Hidup sebagai seorang selebriti sebenarnya tidaklah seindah yang kita sangkakan.
Ramai individu yang sebelum ini pernah terkenal, akhirnya memilih untuk meninggalkan dunia hiburan yang pernah mengangkat nama mereka - kembali menjalani hidup sebagai orang biasa.
Pasti agak aneh untuk kita mengetahui bagaimana seseorang yang menjadi idola masyarakat dahulu mampu meninggalkan segala-galanya, untuk jadi sama seperti kita tetapi itulah yang berlaku pada lima orang selebriti ini yang kini tidak lagi diulit populariti tetapi terus cekal meneruskan hidup, hari demi hari.
BESARKAN TEKS A- A+
1. Hayden Christensen
Lebih terkenal di dunia sebagai seorang pelakon kepada watak ikonik Anakin Skywalker atau 'Darth Vader' dalam siri Star Wars. Walau bagaimanapun, Christensen sendiri mengakui populariti yang dikecapinya dirasakan berlaku sekelip mata - tanpa perlu dia bersusah payah mendapatkannya.
Ini menyebabkan beliau sendiri mula mencari sebab sebenar kenapa dia mula berlakon, sehinggakan ada ketikanya dia merasa gembira dikritik ramai kerana dikatakan seorang pelakon kayu, sering gagal menampilkan emosi sepatutnya yang perlu dalam adegan yang sedang dilakonkan. Filem-filem beliau selepas itu yang gagal juga dilihat sebagai petanda karier sebagai pelakon, bukan untuknya.
Untuk tidak terus mempersoalkan dirinya sendiri, Christensen memilih keputusan menceburkan diri dalam bidang pertanian, membeli sebuah ladang di Ontario, Kanada bagi membolehkan dia mempelajari ilmu pertanian dan perladangan. Sambil itu, dia terus berlakon dalam filem berprofil rendah, memperbaiki seni lakonannya serta mahu membina kredibiliti semula sebagai seorang pelakon.
2. Freddie Prinze Jr.
Satu ketika dulu, ramai gadis tergilakan beliau. Ramai anak muda mahu jadi beliau. Begitulah populariti yang pernah dikecapi oleh Freddie Prinze Jr. semasa namanya meledak sebagai aktor muda no. 1 di Hollywood.
Dikenali ramai sebagai tonggak utama dalam filem 'I Know What You Did Last Summer' dan 'She's All That', nasib aktor ini mula menurun selepas beberapa filem yang menampilkan beliau gagal di pawagam. Bagaimanapun, lakonannya dalam filem adaptasi kartun 'Scooby-Doo' meletup membuatkan namanya meningkat semula.
Bagaimanapun, karier beliau mula perlahan selepas dia memilih untuk membesarkan dua orang anaknya yang lahir pada tahun 2009 dan 2012. Dia kembali dengan beberapa watak kecil sebelum menjadikan minatnya selama ini dalam bidang masakan sebagai fokus utama. Dia menerbitkan buku resipi pertamanya pada tahun 2016, berkongsi semua resipi keluarga yang selama ini hanya dihidangkan untuk keluarganya. Hasil daripada terbitan itu, kini dia lebih dikenali sebagai seorang tukang masak berbanding lelaki yang mampu mencairkan hati gadis.
3. Kirk Cameron
Pernah dicalonkan dalam senarai penerima anugerah Golden Globe menerusi siri TV 'Growing Pains,' satu ketika dulu nasib Kirk Cameron kelihatan amat cerah. Bagaimanapun, karier beliau dalam televisyen gagal diterjemahkan ke dalam filem, selepas dia mula menyedari kepentingan agama dalam hidup.
Pada kemuncak popularitinya, Cameron mula kembali kepada agamanya menjadi seorang Kristian Protestan yang taat sehinggakan produser diminta melakukan perubahan, seandainya wujud percanggahan agama dalam skrip 'Growing Pains'. Dia pada asalnya adalah seorang atheist.
Cameron meninggalkan dunia hiburan Hollywood, mula membintangi filem bercorak keagamaan sebelum mengumumkan pada tahun 2017, dia sudah berdaftar sebagai seorang pastor berdaftar. Berikutan pegangan kukuh beliau terhadap agama Kristian, dia sering berdepan kontroversi berikutan kenyataan anti LGBT yang dibuat secara terbuka.
4. Macaulay Culkin
Sangat terkenal sebagai pelakon kanak-kanak yang berjaya melawan pencuri menerusi siri filem 'Home Alone', Macaulay Culkin berjaya memenangi anugerah pada usia di mana rakan sebayanya masih lagi sibuk sibuk dengan permainan. Bagaimanapun, kegagalan beberapa buah filem lakonannya serta masalah keluarga akibat perceraian, membuatkan dia menghilangkan diri.
Dia cuba kembali dalam beberapa buah filem, namun gagal sebelum Culkin menubuhkan kumpulan Pizza Underground, sebuah kugiran muzik parodi. Perkenalannya dengan muzik mendekatkan dirinya dengan beberapa nama besar dalam dunia muzik, membolehkan dia mula 'masuk' ke dalam industri tersebut.
Bagaimanapun, ekoran hidupnya yang selama ini sering dihantui populariti lama - dia memilih untuk memenuhi masa lapangnya sebagai pemandu dan pembantu kepada beberapa orang artis, menjadi kru setiap kali persembahan dijadualkan. Selain itu, dia juga muncul sebagai model kepada banyak iklan televisyen yang dilakukannya, sebagai hobi.
5. Kevin Jonas
Salah seorang anggota kumpulan The Jonas Brothers yang sangat disukai (atau dibenci) banyak pihak, Kevin Jonas melawan trend dunia hiburan - melangsungkan perkahwinan dengan kekasihnya pada usia awal 22 tahun seterusnya memperlahankan langkahnya dalam industri muzik.
Jonas memilih untuk membangunkan sebuah syarikat pembinaan dan melaburkan dana dalam syarikat yang melatih personaliti media sosial. Pada tahun 2014, beliau melancarkan aplikasi pertama keluaran syarikatnya yang dinamakan 'YOOD', sebelum mengumumkan kerjasama dengan pengelola media sosial 'We Heart It' yang mempunyai 45 juta pengguna.
Walaupun demikian, dia dan adik-beradiknya kembali bersatu menerbitkan album terbaru mereka pada bulan Jun tahun 2019, yang terus bertakhta di carta Billboard apabila dilancarkan. Kini dia kembali hidup sebagai seorang selebriti dengan dua lagi adik beradiknya, yang kini telah pun turut sama berkahwin.