang hadir bagi mencuba nasib.
Di buka setiap hari Sabtu dan Ahad dari waktu tengahari sehinggalah jam 5 petang - sejarah pasar ini sebenarnya bermula di Beijing sekitar tahun 2005, selepas komuniti warga emas di sana mendapati ramai di antara mereka mempunyai anak yang belum berkahwin serta sukar mendapatkan jodoh.
Dari isu itulah komuniti warga emas ini mula meluangkan masa saling bertukar-tukar informasi tentang anak-anak mereka, menjadi orang tengah mendapatkan jodoh.
Lama-kelamaan komuniti dengan misi serupa mula merebak ke beberapa wilayah di luar Beijing, dengan komuniti di Shanghai menjadi komuniti paling aktif mengatur perjumpaan setiap minggu. Daripada perbincangan sesama rakan, komuniti ini berkembang sehingga menjadi satu acara mingguan rasmi yang mempunyai peraturannya sendiri.
Setiap pasangan atau ibu bapa yang hadir perlu mendaftarkan terlebih dahulu penyertaan anak mereka, disediakan borang khas untuk menulis informasi wajib tentang anak mereka yang ingin dicalonkan yang akan dipaparkan. Bayaran dikenakan sekitar RM65.
Ekoran persaingan yang sengit antara kumpulan penjual yang ada, ibu bapa yang hadir akan mereka bentuk sendiri poster atau kaedah jualan terbaik seperti risalah dalam mempromosikan kelebihan yang dimiliki anak mereka dalam memastikan ada yang memilihnya.
Kenapa situasi begini berlaku dalam zaman moden?
Keresahan yang menimpa ramai ibu bapa di China zaman sekarang, berpunca daripada dasar kerajaan China satu ketika dulu yang memaksa golongan belia sekitar 18 juta untuk berpindah ke kawasan pedalaman sekitar dekad 1950-an - bagi menggerakkan industri pertanian di kawasan tersebut.
Sistem kad identiti dikenali sebagai 'hukou' diperkenalkan untuk mengasingkan belia mengikut kawasan asal, dengan tujuan mencipta zon lokasi asal seseorang sama ada kawasan bandar atau luar bandar.
Disebabkan segregasi itu, wujud jurang besar di antara faedah yang diterima kedua-dua kumpulan ditentukan oleh status 'hukou' mereka dari segi aspek peluang pekerjaan, bantuan kerajaan dan dana sekuriti sosial. Peluang pendidikan juga berbeza, lebih mengutamakan mereka yang berjaya kekal di bandar.
Belia yang diarah berpindah ke kawasan luar bandar pula walaupun mempunyai prospek lebih kecil menerima faedah dari segi tanah pertanian yang diletakkan di bawah nama mereka, melayakkan mereka dan anak lelaki mereka (jika ada) untuk dinamakan sebagai pemilik dan pewaris.
Situasi ini mewujudkan perlumbaan mencari jodoh di kalangan pemilik hukou yang berlainan status. Pemegang 'hukou' di kawasan bandar menjadi pilihan utama ekoran potensi peluang yang ada, tak kiralah lelaki atau wanita.
Wanita yang datang dari kawasan luar bandar terpaksa berusaha mencari jodoh di bandar untuk mengubah hidup dan menukar status 'hukou' miliknya, namun tidak ada apa-apa yang menarik untuk ditawarkan selain daripada kejayaan dirinya.
Sementara bagi lelaki yang mewarisi tanah pertanian, mereka pula berdepan dilema enggan meninggalkan kampung halaman mereka kerana takut status 'hukou' yang turut membawa hak milikan tanah mereka dibatalkan selepas berpindah ke bandar.
Perkahwinan 'buta' zaman moden
Oleh sebab itulah jika anda ke pasar perkahwinan Shanghai, anda dapat melihat majoriti ibu bapa memasarkan anak perempuan mereka dengan harapan dapat bertemu jodoh di kawasan bandar seperti Shanghai bagi menaik taraf status yang mereka pegang.
Golongan wanita merangkumi lebih 80% individu cuba dijodohkan di kawasan-kawasan pasar perkahwinan ini, disebabkan oleh status 'hukou' mereka yang kurang menarik walaupun rata-ratanya sudah mempunyai kerjaya dan hidup sendiri.
Bermula tahun 1998, kerajaan China menjalankan reformasi terhadap sistem 'hukou' bagi menangani masalah ketidak seimbangan serta merapatkan jurang bantuan antara ahli masyarakat, namun kesannya masih dapat dilihat sehingga ke hari ini.
Pasar perkahwinan serupa di Chengdu
Ada beberapa cara seseorang dari luar bandar boleh menukar status penduduk miliknya; dengan menjadi seorang pelabur ekonomi, pemilik kediaman di kawasan bandar ataupun diiktiraf kerajaan menerusi pencapaian tertentu.
Namun selepas hidup di kawasan pedalaman, sudah pastilah sejak mula lagi mereka berdepan kekangan ekonomi. Jadi kaedah seterusnya hanyalah melalui perkahwinan.
Seorang wanita pemegang hukou luar bandar boleh menaiktaraf status pegangannya, sekiranya suaminya pemegang hukou bandar.
Namun seorang gadis dari desa masih perlu menunggu dengan sabar tempoh permohonan di antara 2 ke 10 tahun bagi membolehkan pertukaran status 'hukou' miliknya selesai dinaiktaraf, baru membolehkan dia mendapat manfaat sebagai penduduk bandar yang sebenar.
Dalam tempoh masa tersebut, gadis tersebut sendiri sudah semakin jauh ketinggalan berbanding gadis-gadis hukou bandar yang mempunyai peluang lebih besar.