Walau apa pun yang orang kata, hakikatnya semua daripada kita kentut. Malah, orang biasa kentut 14 kali sehari, terdapat 365 hari dalam setahun dan purata jangka hayat dianggarkan 80 tahun, membuatkan anda kentut lebih daripada 400,000 kali sepanjang hidup.
Kentut bukanlah sesuatu yang buruk, ia adalah lumrah makhluk yang hidup. Namun, anda haruslah kentut dengan beradab kerana tiada siapa yang sukakan bau kentut anda. Hanya diri sendiri sahaja yang mampu menahan bau busuk, malah ada yang menyukainya.
BESARKAN TEKS A- A+
Disebalik bergurau dengan menggunakan kentut, sebenarnya kentut boleh menyebabkan perbalahan besar dan berakhir dengan putus kawan. Lebih teruk, kentut mampu menyebabkan berlakunya pelanggaran undang-undang dan kali ini, iluminasi.com ingin kongsikan 6 kes pelanggaran undang-undang melibatkan kentut.
6. Kentut yang menyebabkan dipenjara
Kentut mampu mengosongkan sesebuah bilik, dan begitu juga dengan ancaman bom. Pada tahun 2012, Harold Hadley yang sedang belajar di perpustakaan di kolejnya yang terletak di Mississippi telah pergi ke tandas.
Ketika di tandas, Harold memutuskan untuk menulis satu jenaka berkenaan dengan kentut di atas sekeping tisu tandas. Disebabkan Harold berasal dari luar bandar, dia menggunakan perkataan "bom" untuk merujuk kepada kentut, yang membuatkan dia berhadapan dengan masalah besar apabila orang lain menemukan tisu tersebut.
Harold menulis "Saya melepaskan bom di perpustakaan". Nota itu dijumpai seorang pelajar dan diserahkan kepada guru yang mengecam bahawa ia adalah tulisan Harold.
Perkara itu kemudiannya dilaporkan kepada pihak berkuasa. Selepas menerima laporan, sebanyak 11 agensi respon kecemasan tiba di sekolah tersebut, namun tidak menjumpai apa-apa bom.
Akibatnya, Harold ditangkap dan dibenarkan untuk ikat jamin sebanyak USD20,000.Jika disabitkan kesalahan kerana mengancam untuk meletupkan sekolah, Harold berhadapan dengan hukuman 10 tahun penjara dan denda USD10,000,
Ketika kejadian berlaku, Harold merupakan pelajar yang sangat cemerlang memperoleh semua A dan dijadualkan untuk menamatkan pelajaran dalam masa beberapa bulan sahaja.
5. Kentut yang membunuh
Selain daripada membuatkan anda dipenjara, kentut juga mampu membunuh. Juga berlaku pada tahun 2012 di Ohio, Shaakira Dorsey yang berusia 16 tahun telah bergaduh disebabkan kentut. Shaakira mengusik salah seorang daripada rakannya dengan kentut di hadapan remaja tersebut. Pergaduhan tersebut telah menyebabkan kematian Shaakira.
Ini bukanlah satu-satunya kes kentut yang melibatkan kematian. Antara kes yang sama berlaku adalah insiden yang mungkin mengorbankan nyawa paling banyak yang terjadi di Jerusalem pada abad pertama AD.
Ahli sejarah Josephus melaporkan bahawa ketika Feast of Unleavened Bread, seorang askar Rom telah membuka seluarnya dan membongkokkan badannya lalu kentut. Kentut ini terlalu busuk dan telah membuatkan orang sekeliling marah yang mengakibatkan rusuhan yang mengorbankan 10,000 nyawa.
4. Kentut oleh "roh jahat"
Pada tahun 2013, seorang peguam dari Pitesti, Romania telah menyaman seorang paderi dan 4 pemimpin agama yang lain kerana gagal mengusir "roh jahat" dari rumahnya.
Kes itu timbul apabila rumah peguam tersebut mula berbau busuk yang mana peguam tersebut mengaitkannya dengan syaitan-syaitan yang "suka kentut" dalam rumah tersebut. Dalam usaha menghapuskan bau busuk tersebut, peguam ini menghubungi pihak berkuasa agama.
Peguam tersebut juga mendakwa bahawa roh jahat itu menghidupkan dan mematikan TV, serta kentut berterusan yang membuatkan dia sakit kepala.
Paderi dan 4 yang lain cuba untuk menghalau "roh jahat" namun tidak berjaya, yang membuatkan peguam tersebut menuduh mereka sebagai penipu dan membawa kes ini ke mahkamah. Namun, kedua-dua mahkamah rendah dan tinggi Romania menolak tuduhan ini.
Akibatnya, peguam itu membawa kes ini ke Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah yang mendengar kes yang melibatkan pelanggaran pelbagai peruntukan hak asasi manusia.
3. Kentut yang menyebabkan pesawat mendarat
Dalam kes ini pula, sebuah pesawat terpaksa mendarat disebabkan oleh kentut yang berlaku pada tahun 2018. Seorang warga emas telah kentut di dalam sebuah pesawat yang dalam penerbangan daripada Dubai ke Amsterdam. Perlakuan tak senonoh itu menyebabkan penumpang lain tidak tidak selesa dan marah serta mengarahkan dia untuk berhenti berkelakuan begitu.
Namun, warga emas ini enggan berbuat demikian. Malah, juruterbang sendiri yang mengarahkan lelaki itu untuk berhenti kentut namun ianya sia-sia. Akibatnya, kedua-dua penumpang yang duduk bersebelahannya memulakan pergaduhan yang sangat teruk sehingga juruterbang terpaksa melakukan pendaratan kecemasan.
Selepas pesawat mendarat, pihak polis menaiki pesawat ini dan menyingkirkan lelaki-lelaki yang bergaduh tersebut termasuk 2 wanita yang duduk berhampiran. Tiada penangkapan dibuat.
2. Kentut yang mencetuskan pergaduhan
Pada tahun 2016, Deborah Ann burns dari Florida menjadi sangat berang terhadap teman lelakinya, Willie Butler apabila lelaki ini kentut tepat di mukanya ketika mereka sedang menonton TV. Apabila Deborah memarahi teman lelakinya itu, dia diarahkan supaya diam, membuatkan mereka bertengkar.
Disebabkan marah, Deborah telah membaling sebilah pisau dapur ke arah perut Willie, dan mengambil sebatang kayu lalu memukul teman lelakinya. Pergaduhan tersebut berakhir dengan Deborah melarikan diri daripada teman lelakinya.
Pihak polis tiba di tempat kejadian sejurus selepas itu dan Deborah ditangkap atas tuduhan menyebabkan kecederaan fizikal yang teruk menggunakan senjata yang boleh membunuh, dan dibenarkan untuk diikat jamin sebanyak USD50,000.
1. Kentut yang menyebabkan skandal jenayah di Berlin
Antara salah satu skandal jenayah terbesar yang menggoncangkan bandar Berlin adalah tidak melibatkan keganasan sama sekali, sebaliknya melibatkan kentut. Pada Februari 2016, beberapa orang pegawai polis meminta kad pengenalan seorang lelaki yang berada di sebuah pesta.
Tiba-tiba lelaki tersebut kentut, sebanyak dua kali. Pegawai-pegawai polis tersebut menuduh lelaki itu sengaja mensasarkan kentut tersebut ke arah salah seorang daripada mereka, menyebabkan lelaki itu disaman sebanyak RM4,200.
Namun, lelaki itu enggan membayarnya membuatkan kes ini diheret ke mahkamah pada September 2017, di mana kes ini ditolak. Kes yang "berbau" yang dibawa ke mahkamah ini telah mencetuskan skandal di bandar ini kerana ia seolah-olah menyalahgunakan wang pembayar cukai untuk cuba mendakwa lelaki tersebut di atas sesuatu yang tidak masuk akal.
Pihak media merujuk kepada perkara ini sebagai Irrer-Pups Prozess yang bermaksud "perbicaraan kentut gila".