majlis perayaan di korea utara

Realiti kehidupan di Korea Utara tidak dapat dibayangkan oleh orang luar kerana polisi negara tersebut yang mengamalkan dasar tertutup. Bukan itu sahaja, rakyat negara tersebut juga umpama hidup seperti katak di bawah tempurung kerana tidak terdedah dengan informasi terhadap isu-isu luar negara.

Sebelum ini, kami pernah berkongsi beberapa artikel yang disertai dengan gambar-gambar yang berjaya diseludup keluar daripada Korea Utara. Untuk bacaan lanjut, boleh rujuk pautan di bawah:

  1. 15 Gambar Yang Berjaya Diseludup Keluar dari Korea Utara
  2. 16 Gambar Yang Berjaya Diseludup Keluar dari Korea Utara - Bahagian 2
  3. 21 Gambar Yang Berjaya Diseludup Keluar dari Korea Utara - Bahagian 3

Daripada gambar-gambar yang dikongsi ini, kita dapat melihat sedikit sebanyak perbezaan antara kehidupan di Korea Utara dengan dunia luar. Di sebuah negara di mana pergerakan rakyatnya sangat terhad, pernahkah anda terfikir bagaimanakah rakyatnya bertemu jodoh?

Perasaan sayang antara manusia merupakan fitrah semulajadi yang diciptakan Tuhan. Persoalannya, bagaimanakah kaum lelaki dan wnita di sana mencari jodoh? Bagaimanakah mereka ingin memaparkan kemesraan kepada pasangan mereka sekiranya terdapat begitu banyak sekatan dan pantang larang di negara tersebut?

Sama seperti dalam perihal atau peraturan lain, Korea Utara secara umumnya agak konservatif dalam bab-bab percintaan. Segala bentuk perlakuan yang memaparkan kemesraan antara pasangan lelaki dan wanita adalah dilarang sama sekali. Malah, setiap lelaki diminta menghormati pasangan mereka sebagaimana mereka menghormati pemimpin-pemimpin negara.

Perkongsian daripada seorang pelarian Korea Utara

filem korea utara 571

Seorang rakyat Korea Utara yang berjaya melarikan diri daripada negara tersebut telah berkongsi dengan wartawan The Guardian (UK) realiti sebenar bagaimana rakyat negara tersebut bertemu pasangan hidup mereka. Nama individu tersebut walau bagaimanapun tidak didedahkan.

Walaupun Korea Utara mengawal ketat gaya hidup rakyatnya, kerajaan tidak dapat membendung fitrah manusia yang mahu hidup berpasangan. Malah, dipercayai kerajaan Korea Utara semakin berlembut dengan rakyatnya yang mahu menunjukkan kemesraan di khalayak umum.

Di kaca televisyen juga, tayangan filem berunsurkan filem komedi romantik sudah dibenar untuk ditayangkan. Pada tahun 2012, sebuah filem kerjasama antara syarikat British, Belgian dan Korea Utara bertajuk "Comrade Kim Goes Flying" yang memaparkan kisah seorang pelombong arang yang menyerrtai sekumpulan pertunjukan sarkas telah jatuh cinta dengan salah seorang ahli kumpulan tersebut yang merupakan penari akrobatik.

Filem tersebut telah mendapat sambutan yang sangat luar biasa ketika ditayangkan  di Pyongyang. Walau bagaimanapun, itu tidak bermakna mencari pasangan hidup di Korea Utara semudah apa yang dipaparkan dalam filem tersebut. Realitinya, Korea Utara masih dipimpin oleh pemerintah berfahaman Komunis yang bukan sahaja menindas, tetapi ingin mengawal setiap aspek kehidupan rakyatnya

Pendedahan yang kurang terhadap pendidikan seksual

berpegangan tangan

Sekiranya anda seorang remaja lelaki di Korea Utara dan mahu keluar ke tempat awam bersama seseorang wanita yang anda minat, ianya hampir mustahil dilakukan. Selain itu, pelajaran  mengenai pendidikan seksual terlalu sedikit atau boleh dikatakan tiada langsung.

Oleh itu, golongan muda sememangnya bergantung seratus peratus pada penceritaan kenalan terdekat mereka seperti ibu bapa, adik beradik dan rakan-rakan untuk belajar tentang pendidikan seks.

Dr. Andrei Lankov, seorang professor dalam bidang kebudayaan Korea dan kolumnis untuk akhbar The Korea Times dalam temuramahnya bersama akhbar The Mirror mengatakan bahawa ketika zaman 70-an dan 80-an, kebanyakan mereka percaya bahawa seseorang wanita boleh mengandung sekiranya berpegangan tangan dengan seorang lelaki dalam tempoh yang lama.

Walau bagaimanapun, fitrah manusia yang mahu bercinta ini tidak dapat dibendung. Kebiasaanya sesebuah pasangan akan bertemu secara senyap pada waktu malam di taman mahupun di kediaman mereka. Ada juga yang bertemu pasangan dalam majlis keramaian yang dihadiri ramai orang bagi mengelakkan mereka tertangkap.

Kewajiban menyertai latihan ketenteraan

latihan ketenteraan korea utara

Bukan sahaja pelajar sekolah ditegah untuk bercinta, orang dewasa juga mempunyai halangannya tersendiri. Sebagai sebuah negara yang amat menitikberatkan kekuatan ketenteraaan mereka, setiap lelaki dan separuh wanita Korea Utara diwajibkan menyertai latihan ketenteraan.

Latihan ketenteraan ini bukanlah singkat, ianya mengambil masa antara 8 hingga 10 tahun (ada yang mengatakan sehingga mereka berumur 30 tahun). Oleh itu, sekiranya sesebuah pasangan sudah bercinta ketika mereka masih belajar, terdapat kemungkinan besar hubungan mereka akan putus sekiranya salah seorang ataupun kedua-duanya terpaksa menjalani latihan ketenteraan dalam tempoh yang sangat panjang ini.

Pusat hiburan "underground"

kelab malam korea utara

Jodoh merupakan sesuatu yang misteri dan anda mungkin bertemu pasangan anda di tempat yang tidak disangka-sangka seperti di majlis hari jadi, sambutan perayaan, kelab malam dan sebagainya.

Salah seorang rakyat Korea Utara yang berjaya melarikan diri, Je Son Lee dalam satu program televisyen mendedahkan walaupun tiada pusat hiburan yang dibuka pada waktu malam, sudah wujud kelab-kelab malam bagi rakyat Korea Utara untuk berhibur dan jika bernasib baik - mungkin bertemu jodoh.

Kelab-kelab malam "underground" ini biasanya dibuka di rumah-rumah tinggalan dan dilengkapi dengan sistem kalis bunyi. Kebanyakan kelab ini juga memainkan muzik dari luar negara antaranya Korea Selatan dan negara-negara Barat.

Sekiranya diserbu oleh pihak berkuasa, mereka akan pantas menukar muzik yang dimainkan kepada muzik-muzik tempatan yang dibenarkan sahaja. Hal ini disebabkan oleh larangan ketat pemerintah yang mengharamkan sebarang unsur-unsur daripada negara luar termasuklah lagu dan filem luar negara. Nak lihat contoh muzik di Korea Utara? Tonton video di bawah ini.

Perkhidmatan mencari jodoh

gambar perkahwinan korea utara

Sementara itu, bagi mereka yang cukup kaya dan mempunyai telefon bimbit dapat mengakhiri kesunyian mereka dengan membayar kemudahan servis pencari jodoh. Pelanggan Korea Utara yang berminat boleh mendaftar ke skim ini dengan harga £25.

Mereka kemudiannya akan dikirimkan gambar beberapa orang individu yang berpotensi menjadi pasangan hidup mereka yang turut disertai maklumat tentang diri individu tersebut. Kemudian, pelanggan boleh memilih mana-mana individu yang ingin dikenali dan memaklumkan kepada penyedia perkhidmatan tersebut untuk mengaturkan temu janji.

pasangan kekasih korea utara

Perkhidmatan-perkhidmatan sebegini dikatakan mula mendapat permintaan ramai golongan muda terutamanya yang tinggal di bandar. Perkhidmatan sebegini diuruskan syarikat  yang mempunyai maklumat individu-individu lelaki dan wanita yang berminat dengan servis mencari jodoh yang ditawarkan.

Kredit:

  1. The Guardian
  2. Express UK


Hakcipta iluminasi.com (2017)