Dalam isu berkaitan Covid-19, penulis sebenarnya enggan menulis tentang topik tersebut berdasarkan kepada andaian atau gosip.

Namun apabila berita terbaru tentang penyelidik yang menemui virus HIV, Dr. Luc Montagnier dari Perancis mendakwa virus SARs-CoV-2 penyebab Covid-19 ciptaan manusia - itu adalah sesuatu yang menarik untuk dibincangkan.

Dr. Luc Montagnier adalah seorang pakar bidang virologi yang lahir pada tahun 1932 di Perancis, menjadi salah seorang penyelidik bersama Institut Pasteur di Perancis sebelum berhijrah ke Jiao Tong University di Shanghai, China.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Beliau adalah penyelidik kanan kumpulan yang diisytiharkan berjaya menemui virus punca jangkitan HIV (ketika itu digelar 'wabak gay' dan virus LAV) serta dianugerahkan Anugerah Nobel pada tahun 2008, berikutan penemuan itu. Beliau berkongsi anugerah itu dengan anak muridnya, seorang penyelidik wanita bernama Francoise Barre-Sinoussi.

Isytihar Covid-19 adalah ciptaan China

montagnier temuramah tv perancis

Dakwaan virus penyebab Covid-19 adalah ciptaan manusia memang sudah berbulan-bulan berlegar, selepas bermulanya wabak tersebut.

Amerika Syarikat di bawah pentadbiran Donald Trump setakat ini menjadi pihak paling lantang menyokong dakwaan virus itu dihasilkan di makmal China namun tersebar selepas kebocoran atau kemalangan - mengakibatkan virus itu mula bebas.

Dakwaan-dakwaan seperti ini memang seronok diperkatakan, apatah lagi jika kita suka bercakap tentang teori konspirasi. Bagaimanapun, sehingga kini belum ada bukti menunjukkan kesahihan ke atas perkara itu.

Jika anda pembaca setia Iluminasi, kami sudah menerbitkan beberapa artikel yang memperjelaskan kepada anda bagaimana SARS-CoV-2 mempunyai kemampuan untuk menyerang bermacam jenis organ manusia. Kami juga sudah menerangkan bagaimana virus itu menyerang otak dan yang paling berkait dengan artikel ini - kami sudah menulis bagaimana virus itu mempunyai kemampuan mirip HIV.

Apa yang menarik, kajian tentang virus SARS-CoV-2 menyerang sistem daya tahan manusia kebanyakannya masih dalam peringkat awal - tetapi Dr. Montagnier secara jelas menyebut SARS-CoV-2 penyebab Covid-19 adalah ciptaan manusia, bukan datang dari kelawar seperti yang didakwa China.

Dicipta sebagai vaksin HIV

usaha vaksin hiv covid 19

Kenyataan itu dilakukan dua kali. Kali pertama dalam temuramah bersama pengacara podcast di Perancis dan yang kedua, ketika temuramah bersama stesen televisyen - beliau menamakan kecuaian atau kesilapan yang berlaku di makmal yang terletak di Wuhan, China sebagai punca utama semua yang berlaku.

Dr. Montagnier menjelaskan proses manipulasi yang telah dilakukan ke atas virus asal kelawar dengan penambahan beberapa rangkaian genome baru, mirip virus HIV merupakan satu perkara yang tidak mampu berlaku secara semulajadi.

Pada pendapat beliau, susunan genome virus itu merupakan satu kerja tangan seorang pakar biologi molekular yang sangat mahir. Tambah beliau, apa yang telah dilakukan ke atas virus itu mirip cubaan mengubah struktur virus itu bagi membolehkan penghasilan vaksin melawan HIV yang berkesan.

Bagaimanapun, dakwaan itu mendapat kritikan dahsyat daripada kumpulan penyelidik lain.

Dikutuk sudah tidak relevan

luc montagnier hiv covid 19 bjm5

Menyedari kontroversi yang boleh melanda disebabkan kenyataan itu, kerajaan Perancis pantas mengeluarkan kenyataan mengkritik pandang Dr. Montagnier sebagai tidak berasas - kerana tidak ada hubungkait di antara makmal berstatus P4 di Wuhan dan SARS-CoV-2 ditemui setakat ini.

Bekas rakan sejawat beliau di Institut Pasteur, Olivier Schwartz menyamakan apa yang disebutkan Dr. Montagnier sebagai teori tanpa bukti. Penyelidik di Institut Pasteur sendiri telah pun mengkaji warisan genetik virus tersebut serta menemui persamaan dengan virus SARS-CoV-1 yang 80% menyerupai rangkaian genetiknya.

Kritikan lebih pedas datang daripada seorang pengamal-pengamal perubatan lain, khasnya melalui media sosial.

Seorang doktor perubatan dari Merida, Venezuela bernama Juan Carlos Gabaldon mengkritik Dr. Montagnier tidak lagi relevan pandangannya, disebabkan oleh tindakannya mempertahankan ilmu perubatan homeopati serta menjadi salah seorang pendokong gerakan anti vaksin.

Penjelasan lebih lanjut menafikan pandangan Dr. Montagnier, dibuat melalui penerbitan beberapa laporan kumpulan penyelidik. Dengan menggunakan kaedah perbandingan struktur virus HIV-1 dan SARS-CoV-2, penyelidik melaporkan mustahil wujud sebarang kemungkinan di antara kedua-dua virus.

China mempertahankan kenyataan awal

yang zhi min wuhan institute virology

Berdepan bermacam jenis tuduhan menjadi punca wabak berlaku, Wuhan Institute of Virology (WIV) sebelum ini hanya mengeluarkan kenyataan media, menafikan dakwaan ke atas mereka.

Namun serangan demi serangan yang dikepalai Presiden Amerika Syarikat, memaksa pengarah WIV Prof. Yuan Zhiming berhadapan dengan media buat pertama kali pada 19 April 2020 bagi memperjelaskan pendirian mereka.

Prof. Yuan direkodkan menyebut bahawa mustahil jangkitan berlaku dimulakan daripada apa yang ada dalam makmal mereka, kerana mereka tidak menjalankan sebarang kajian berkait dengan virus corona semasa wabak bermula. Selain itu, tidak ada petugas di makmal itu dijangkiti virus - menandakan tahap keselamatan yang mereka amalkan tidak terjejas integritinya.

Beliau menyifatkan tuduhan-tuduhan yang dihamburkan hanyalah spekulasi, disebabkan banyak pihak mahu mencari kambing hitam untuk dipersalahkan - sedangkan mereka sudahpun bekerjasama dengan WHO sendiri sejak mula, berkongsi sampel dan maklumat yang mereka perolehi.

Kenyataan itu yang jelas dibuat untuk menjawab tuduhan oleh Donald Trump dan sekutunya, pasti tidak akan dihiraukan mereka yang sudah memilih untuk menuduh WIV.

Ditambah dengan kenyataan yang dibuat seorang penyelidik ternama seperti Dr. Montagnier yang disegani diseluruh dunia, nyata akan menjadi peluru baru untuk China terus didesak sekutu-sekutu Amerika.




Hakcipta iluminasi.com (2017)