Oleh pada 20 Aug 2018 kategori

Virus mungkin sejenis perkataan yang kurang gemar untuk didengari. Makhluk mikroskopik ini seringkali dikaitkan dengan pelbagai penyakit berbahaya dan juga kematian. Dengan saiznya yang begitu kecil, virus tidak dapat dilihat oleh mata kasar.

Walau bagaimanapun, ianya wujud hampir di semua tempat di Bumi ini. Ianya boleh menjangkiti fungi, tumbuh-tumbuhan, haiwan dan juga manusia. Walau bagaimanapun,  realitinya tidak semua virus memberi keburukan semata-mata kepada manusia.

Benar, ada banyak virus sebenarnya memberi manfaat kepada manusia dalam pelbagai bidang antaranya bidang perubatan dan pertanian. Kali ini, pihak Iluminasi ingin berkongsi 5 virus dan manfaatnya kepada manusia.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Adenovirus

Adenovirus adalah antara virus yang popular dan sangat mudah menjangkiti manusia. Kebiasaannya, pesakit hanya menunjukkan simpton yang ringan dan akan pulih selepas beberapa hari. Antara penyakit yang biasanya disebabkan oleh virus ini adalah pneumonia, bronchitis, demam, sakit tekak dan lain-lain.

Menariknya, kajian yang dilakukan oleh para saintis mendapati, satu jenis daripada virus ini, HAdV-52, akan melekat pada satu jenis karbohidrat yang spesifik yang biasanya terdapat pada sel kanser. Ini mencetuskan idea tentang kemungkinan virus ini boleh digunakan untuk mengubati penyakit kanser.

Walaupun masih dalam peringkat kajian, saintis berharap ianya dapat digunakan untuk mencipta ubatan untuk merawat kanser. Saintis juga yakin virus ini dapat membantu manusia membina sistem imunisasi badan untuk merawat penyakit kanser secara semulajadi.

2. Vesicular Stomatitis Virus

Vesticular stomatitis virus (VSV) merupakan virus yang popular satu ketika dahulu dan biasanya menjangkiti kuda. Virus ini dikatakan akan menyebabkan ulser pada mulut kuda. Virus ini juga dikatakan boleh menjangkiti manusia melalui kuda. Walau bagaimanapun, ianya tidaklah merbahaya dan tidak boleh menyebabkan kematian kepada manusia.

VSV merupakan satu lagi virus yang sedang dikaji saintis mengenai potensinya untuk merawat penyakit kanser melalui sejenis rawatan yang dikenali sebagai terapi oncolytic virus (OV). Walau pun terdapat kesan yang positif, kajian lebih mendalam sedang dilakukan terhadap virus ini.

3. Bacteriophages

bacteriophages

Bacteriophages adalah sejenis virus yang menjangkiti bakteria. Ianya boleh ditemui hampir di mana sahaja - dalam tanah, air dan juga tubuh badan manusia. Virus ini ditemui pada tahun 1915 oleh Frederick Twort dan merupakan antara virus yang popular dalam bidang mikrobiologi terutamanya dalam rawatan untuk menghalang jangkitan bakteria.

Walaupun  rawatan terapi menggunakan virus ini masih dalam kajian, ianya sudah digunakan untuk merawat beberapa penyakit dan saintis positif ianya akan dapat merawat penyakit Sistik Fibrosis dan kanser. Terdapat juga pendapat bahawa ianya mungkin boleh digunakan sebagai pengganti antibiotik pada masa akan datang dimana virus sudah mempunyai ketahanan terhadap rawatan antibiotik.

4. Virus yang membuatkan tumbuhan mampu hidup di suhu yang tinggi

tomato tahan haba

Sesetengah tumbuhan mempunyai kebolehan untuk hidup dalam cuaca yang panas. Berdasarkan kajian, para saintis dapati kebolehan ini adalah disebabkan oleh sejenis virus unik pada tumbuhan-tumbuhan ini. Kebiasaannya, pada tumbuhan ini terdapat sejenis fungi yang dikenali sebagai endophyte. Saintis percaya virus yang menjangkiti fungi inilah yang memberi kelebihan kepada tumbuhan ini agar tahan panas.

Menariknya, dalam kajian yang dilakukan, para saintis dapati sekiranya virus ini diletakkan pada tumbuhan lain, ianya turut akan mempunyai keupayaan untuk hidup pada suhu yang tinggi. Mereka berjaya menghasilkan tomato yang mampu hidup pada suhu 60 darjah celsius. Penemuan ini sangat bermanfaat terutamanya bagi mereka yang tinggal di tempat bersuhu tinggi dan ketika musim kemarau.

5. GBV-C

hepatitis g virus

HIV merupakan antara penyakit popular pada abad ke 21 akibat daripada amalan seks bebas. Selain itu, terdapat sejenis lagi virus yang semakin mendapat perhatian  saintis iaitu GBV-C kerana kesan yang dilakukannya kepada pesakit HIV. GBV-C adalah sejenis virus dalam keluarga virus Flaviviridae dan dikenali juga sebagai Hepatitis G.

Virus ini menarik perhatian para saintis kerana ianya didapati mempunyai keupayaan untuk melambatkan kesan HIV pada pesakit. Dalam kata lain, seseorang yang mempunyai kedua-dua virus HIV dan GBV-C biasanya menunjukkan progres yang lambat untuk mendapat AIDS. Saintis percaya mungkin terdapat sesuatu pada virus ini yang mungkin dapat dimanfaatkan bagi mengubati pesakit AIDS.

Kredit:

  1. Science Daily
  2. Popular Science
  3. American Society for Microbiology
  4. National Center for Biotechnology Information



Hakcipta iluminasi.com (2017)