kredit foto : motoqar

Cuba bayangkan pintu kereta. Apa yang ada dalam gambaran kepala anda?

Pasti ramai yang membayangkan pintu kereta bersifat konvensional, jenis bukaan mirip pintu rumah yang mekanisme bukaannya terletak pada engsel dibahagian badan kenderaan.

Berbeza dengan majoriti rekaan pintu kereta yang ada, wujud beberapa pengeluar yang cuba memperkenalkan inovasi pada rekaan pintu. Ada antaranya menjadi rekaan yang dianggap ikonik. Ada juga yang langsung tidak menimbulkan impak yang berkekalan lama.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah 8 jenis rekaan pintu kereta yang jarang kita temui, kerana rekaannya sukar untuk diadaptasi dalam rekaan kereta tradisional yang ada.

1. Kaiser Darrin - pintu gelungsur

kereta dengan pintu tersembunyi

Kebanyakan pintu jenis gelungsur biasanya dipasang pada kenderaan jenis van. Itupun sistem mekanismenya hanya menggelungsurkan pintu keluar daripada badan kenderaan. Idea sama pernah diperkenalkan dalam model Kaiser Darrin keluaran Kaiser Motor pada tahun 1954.

Pintu bagi pemandu dan penumpang kenderaan itu bila dibuka, akan menggelungsur ke depan lalu tersembunyi dalam ruangan yang ada.

Pengeluarannya kurang mendapat sambutan disebabkan oleh kekuatan enjinnya yang terhad berbanding pesaing, menyebabkan hanya 435 unit Kaiser Darrin sempat dihasilkan sebelum dihentikan pengeluarannya.

2. BMW Z1 - pintu sembunyi

kereta dengan pintu aneh

Seperti magis, sistem mekanisme yang dipasang pada rekaan pintu model BMW Z1 ini mampu menyembunyikan pintu yang ada - seterusnya menjadikan model itu unik kerana boleh bergerak tanpa pintu!

Mengambil idea daripada model-model kenderaan lama yang mampu menyembunyikan pintu, Z1 dibangunkan dengan idea tersebut secara asas rekaannya. Adalah menjadi satu perkara biasa pemandu Z1 akan 'menurunkan' pintu kenderaan mereka semasa kereta bergerak bagi meninggikan lagi keseronokan memandu.

Diperkenalkan pada tahun 1989, Z1 menjadi antara model yang memegang identiti unik dibangunkan sepenuhnya dengan badan diperbuat daripada plastik.

3. Alfa Romeo Carabo - pintu gunting

kereta dengan pintu rekaan gunting

Agak kurang praktikal rekaannya, tidak menjejaskan reputasi rekaan Alfa Romeo dengan nama Carabo ini - kerana kenderaan ini diakui pereka-pereka kereta sebagai antara rekaan paling berpengaruh membentuk rekaan kereta moden.

Walaupun diperkenalkan hanya sebagai sebuah kereta prototaip, kenderaan ujian yang dibangunkan ini memang benar-benar boleh bergerak atas jalan raya. Rekaannya yang futuristik masih kelihatan segara sehingga ke hari ini.

Sistem mekanisme pintu yang dinamakan sebagai scissors door atau pintu bukaan gunting merupakan identiti paling popular model ini, yang diperkenalkan secara komersial dalam model Lamborghini Countach; kedua-dua model ini direka pereka sama iaitu Marcello Gandini.

4. Peugeot 1007 - pintu van 

peugeot 1007 pintu gelungsur van

Daripada luarannya, tampak tidak ada apa-apa yang menarik atau unik berkenaan model dua pintu keluaran syarikat Peugeot dari Perancis ini. Standard Peugeot punya rekaanlah.

Tetapi 1007 merupakan antara model dua pintu konvensional yang menggunakan sistem pintu gelungsur ala sebuah van dalam rekaannya. Bagaimanapun, mungkin kerana keunikannya itu jugalah tahap jualannya dianggap gagal teruk dalam sejarah Peugeot.

1007 merupakan antara kereta terbaik daripada segi spesifikasi dan keselamatan dalam kelasnya, tetapi dek kerana gagal memikat hati pembeli - model ini hanya dikeluarkan selama 4 tahun, bermula Mac 2004 sehinggalah penghujung tahun 2009. Anda pernah nampak model ini di Malaysia?

5. Panthermobile - pintu...hmm?

kereta pink panther

Berbeza dengan kereta lain dalam senarai ini, Panthermobile dibangunkan sebagai sebuah kereta pertunjukan untuk mempromosikan siri TV 'The Pink Panther Show' pada tahun 1969.

Dibina menggunakan casis sebuah model lain, ada banyak perkara unik berkenaan kenderaan ini. Pemandunya akan duduk di depan sendirian memandu tanpa bumbung. Warnanya juga dipilih merah jambu terang, menepati tema siri TV tersebut.

Pintu bagi penumpangnya pula, dibuat mirip tangga kapal terbang. Tidak ada kerusi penumpang disediakan, sebaliknya penumpang bolehlah bersantai dan berbaring di bahagian belakang sambil dipandu

6. Holden Hurricane - pintu kokpit

holden hurricane kereta pintu aneh

Bercakap tentang rekaan yang tidak praktikal, rasanya model Holden Hurricane mungkin harus diberikan gelaran tersebut. Ini kerana rekaan pintunya yang memerlukan sistem mekanisme dipasang mengangkat keseluruhan bahagian kokpit pemandu di depan, mirip rekaan kereta dalam cerita fiksyen sains.

Bagaimanapun, Hurricane hanyalah sebuah model ujian tahun 1969 yang dibangunkan oleh syarikat dari Australia ini bagi mengkaji keberkesanan rekaan serta hala tuju rekaan kenderaan untuk dekad-dekad seterusnya.

Pernah diabaikan, model ini akhirnya berjaya diselamatkan pada tahun 2006. Proses membaik pulih Hurricane ini selesai pada tahun 2011 dan kini menjadi antara bahan pameran penting muzium automotif di Australia, yang membuktikan satu ketika dulu industri mereka mampu menghasilkan rekaan sedemikian rupa.

7. Mercedes 300SL - pintu sayap

mercedes gullwing

Seringkali dirujuk sebagai pengasas rekaan kereta berpintu sayap burung camar atau gullwing door, Mercedes 300SL dalam tahun pengeluaran 1954 memperkenalkan kepada dunia konsep bukaan pintu yang layak dinobatkan ikonik.

Ini kerana inspirasi model 300SL telah pun ditiru dan diubahsuai banyak model lain, seperti model Tesla Model X. Selain itu, filem fiksyen Back to the Future juga menampilkan model Delorean DMC-12 yang menggunakan rekaan pintu serupa.

Sistem mekanisme pintu 300SL hanya boleh menjadi realiti, disebabkan oleh prinsip rekaan kereta tersebut yang menggunakan casis ringan bagi setiap komponen rangkanya.

Teknologi yang dibangunkan oleh Mercedes itu dinamakan sebagai kerangka SL atau super-leicht (supra-ringan); melayakkan model tersebut menggunakan kod itu pada nama modelnya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)