Setelah lama menanti, syarikat kereta elektrik Tesla akhirnya mengumumkan penjualan kenderaan di bawah jenama mereka di Malaysia, secara rasmi.

Pengumuman itu menamatkan teka-teki dan penantian ramai peminat-peminat kenderaan jenis elektrik - kerana memang sudah diketahui daripada aspek populariti, Tesla mungkin no.1; mempunyai peminat fanatik yang setia dan setiap keluaran mereka membuatkan kita tertanya-tanya apa keunikannya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Namun kita juga harus menanam sikap skeptikal; adakah populariti Tesla memang berpaksikan realiti atau hakikatnya, hanyalah taktik pemasaran semata-mata? Jom kita rungkai serba-sedikit agar kita dapat berpijak di bumi nyata.

Populariti Tesla ada benarnya

tesla kereta terbaik ev

Jika kita menggunakan angka jualan sebagai pengukur populariti, berdasarkan statistik bagi tahun 2022 model paling popular di dunia datang daripada syarikat Jepun, Toyota dengan model Corolla. Di tempat kedua juga milik Toyota melalui model RAV4.

Tesla Model Y yang bakal diperkenalkan di negara kita tak lama lagi pula walaupun 'sekadar' menduduki tempat keempat di belakang siri trak Ford F - merupakan model kereta elektrik paling laris di dunia.

Di tempat keempat sekalipun, tidak menggambarkan perubahan yang sedang berlaku di seluruh dunia kerana Model Y merupakan satu-satunya model kereta dalam kedudukan 10 terlaris dunia yang mencatatkan peningkatan angka jualan daripada 2021 setinggi 88.7%.

Jika kita mengambil kira data paling baru bagi suku pertama tahun 2023, apa yang sedang dilakukan Tesla tampak benar-benar berjaya. Ketika ini Model Y merupakan model paling laris di dunia, mencatatkan peningkatan 69% jika dibandingkan suku sama tahun lepas.

Angka ini disokong kuat peminat Tesla di China, yang menjadi pasaran terbesar model tersebut jika dibandingkan dengan Amerika Syarikat dan Eropah. Senang cerita, Tesla Model Y memang popular.

Tetapi adakah Tesla berbaloi?

tesla masuk malaysia

Dibuka pada harga jualan RM199,000 pada konfigurasi paling asas di Malaysia mengakibatkan banyak pihak terkejut dengannya.

Ini kerana harga ini jauh lebih murah berbanding jangkaan serta telahpun menyebabkan banyak pihak pengedar kereta yang selama ini membawa masuk Model Y secara tidak rasmi, menggigit jari terpaksa menanggung kerugian.

Walau bagaimanapun, apabila sudah ditakrifkan sebagai popular - pasti akan timbul lebih banyak isu dan kontroversi berkaitan kualiti sesebuah kenderaan. Begitulah juga dengan Tesla sendiri.

Berdasarkan kaji selidik yang dilakukan oleh JD Power di Amerika Syarikat, untuk setiap 100 unit Tesla (pelbagai) yang dijual, akan ditemui secara purata 176 masalah mekanikal berlaku - meletakkan Tesla di tempat ke 27 daripada 28 jenama bersaing.

Angka ini jauh lebih tinggi berbanding nilai purata yang didapati kaji selidik itu, pada tahap 121 kerosakan untuk setiap 100 unit kenderaan. Lexus, Porsche, Kia, Toyota dan Buick menduduki lima tempat teratas.

Masih banyak ruang yang perlu diperbaiki Tesla

Dalam sebuah lagi kaji selidik yang dijalankan organisasi bebas Consumer Reports - Tesla terpaksa berpuas hati di tempat ke 19 daripada 24 jenama yang diukur. 

Bagaimanapun Consumer Reports turut menekankan bahawa sistem dan teknologi yang digunakan oleh Tesla, khususnya yang berkait dengan perisian dan jentera elektriknya merupakan penyumbang utama kepada isu yang timbul, disebabkan oleh pembaharuan yang cuba diperkenalkan jenama itu.

Perbezaan model-model Tesla berbanding jenama-jenama lain yang masih mengekalkan sistem enjin lebih tradisional serta kurang bergantung kepada pengemaskinian perisian, memberikan jenama lain kematangan yang belum Tesla perolehi.

Uniknya, jika jenama Tesla di ukur di mana Tesla benar-benar meledak iaitu China, ceritanya pula jauh berbeza.

Tesla adalah jenama kenderaan elektrik yang diyakini di China

tesla model y malaysia rm199 000 harga jualan

Lain padang, lain belalangnya. Mungkin kerana itulah jika kita mengambil kira kaji selidik bermotif serupa yang dijalankan dalam pasaran China, Tesla merupakan jenama paling dipercayai pengguna kereta negara itu.

Melakukan perbandingan 40 model kenderaan elektrik secara keseluruhan yang ditawarkan dalam pasaran, Tesla Model Y menduduki tangga pertama paling diyakini warga China di mana hanya 2.2 laporan kerosakan dibuat pemilik untuk setiap 10,000 unit yang dijual.

Model-model daripada pengeluar China sendiri seperti BYD, Chery dan Lixiang mendapat ulasan paling teruk serta mencatatkan jumlah aduan paling tinggi, jika dibandingkan model-model lain.

Kajian yang dibuat seolah secara tidak rasmi menggambarkan, jika dibandingkan kualiti produk keluaran China dengan yang dijual di Amerika Syarikat dan Eropah - masih besar perbezaan sehinggakan Tesla yang dikritik teruk di tanah asal, disanjung di negara orang.

Secara tidak langsung, ini memberikan kita gambaran awal bagaimana agaknya kualiti jenama Tesla yang bakal dipasarkan di Malaysia. Jauh lebih baik berbanding kereta China, tidak mampu bersaing kualiti dengan jenama Eropah.

Mungkin boleh kita simpulkan produk Tesla keluaran China jauh lebih baik, berbanding model jenama sama yang dibuat di negara-negara berbeza. Atau Tesla ini walaupun gah namanya, mempunyai kualiti yang sama dengan jenama kenderaan keluaran Malaysia.




Hakcipta iluminasi.com (2017)