Sekiranya anda berbual dengan mereka yang gemar dengan teori konspirasi, pasti akan ada dakwaan yang menyalahkan pihak tertentu sebagai dalang di sebalik penyebaran virus apabila berlakunya wabak.

Tuduhan tentang kajian dan penyelidikan yang sengaja dijalankan untuk mencipta virus sebagai senjata, memang ada benarnya. Kami pun sudah menyenaraikan tentang topik itu dalam artikel kami. Bagaimanapun, sesuatu yang tak dapat kita nafikan benar berlaku - adalah perubahan pada sifat virus disebabkan oleh faktor semulajadi.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Ada banyak faktor yang menyebabkan virus mampu berubah-ubah sifatnya, daripada tidak berisiko sehinggalah mampu menyebabkan kematian manusia. Apa yang kita perlu tahu, semua ini berlaku tanpa ada campur tangan manusia.

Bagaimana? Jom kita belajar tentang proses perubahan sesuatu virus yang berlaku setiap masa.

Sifat asal virus

virus dibawah mikroskop

Realitinya, virus hanyalah satu bendasing atau kuman yang ringkas - tidak mampu menghasilkan tenaga serta mempunyai kebolehan yang sangat terhad dan hanya satu fungsi saja - iaitu menjangkiti sel perumah kemudian menghasilkan replika dirinya berulang kali.

Virus mempunyai sifat tidak pernah berhenti berubah dari segi genetiknya. Oleh sebab itu, kajian berkenaan virus besar kemungkinan tidak akan terhenti - kerana setiap virus akan melalui perubahan, walau sekecil mana sekalipun menerusi dua proses utama yang telah berjaya kita kenalpasti.

Dua proses itu adalah proses mutasi dan proses penggabungan semula. Hanya selepas virus melalui proses inilah baru tahap kesesuaian atau keserasian virus (virulence) akan meningkat.

Bagaimanapun, apabila sesuatu virus telah menjalani salah satu atau kedua-dua proses yang menyebabkannya mengalami perubahan - keserasian virus yang sebelum itu terhad, akan mula berubah dan bertambah. Virus yang berubah mula memiliki kebolehan untuk menjangkiti spesis yang lebih luas skopnya.

Ramai selalu sebut mutasi virus - tetapi apa sebenarnya proses mutasi?

Apa sebenarnya mutasi virus?

mutasiu virus anitigenik

Mutasi sebenarnya adalah kesilapan atau kecacatan yang berlaku pada sel virus tertentu semasa hayatnya, tetapi kecacatan yang berlaku tidak cukup untuk mengganggu sistem asas virus tersebut agar dapat terus hidup dalam perumahnya.

Proses mutasi virus merupakan satu perubahan semula jadi yang akan berlaku setiap masa dan mutasi terhadap sesuatu virus berlaku hanya melalui tiga cara sahaja.

Pertama, adalah disebabkan kecacatan yang wujud akibat daripada perubahan sifat virus selepas terdedah kepada cahaya UV dan juga sinar-X. Sinar X di sini bukanlah bermakna sinar seperti dalam bilik radiografi - tetapi sinar-X yang wujud secara semulajadi akibat perubahan alam.

Yang kedua adalah disebabkan oleh perubahan yang berlaku kepada asid nukleik yang membentuk 'badan' virus tersebut sehingga menyebabkannya rosak.

Kaedah ketiga sesuatu mutasi berlaku adalah melalui abnormaliti yang terjadi semasa enzim dalam badan virus mereplikakan nukleik asid dan berlakunya kesilapan semasa menghasilkan replika dirinya.

Bagaimana virus mengalami penggabungan semula?

virus recombination penggabungan semula

Kaedah kedua perubahan virus adalah penggabungan semula.

Setiap virus yang menyerang hos akan menghasilkan replika serupa dengan asalnya semasa proses jangkitan atau lebih tepat, semasa proses inkubasi. Bagaimanapun, dalam sesetengah situasi, wujud dua virus dari keluarga sama menjangkiti satu hos dalam satu masa. 

Jika ini berlaku, peratusan untuk penggabungan semula virus berlaku amatlah cerah.

Penggabungan semula virus (recombination) hanya akan terjadi apabila dua virus yang datang daripada keluarga virus yang sama tetapi strain asalnya yang berbeza berinteraksi, semasa berlakunya proses replikasi virus.

Penggabungan semula dari apa yang kita tahu, hanya berlaku apabila melibatkan dua jenis virus daripada kumpulan yang sama (dua virus influenza, dua virus corona dsb.) yang akan menghasilkan virus yang mewarisi ciri-ciri genetik yang dimiliki kedua-dua sumber asalnya.

Dalam bahasa pasar, apabila dua virus daripada dua kumpulan yang sama menjangkiti dan berkongsi satu hos badan - kedua-dua virus boleh bercantum replikasnya sehingga menghasilkan 'anak' yang mempunyai sifat baru. Anak ini, hasil proses penggabungan semula virus - akan mempunyai sifat serta ciri-ciri yang berbeza berbanding kedua-dua 'ibu bapa' asal virus tersebut.

Sebagai contoh, jika sebelum itu 'ibu atau bapa' nya tidak mampu menjangkiti haiwan spesis lain selain kelawar, anaknya itu berkemungkinan mempunyai kebolehan untuk menjangkiti spesis itu. Banyak kemungkinan boleh berlaku melibatkan hasil penggabungan semula ini.

Sekiranya hasil penggabungan semula itu belum pernah ditemui - penyelidik akan menamakannya sebagai 'virus novel' atau 'virus baru.' Sebab itulah pada awalnya virus SARS-CoV-2 dinamakan pada awalnya sebagai NCoV-2019 bagi melambangkan statusnya sebagai jenis virus yang kali pertama diketahui manusia.

Apa kepentingan mutasi dan penggabungan semula pada virus?

virus mutasi penggabungan semula

Seperti yang sudah diperjelaskan, hanya dengan melalui dua proses ini virus boleh meningkatkan kadar kesesuaian mereka dengan hos atau perumah yang berbeza atau baru, mampu melompat dari satu spesis kepada spesis lain.

Kedua-dua proses ini dalam lapang kajian virus dikategorikan di bawah proses evolusi virus, di mana virus dianggap melalui proses evolusi bagi membolehkannya menyesuaikan diri dengan perubahan yang membolehkannnya terus hidup dan kekal disebarkan.

Apabila virus menjalani mutasi, perubahan pada virus itu akan membolehkan hos yang sebelum itu mungkin mampu membunuhnya tidak dapat lagi menemui kehadirannya dalam badan. Seseorang manusia atau seekor haiwan yang sebelum ini mungkin mempunyai sistem pertahanan badan melawan virus, tidak lagi mempunyai imuniti kepada virus itu selepas virus itu menjalani mutasi.

Penggabungan semula pula membolehkan sesuatu virus itu diperkukuhkan sifatnya.

Dengan menjalani proses penggabungan semula dengan virus lain, sesuatu virus itu akan mempercepatkan proses penggabungan genetik yang baik serta membuang mutasi yang ada sebelum itu - membolehkannya memiliki semua sifat-sifat yang baik tanpa memiliki lagi kecacatan yang berlaku pada 'ibu bapanya.'

Mutasi dan penggabungan semula merupakan proses semulajadi di mana virus berevolusi mencari hos yang sempurna - yakni hos yang tidak akan membunuhnya dan juga tidak mati akibat dijangkitinya, tak kiralah haiwan atau manusia.

Manusia juga sebenarnya mendapat manfaat dalam memahami susur galur virus, hasil daripada dua proses ini.

Faedah evolusi virus kepada manusia

coronavirus vaksin vaccine

Oleh kerana kecacatan-kecacatan akibat mutasi yang berlaku pada sesuatu virus bersifat kekal diwarisi oleh keturunannya, secara tak langsung apabila berlakunya sesuatu wabak - kita dapat memahami asal-usul virus itu daripada kecacatannya.

Ini berdasarkan kepada kesan mutasi yang telah terjadi kepada sampel virus, membolehkan kita mengkaji semula perubahan-perubahan yang telah berlaku dengan mengundur ke belakang, mengkaji setiap peringkat mutasi yang ada sebelum kita sampai kepada virus utama atau asalnya.

Daripada rantaian inilah kita dapat memahami dan menjawab soalan yang berkait dengan rantaian virus manakah yang telah menyebabkan wabak.

Hanya dengan memahami rantaian dan susur galur virus yang merebak, barulah manusia dapat mencipta suntikan vaksin yang mampu mengaktifkan sistem pertahanan tubuh kita agar tahu bagaimana hendak melawan jangkitan sesuatu virus.

Sebagai contoh - dalam proses pembuatan vaksin bagi penyakit polio, poliovirus dibiarkan menjangkiti sel buah pinggang haiwan monyet yang akan menyebabkan mutasi, disebabkan oleh keperluan virus untuk menyesuaikan dirinya dengan hos.

Apabila poliovirus membina lebih banyak replika dirinya dalam sel buah pinggang tersebut, mana-mana virus yang terhasil dan mempunyai mutasi pada bahagian lapisan proteinnya akan dipilih untuk menjadi vaksin.

Virus terpilih mempunyai sifat baru akibat mutasi - tidak lagi mampu melekat pada sel-sel neuron dalam otak manusia seperti virus asalnya sebaliknya masih mampu menjangkiti sel usus dalam kadar rendah, yang tidak membahayakan seseorang yang dijangkiti.

Bila jangkitan virus berlaku pada sel usus, secara automatik sistem pertahanan tubuh akan mengenalpasti serangan yang berlaku - menggerakkan antibodi dihasilkan seterusnya membolehkan seseorang mempunyai imuniti terhadap serangan virus polio.

Rujukan

Genetic Changes in Virus

Why do RNA viruses recombine?




Hakcipta iluminasi.com (2017)