Dipercayai oleh sebahagian masyarakat bumi sebagai agama tertua di dunia, Hindu mempunyai pelbagai warisan, tradisi dan budaya yangdibentuk beribu-ribu tahun lamanya.

Ada amalan mereka yang telah pun dimansuhkan melalui peredaran zaman namun ada juga tradisi mereka yang kekal, masih dijalankan masyarakat zaman moden tanpa henti. Salah satu tradisi yang masih dipegang orang Hindu khasnya mereka yang tinggal di negara India - adalah amalan tradisi Kumbh Vivah.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Menjadi kontroversi serta mendapat tentangan daripada segelintir penganut Hindu yang percaya amalan itu bersifat karut, Kumbh Vivah mewujudkan polemik dalam masyarakat Hindu sendiri kerana amalan ini memerlukan seseorang dikahwinkan dengan objek tak bernyawa. Betul ke?

Punca kewujudan tradisi khumbh vivah

jyotisha horoskop hindu

Khumbh vivah adalah istilah bahasa yang menggabungkan dua perkataan iaitu 'khumbh' yang bererti bekas dengan 'vivah' yang membawa makna perkahwinan. Jadi dari segi bahasanya, 'khumbh vivah' membawa makna 'perkahwinan dengan bekas'.

Untuk memahami kenapa tradisi ini wujud dalam kepercayaan masyarakat Hindu - kita perlu mengetahui terlebih dahulu tentang kumpulan individu digelarkan 'mangalik'.

Orang Hindu mempunyai sistem tilikan nasib berdasarkan kepada sistem astrologi digelarkan sebagai Jyotisha, di mana setiap orang akan dikelaskan mengikut pengaruh simbol-simbol langit. Di antara semua kumpulan, wujud satu kumpulan di dalam Jyotisha yang dinamakan sebagai 'mangalik' atau 'manglik.'

'Mangalik' dibentuk daripada mereka yang dilahirkan dalam tarikh yang berkait dengan Mangala, Dewa yang menguasai planet Marikh serta bertanggungjawab ke atas peperangan yang berlaku. Oleh kerana itu semua individu yang tarikh lahirnya jatuh ke dalam kumpulan Mangala akan diistilahkan sebagai Mangalik.

Semua Mangalik pada asalnya dipercayai tidak akan mempunyai perkahwinan yang bahagia, selagi mana mereka tidak membuang 'pengaruh' Mangala dalam hidup mereka.

Sekiranya seorang mangalik mengahwini seorang individu bukan mangalik, pasangannya dipercayai tidak akan mempunyai umur panjang serta akan mati dalam usia muda. Unsur buruk ini yang selalu kita gelarkan sebagai 'sial,' digelarkan orang Hindu sebagai 'schwa.'

Jadi semua bakal pengantin Hindu yang lahir sebagai 'mangalik' perlu menjalani satu ritual bagi membersihkan diri mereka daripada 'schwa.'

Dikahwinkan dengan pokok atau bekas

wanita dikahwinkan dengan haiwan

'Mangalik' diberikan pilihan untuk melalui proses membuang 'schwa', sama ada dikahwinkan dengan pokok atau dengan bekas yang dibuat dengan tanah liat.

Upacara perkahwinan pengantin pula dilakukan sama sahaja seperti perkahwinan biasa, cuma pengantin kepada individu mangalik itu akan digantikan dengan objek yang mereka pilih. Ada juga yang memilih untuk dikahwinkan dengan haiwan, tetapi pada zaman sekarang, jarang sekali pilihan ini diambil.

Sekiranya pengantin memilih pokok, ada dua pilihan sama ada menggunakan pokok pisang atau pokok mulberry (peepal). Kenapa mereka perlu dikahwinkan terlebih dahulu? Sebabnya adalah kerana dengan menjadikan perkahwinan pertama mereka dengan objek-objek ini, 'schwa' yang ada pada mereka akan terkena pada objek yang dipilih.

Selepas majlis perkahwinan itu selesai, tradisinya memerlukan pokok yang dikahwinkan ditebang atau bekas tembikar itu  dihanyutkan ke sungai bagi membolehkan individu itu, memulakan hidup baru ibarat perceraian telah berlaku.

Hanya selepas selesai upacara penebangan atau menghanyutkan bekas, barulah individu itu dianggap bebas daripada pengaruh 'mangala' dan boleh melangsungkan perkahwinan kedua.

Harapan mereka, perkahwinan kedua mereka dengan lelaki atau wanita pilihan - bertahan lama dan berlangsung bahagia tanpa ada lagi 'schwa' membelenggu ikatan mereka.

Khumbh bivah dalam zaman moden

manglik bekas perkahwinan

Walaupun kelihatan mudah, jumlah majlis yang perlu dilangsungkan sebenarnya bergantung dengan tahap 'mangalik' seseorang. Di kalangan 'mangalik' sendiri wujud perbezaan tahap pengaruh mangala, yang membezakan jumlah majlis perkahwinan yang perlu dilangsungkan.

Semua individu 'mangalik' akan dibahagikan kepada 'mangalik purna' dan 'mangalik vakri'; seorang purna mempunyai kesan penuh Mangala ke atasnya sementara vakri pula hanya terkesan secara separa. Bagi kelompok vakri, ada masanya mereka dibenarkan berkahwin tanpa perlu melalui perkahwinan khumbh vivah kerana masyarakat Hindu percaya selepas mencapai umur tertentu, kesan buruk 'schwa' ke atas mereka semakin berkurangan.

Ada juga individu yang dikategorikan sebagai 'mangalik berkali ganda' di mana pengaruh ke atasnya terlalu kuat, sehinggakan seseorang itu perlu dikahwinkan beberapa kali. Dia perlu menjalani ritual yang serupa bagi membolehkan dia layak dikatakan bebas daripada 'schwa' sebelum dibenarkan berkahwin dengan manusia lain berulang kali kebiasaannya dua atau tiga kali perkahwinan.

Adakah ada kes-kes perkahwinan mangalik yang berlaku melibatkan selebriti popular Hindu? Ada. Satu kes paling popular yang menimbulkan perdebatan di kalangan masyarakat India - adalah majlis perkahwinan melibatkan pasangan bintang Bollywood terkenal Aishwariya Rai dengan Abhishek Bachan.

Aishwariya Rai seorang mangalik

perkahwinan aishwariya rai dan abishek

Aishwariya lahir sebagai seorang 'mangalik', memilih untuk dikahwinkan sebanyak dua atau tiga kali atas arahan bakal bapa mertuanya - aktor legenda Amitabh Bachan yang terkenal sangat kuat pegangan agama Hindu.

Khabar angin berkenaan kisah ini mula disebarkan oleh media India yang menyebut bahawa Aishwariya telah dikahwinkan sebanyak dua kali, kali pertama kepada sebatang pokok peepal dan kali kedua kepada tugu Dewa Krishna dengan semua upacara dijalankan di daerah Varanasi atas nasihat seorang ahli agama Hindu bernama Chandrasghekar Swami.

Ada juga pihak mendakwa berlaku pernikahan ketiga, cuma tiada kepastian dapat diberikan.

Mendapat tentangan orang ramai yang mengkritik tindakan keluarga mereka berdua dalam meneruskan ritual yang dikatakan karut itu, pihak pengantin dan keluarga mereka menafikan dakwaan perkahwinan Aishwariya dengan pokok serta tugu itu benar-benar berlaku. Suami AIshwariya menyifatkan dakwaan itu sebagai satu tuduhan berniat jahat dalam memalukan keluarganya yang menjadi nama besar dalam insudtri filem Bollywood.

Sama ada benar atau tidak, sukar untuk kami menjelaskannya secara fakta.




Hakcipta iluminasi.com (2017)