Seandainya anda memukul seseorang dengan niat untuk menyakitkan mangsa, mangsa boleh melakukan laporan ke pihak polis seterusnya membolehkan siasatan dilakukan. Kes selepas itu pula boleh dibawa ke mahkamah untuk dibicarakan, seterusnya diadili sekiranya perlu apa-apa bentuk hukuman dikenakan.

Itu adalah asas bagaimana proses undang-undang di negara kita berlaku. Bagaimanapun, penulis ingin bertanya kepada anda - adakah proses sama boleh dilakukan sekiranya seseorang dengan niat jahat dan sengaja, menggunakan amalan sihir untuk menyakitkan kita?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Apakah pandangan undang-undang kita apabila sesuatu kes itu berkait dengan ilmu mistik dan bagaimana pula dengan siasatannya?

Sihir dalam masyarakat kita

patung voodoo afrika

Seumur hidup anda, pasti mesti ada waktunya anda akan menemui individu yang percaya dia telah disihir bukan? Tak kiralah dia daripada bangsa Melayu, Cina, India, Kadazan, Bidayuh sebagainya ataupun agama apa dianutinya - masyarakat kita masih lagi berpegang kepada kesan yang boleh berlaku disebabkan amalan sihir.

Kes-kes pertelingkahan kerana mempercayai tanpa bukti suspek individu yang telah menyihir individu lain juga kerap kali didengari, sehingga menimbulkan ketegangan di antara ahli masyarakat. Perniagaan tak laku? Ramai yang percaya kedai dia kena ganggu buatan orang. Adakah pandangan itu ada asasnya? Oleh kerana penulis beragama Islam, penulis sudah diajarkan untuk menerima kebenaran tentang wujudnya amalan sihir serta kesan buruknya pada masyarakat.

Tetapi dek perubahan zaman yang semakin moden, perlakuan dan kepercayaan masyarakat kita kepada amalan ajaran sihir semakin lama semakin menurun. Dari satu perspektif, ini baik kerana akan mengurangkan jumlah mereka yang menyalahgunakan ilmu ini namun dari satu sudut lain; akan berlaku kekurangan mereka yang mampu menyembuhkan kesan serangan sihir di kalangan ahli masyarakat kita.

Hukuman ke atas pengamal sihir daripada perspektif Islam

bomoh jampi serapah

Daripada aspek sudut pandang Islam, sihir dianggap sesuatu yang salah dilakukan dan pelakunya sedang melakukan dosa besar, mampu menyebabkan seseorang itu sekiranya dia seorang Muslim - dianggap telah menyekutukan Allah swt. kerana telah bergantung dengan makhluk lain selain Dia.

Seorang pengamal sihir secara automatik dianggap telah lari sifat akidahnya serta jauh menyimpang dari syariat Islam, yang mengharamkan amalan tersebut. Oleh kerana itu, ada pendapat menyebut sihir perlu dianggap sebagai satu jenayah hudud yang sama hukumannya seperti seorang yang telah murtad.

Dengan itu, seorang yang mengamalkan sihir perlu dihukum berdasarkan kepada konsep qisas di mana setiap perbuatan perlu dibalas dengan hukuman yang sama kesannya, pada pelakunya. Sekiranya dia membunuh dengan sihir, dia wajib dibunuh sebagai contoh.

Bagaimanapun, pandangan yang lebih popular menyifatkan perbuatan sihir sebagai satu jenayah yang perlu dinilai secara ta'zir, berdasarkan kepada undang-undang yang telah ditetapkan pemerintah, dinilaikan melalui sistem yang ada di kawasan negara tersebut dan dijatuhkan hukuman berdasarkan kepada bentuk hukuman yang diamalkan.

Walaupun begitu, kes sihir melibatkan perkara-perkara mistik dan ghaib yang sudah pastilah sukar untuk dibuktikan di mahkamah berlaku. Persoalannya di sini, ke mana hala tuju kes sihir perlu dibawa?

Kekangan dalam pendakwaan kes sihir

bomoh ditangkap

Bagaimana hendak membuktikan sihir telah berlaku dari segi undang-undang? Sangat sukar bukan, apatah lagi apabila pelaku sihir itu sendiri mungkin seorang bomoh yang tinggal di ceruk kampung, diupah oleh seorang individu untuk menyihirkan lawannya. Bagaimanakah tafsiran undang-undang seperti itu perlu dibentuk?

Soalan yang lebih besar harus difikirkan - mahkamah manakah yang akan membicarakan kes sihir? Seandainya kuasa diberi pada mahkamah syariah, kes sihir yang melibatkan pelaku dan mangsa Muslim saja layak dibicarakan. Apa akan berlaku sekiranya pelakunya bukan Muslim dan mangsanya Muslim, atau sebaliknya?

Jika hendak diletakkan kuasa bicara sihir ke mahkamah tinggi, penafsiran terhadap sihir itu sendiri sudah pastilah memerlukan satu standard yang serupa, supaya akta dan undang-undang boleh digubal agar merentasi sempadan bangsa dan agama.

Bidang siasatan juga memerlukan pegawai siasatan yang pakar dalam bidang sihir, untuk membolehkan dia mendalami serta memahami kesan, akibat, peristiwa, pengaruh dan punca serta semua faktor yang terkait, dalam kes yang sedang disiasat.

Logikkah sihir dijadikan jenayah di bawah undang-undang negara kita?

Sihir sebagai satu jenayah undang-undang

peralatan amalan sihir

Idea serta perdebatan tentang kaedah terbaik dalam 'menjenayahkan' sihir seringkali berlaku di kalangan pengamal undang-undang, khasnya mereka yang beragama Islam. Sekiranya kita lihat kembali sejarah, pada tahun 1993 Muzakarah Jawatankuasa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia telah pun menyarankan kepada kerajaan, agar diwujudkan peruntukan undang-undang untuk menghukum pengamal sihir yang disabitkan kesalahan.

Beberapa seminar, persidangan dan kertas kerja sudah pun diwartakan oleh badan-badan bebas dalam merangka strategi bagi mewujudkan undang-undang yang sesuai dalam membicarakan kes berkait sihir.

Antara kes yang popular apabila dikaitkan di antara sihir dengan masyarakat kita yang sering berlaku, adalah kes-kes perceraian yang dipercayai dilakukan di bawah keadaan sedar. Selain itu, kes-kes rogol melibatkan lelaki yang menggunakan ilmu sihir pukau bagi melemahkan mangsa juga seringkali disebut berlaku, namun kegagalan untuk membuktikan elemen itu di mahkamah terus menjadi isu besar.

Kes sihir melibatkan bukan Muslim

tempat kejadian toa payoh

Isunya bukan saja melibatkan masyarakat Islam semata-mata, malahan bukan Islam juga terpalit sama.

Sebagai contoh, kes yang dinamakan sebagai kes pembunuhan ritual Toa Payoh di Singapura melibatkan seorang lelaki bernama Adrian Lim serta dua wanita Cina bernama Hoe Kah Hong dan Tan Mui Choo. Mereka mendakwa Adrian seorang bomoh yang perlu membunuh beberapa orang kanak-kanak sebagai persembahan darah, menurut kepercayaan mistiknya.

Kes itu menimbulkan kontroversi kerana berlakunya percanggahan pendapat di antara pengaruh sains dan ilmu mistikal ke atas pelaku semasa melakukan pembunuhan, dengan pasukan peguambela direkodkan menyebut pembunuhan dilakukan kerana pengaruh ajaran mistik yang diamalkan Adrian.

Sebuah lagi kes yang popular dan berlaku di negara kita, adalah kes melibatkan seorang lelaki India bernama Francis a/l Anthonysamy yang diperdayakan seorang bomoh, untuk melakukan jenayah. Francis yang ketagih judi nombor ekor diminta membawa kepala manusia untuk dijadikan bahan pemujaan, bagi membolehkan pembayang nombor ditemui.

Bagi memenuhi permintaan itu, Francis bertindak memenggal kepada seorang warga Bangladesh, sebelum kepalanya dibawa kembali kepada bomoh tersebut. Dalam kes tersebut, Francis didapati bersalah kerana dianggap melakukan perbuatan jenayah tersebut secara bebas, tidak dipaksa atau diugut melakukannya oleh bomoh tersebut.

Jadi beban kesalahan jatuh sepenuhnya pada Francis. Apa yang jelas, pihak mahkamah menghadapi kesukaran untuk membuktikan penglibatan bomoh tersebut dalam kes tersebut kerana Francis secara terbuka mengaku, dia melakukan pembunuhan itu atas kehendak dan kemahuan dirinya.

Selepas membaca tulisan ini, penulis ingin kembali kepada persoalan besar kita; adakah anda setuju undang-undang sihir perlu ada di negara kita dan yang lebih penting, bagaimana melaksanakannya?




Hakcipta iluminasi.com (2017)