Rakyat Malaysia dan kereta memang tidak boleh dipisahkan. Ini kerana tanpa adanya kereta sendiri, besar kemungkinan cukup sukar untuk kita ke mana-mana, khususnya di kawasan di mana pengangkutan awam kurang perkhidmatannya.

Industri kereta di negara kita juga meriah disebabkan oleh kewujudan dua perusahaan automotif terbesar negara serta pembukaan banyak kilang pengeluar kereta di sini. Kenderaan yang dikeluarkan 'made in Malaysia' pun sudah terbukti mampu bersaing dalam pasaran antarabangsa.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Bagaimanapun melihat trend rekabentuk kereta zaman moden, timbul rasa kegusaran pada hati penulis ekoran kelemahan rekaan yang ada. Berikut adalah lima trend rekaan kereta yang kami harap tidak akan dituruti pengeluar jenama Malaysia.

1. Kegilaan men-touchscreen-kan semua benda

tesla skrin sentuh

Skrin sesentuh atau touchscreen memang memudahkan orang ramai menggunakan telefon. Bagaimanapun perubahan itu seharusnya tidak diterjemahkan ke dalam rekaan kereta khususnya di bahagian alat kawalan pemandu.

Malangnya touchscreen sudah jadi seperti satu aksesori yang dipromosikan secara besar-besaran kepada pengguna. Unit hiburan kereta kini sudah datang dalam bentuk touchscreen dari kilang. Mana pengguna yang tidak ada touchscreen dalam kereta, akan menukarkannya di kedai aksesori. 

Semuanya untuk menuruti trend semasa. 

Sudahlah unit hiburan kereta di-touchscreen-kan, butang-butang kawalan pendingin hawa pun sudah ada yang diintegrasikan ke dalam sistem skrin. Nak naikkan suhu pun, perlu melalui beberapa menu.

Yang bahaya, mata kita perlu fokus pada skrin semasa memandu, jauh bezanya dengan sistem butang dan dail yang JAUH lebih mudah dikendali tanpa perlu kita hilang fokus.

2. Tiada tayar ganti

kit tayar ganti kereta

Dalam memaksimakan ruangan bagasi, sesetengah pengeluar mengambil langkah paling mudah - membuang tayar ganti yang selama ini wajib ada, digantikan dengan pemberian kit penampal tayar yang akan mengisi gel penampal ke dalam tayar yang bocor.

Daripada aspek praktikalnya, memanglah mudah kerana tayar bocor tidak perlu digantikan. Pemandu hanya perlu mengisinya dengan bantuan pengepam. Bagaimanapun tayar yang telah dibaiki dengan alat ini perlu digantikan.

Selain itu, penggunaannya hanya berkesan untuk lubang sebesar kira-kira 4mm. Ada kemungkinan kit yang ada gunakan tidak mampu menutup lubang yang ada, memerlukan pemandu memanggil trak tunda bagi mengangkut kereta anda.

Dengan tayar ganti, masalah sebegini tidak wujud melainkan kebocoran yang berlaku, berlaku kepada lebih 1 tayar.

3. Trend infotainment

sistem infotainment kereta

Dengan kemudahan internet serta penggunaan telefon pintar yang meluas, informasi sudah jadi sesuatu yang 24 jam sehari disalurkan kepada kita. 

Trend ini juga berlaku di kalangan pengeluar kereta, di mana sistem infotainment kereta sudah jadi mirip dengan sebuah telefon pintar - walaupun majoriti pemandu kereta sudah ada sebuah telefon pintar.

Anehnya, pengeluar kereta memasarkan sistem infotainment ini sebagai peranti yang mampu mengambil alih tugas telefon pintar semasa memandu. Menyambungkan Android Auto dan Apple CarPlay ke sistem kenderaan sudah jadi satu ciri popular. Dapat menyemak mesej Whatsapp pun dijadikan promosi. 

Sistem infotainment yang mampu menyemak ramalan cuaca pun ada!

Persoalannya - perlukah semua 'info' ini diberikan kepada pemandu semasa mereka memandu? Tidak pun. Lagi ringkas sistem yang ada, lagi bagus. Ini kerana majoriti antara kita hanya akan menggunakan telefon pintar kita untuk kegunaan sama.

4. Tayar dan rim standard makin besar

saiz rim semakin besar

Kegilaan pembeli untuk mendapatkan kereta yang nampak gagah, mengakibatkan semakin banyak pengeluar berlumba memadankan tayar dan rim bersaiz besar kepada model-model mereka.

Kita pun berlumba membelinya kereta melihat kegagahan kereta itu. Mana-mana pemandu yang masih memandu kereta dengan tayar dan rim saiz kecil, dipandang hina. 

Sampai masa nak tukar tayar, barulah pemandu-pemandu tadi menangis tengok kos tayar yang perlu mereka keluarkan.  Walhal kereta yang mereka beli harga bawah RM100,000 sahaja.

5. Gear rekaan dail

dail gear aneh

Sama ada anda suka gear manual 12345R atau automatik PRND2L, ada sesuatu yang memuaskan tatkala anda menggunakan gear-gear ini. Bunyi yang terhasil serta perubahan yang dapat anda rasai pada bahagian mekanikalnya, memudahkan anda mengenalpasti setiap gear yang ada. 

Jadi amat menghairankan kenapa trend pengeluar sekarang tampaknya mahu menjadikan gear berbentuk rotari menggunakan dail sebagai standard. Diilhamkan daripada kereta elektrik, gear sebegini dipuji kerana menjimatkan ruangan di bahagian depan kerana tidak perlu lagi menempatkan batang gear.

Bagaimanapun sistem rotari yang digunakan masih gagal memberikan 'kepuasan' dan 'maklumbalas' yang dapat kita terima daripada sistem gear rekabentuk lama. Tidak ada apa yang lebih penting kepada seorang pemandu, selain daripada maklumbalas yang dapat kita rasa daripada kereta yang kita pandu.

Sungguh menghairankan kenapa pengeluar kereta sekarang seakan berlumba-lumba mahu menjadikan kereta sebuah mesin berteknologi tinggi, tetapi tidak lagi memberikan 'maklumbalas' secara terus kepada pemandu menerusi deria kita.

Semuanya sudah jadi terlalu elektronik sehingga menghilangkan hubungan terus kita dengan kereta, yang dapat kita rasakan menerusi sentuhan, pendengaran, penglihatan dan gegaran kereta kita. 




Hakcipta iluminasi.com (2017)