Prooooootttt!

Cuba bayangkan anda baru lepas makan tengah hari dan sedang menaiki lif pulang ke pejabat. Bos anda pula berdiri di sebelah. Tiba-tiba anda tak tahan untuk melepaskan angin dan tak boleh lari ke mana-mana. Nak berlakon konon-konon bukan anda yang kentut pun tak boleh, sebab anda berdua je dalam lif. Takkan nak tuduh bos pulak?

Anda takut kalau anda lepaskan, tiba-tiba bunyi jadi terkuat ataupun kentut anda mengeluarkan bau-bauan semerbak. Jadi apa yang anda nak buat?

muka bangga dapat kentut dalam lif

Haha. Malu kan kalau berada dalam situasi macam tu.

Tahukah anda, secara puratanya seorang manusia akan membuang angin berbelas kali sehari? Maka, ia adalah suatu proses biologikal yang normal sebenarnya. Namun, apabila ada bunyi-bunyian dan bau kurang menyenangkan tu kadangkala boleh membuatkan kita rasa malu.

undur setapak dan kentutlah perlahan lahan

Apa punca kentut?

Bila anda menelan makanan, air atau air liur, anda juga menelan sedikit udara yang akan terkumpul dalam sistem pencernaan anda. Selain itu gas juga akan terhasil semasa proses pencernaan makanan. Jadi, tubuh kita perlu menyingkirkan angin terkumpul ini melalui kentut dan sendawa.

Kenapa banyak kali sangat saya kentut?

Menurut pakar gastroenterologi, jenis makanan juga menjadi faktor penyumbang angin dalam perut anda. Sebagai contoh, makanan tinggi karbohidrat seperti gula, kanji dan fiber akan menghasilkan gas yang paling banyak di dalam usus besar. Oleh sebab itu orang yang vegan atau vegetarian mungkin lebih kerap membuang angin daripada orang biasa.

siapa kentut mengaku cepat

Kenapa kentut saya busuk?

Walaupun makanan berkanji dan fiber membuatkan anda kentut banyak, namun makanan protein tinggi seperti daging pula akan membuatkan kentut anda berbau. Ini kerana daging dan sumber protein mempunyai kandungan sulfur yang tinggi. kalau taknak kentut busuk, kurangkanlah makan daging ye.

Kebiasaannya anda tak sedar pun anda membuang angin kerana gas yang dikeluarkan itu tidak berbau dan dilepaskan sedikit demi sedikit. Kentut hanya berbau jika ia mengandungi gas seperti sulfur.

kentut berapi

Bagaimana nak kurangkan angin kentut?

  • Jangan makan dengan gopoh atau terlalu laju. Kunyah makanan perlahan-lahan sebelum ditelan.
  • Makan dalam saiz hidangan yang kecil.
  • Jangan bercakap ketika makan.
  • Kurangkan minuman bergas.
  • Teguk air minuman perlahan-lahan.
  • Jaga pemakanan dan kurangkan makanan yang tinggi sulfur seperti telur, daging dan produk tenusu untuk mengelakkan kentut berbau.
  • Bersenam

bertenang ketika kentut

Boleh ada penyakit ke?

Kentut adalah perkara biasa bagi seorang manusia. Namun, sekiranya anda kentut busuk berpanjangan atau terlalu kerap sehingga mengganggu kehidupan seharian, pergilah berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan pandangan lanjut. Boleh jadi juga anda berkemungkinan dijangkiti penyakit berkaitan usus seperti sembelit, ketaktoleranan laktosa ataupun gastroenteritis. Sila dapatkan nasihat pakar ya.


tags : , , , , , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)