Sehingga ke hari ini, peluang untuk mendapatkan jawatan sebagai seorang penjawat awam di mana-mana agensi atau kementerian yang ada dilihat sebagai satu prospek kerjaya yang stabil.

Berbeza dengan pekerjaan dalam sektor swasta yang lebih tinggi risiko kehilangan kerja akibat bermacam faktor khasnya keadaan ekonomi yang tidak menentu, dapat bergelar penjawat awam memang membantu kestabilan dalam situasi sedemikian rupa.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Bagaimanapun, bukan semua yang anda nampak baik sebagai penjawat awam benar-benar menceritakan sepenuhnya apa yang berlaku. Realitinya, wujud banyak kekangan berbeza akan hadir kepada anda sekiranya anda memilih untuk menjadi penjawat awam.

1. Gaji anda mengikut tangga

tangga gaji penjawat awam

Bagi mereka yang bekerja dalam sektor swasta, tempoh penilaian tahunan merupakan detik di mana anda mempunyai peluang untuk menaikkan gaji anda, berdasarkan kepada prestasi anda sebelum itu.

Tidak menghairankan untuk pekerja swasta mendapat kenaikan gaji tahunan setinggi 10% ke 20%, ada kalanya lebih. Situasi ini tidak berlaku di pejabat awam kerana kenaikan gaji tahunan berlaku mengikut jadual yang sudah ditetapkan, bergantung kepada gred anda.

Di sektor swasta anda berpeluang untuk dapat kenaikan tinggi namun risikonya anda juga mungkin tiada kenaikan gaji tahunan langsung. Di sektor awam pula, kenaikan anda tetap tetapi kenaikan itu pasti ada.

2. Gaji anda boleh mati

gaji mati penjawat awam

Di kalangan penjawat awam, berlegar satu istilah yang cukup popular beberapa tahun dahulu iaitu 'gaji mati' atau dalam terma rasminya - gaji maksimum.

'Gaji mati' menandakan seseorang penjawat awam itu sudah mencapai siling gaji berdasarkan gred dan perjawatannya, tanpa ada peluang untuk mendapat kenaikan.

Situasi ini dahulu menjadi antara kebimbangan utama penjawat awam, sehinggalah kerajaan mengumumkan dasar baru tahun 2016, memberikan kenaikan automatik kenaikan gaji tahunan 3% kepada semua penjawat awam yang telah mencapai 'gaji mati' mereka.

Untuk keluar daripada kemelut ini atau meningkatkan gaji secara lebih besar, penjawat awam boleh melanjutkan pelajaran atau naik pangkat dengan cuba mengisi kekosongan jawatan yang ada - namun jumlah kekosongan yang ada biasanya terhad, berbanding calon yang ramai.

Jadi ada di kalangan penjawat awam terpaksa berpuas hati dengan 3% kenaikan gaji tahunan sepanjang karier mereka.

3. Ofis anda biasa saja

pejabat sektor awam

Sekiranya anda diberi peluang melawat ke pejabat-pejabat kementerian yang gah di WP Putrajaya, pasti anda akan mempunyai persepsi bahawa pejabat di dalamnya cantik-cantik.

Taklah, luarannya saja cantik - dalamannya sebenarnya biasa saja. Jika dibandingkan dengan pejabat syarikat swasta yang mampu memperkenalkan konsep dan rekaan menggunakan dekor unik serta memberikan inspirasi kepada pekerja di dalamnya; pejabat kerajaan sangat-sangat praktikal dari segi hiasannya.

Ini bukanlah satu kritikan; sebaliknya sekiranya anda sudah biasa dengan kemudahan dan fasiliti di kompleks swasta yang kelihatan mewah dan korporat - bertugas di pejabat awam tidak akan memberikan anda pengalaman serupa.

Apatah lagi kalau anda datang daripada syarikat-syarikat multinasional.

4. Bersedialah dengan corak kerja pejabat yang berlarutan lama

kerenah birokrasi dalam urusan

Masyarakat sering memburukkan penjawat awam dengan tohmahan penjawat awam bekerja perlahan, slow, lembap!

Bagaimanapun bagi mereka yang faham kerenah birokrasi dalam sesebuah agensi kerajaan - ada sebabnya kenapa urusan kerajaan mengambil masa lebih panjang berbanding berurusan dengan agensi swasta.

Tatacara pengurusan dan pergerakan organisasi dalam sesebuah kementerian atau agensi kerajaan didakwa perlahan, disebabkan oleh sistemnya sendiri yang memerlukan kesemua perkara dilakukan secara teratur, berlandaskan protokol dan direkodkan dengan lengkap.

Semua urusan perlu disemak oleh beberapa peringkat pengesahan sebelum dianggap sahih dan bukan setiap masa pegawai yang memegang kuasa pengesahan ada - bagi mengelakkan berlakunya kesilapan atau keculasan, yang boleh membawa kepada masalah besar di kemudian hari.

Pada penulis, untuk mendakwa penjawat awam perlahan agak tidak adil kerana mereka sebenarnya bekerja sama saja kelajuannya - namun kekangan sistem yang membataskan mengakibatkan semua urusan 'rasa perlahan.'

5. Menerima menteri sebagai boss anda

kabinet malaysia 2020

Di kalangan penjawat awam apabila diajak berbual tentang isu melibatkan 'boss' mereka atau menteri yang dilantik mengemudi sesebuah kementerian, jawapan yang biasa akan kita dengar adalah 'kami hanya pelaksana.'

Apa yang penulis cuba sampaikan di sini, apabila anda memilih untuk menjadi seorang penjawat awam - hendak tak hendak, anda sangat terdedah kepada perubahan dasar yang diperkenalkan oleh menteri atau kabinet yang ditubuhkan.

Sebagai pelaksana dasar, anda tidak ada pilihan lain selain akur dalam menjalankan tanggungjawab anda walaupun dasar yang diperkenalkan oleh menteri itu bertentangan dengan pendapat anda.

Seorang penjawat awam berkhidmat bukan kepada parti kerajaan yang memerintah, sebaliknya berkhidmat kepada 'government of the day' atau kerajaan ketika itu.

Kami yakin di kalangan penjawat awam pasti ramai yang mempunyai pandangan politik sendiri apabila diarahkan melaksana dasar yang 'kurang digemarinya', namun tugas sebagai pelaksana haruslah diletakkan sebagai keutamaan anda.

6. Anda tidak boleh berpolitik secara terbuka

politik malaysia penjawat awam

Bagi orang biasa bukan bergelar penjawat awam, menyuarakan ketidakpuashatian kita kepada dasar kerajaan merupakan sesuatu amalan yang biasa berlaku.

Penjawat awam khususnya dalam jawatan gred pegawai secara rasminya tidak dibenarkan melibatkan diri dalam politik. Kebenaran khas diberikan kepada kumpulan penjawat awam gred pelaksana dasar dibolehkan untuk menyertai dan memegang jawatan dalam parti.

Untuk segelintir kumpulan taksub politik, mereka melihat kekangan ini sesuatu yang tidak adil - kerana bagi mereka 'penjawat awam harus dibenarkan berpolitik secara bebas.'

Kekangan ini perlulah dilihat sebagai pemudahcara bagi mengelakkan polemik wujud di dalam pelaksanaan dasar serta individu yang ditugaskan melaksanakan dasar tersebut, bagi mengelakkan konflik percanggahan yang mampu merencatkan urusan pentadbiran.

Pasti agak janggal untuk kita sebagai orang luar melihat seorang penjawat awam berpangkat tinggi, berkempen agar orang ramai tidak lagi mengundi ahli parlimen yang dilantik sebagai menteri yang dilantik dalam kementerian, hanya kerana perbezaan ideologi politik.

Hendak tak hendak, sekiranya anda ingin menjadi penjawat awam tak kiralah di jabatan mana sekalipun - kemahuan untuk berpolitik sama ada melalui gerakan aktivisme, media sosial mahupun badan bukan kerajaan perlulah diredakan.

Pada pandangan penulis, arahan ini adil kerana terpakai kepada mana-mana pihak yang dilantik sebagai kerajaan.

Jika ada parti yang memperjuangkan kebebasan berpolitik bagi penjawat awam semasa mereka membangkang, percayalah - apabila mereka mendapat kuasa golongan pertama yang akan didiamkan adalah penjawat awam sendiri.




Hakcipta iluminasi.com (2017)