Semakin hari, semakin ramai tidak lagi berasa segan merakamkan gelagat dan wajah mereka, yang akhirnya dimuatnaik ke ruangan media sosial berasaskan video seperti TikTok dan Instagram untuk tatapan semua orang. Realitinya, bukan semua pihak berani melakukan perkara sedemikian rupa. Bagi kebanyakan orang, mereka akan gugup apabila tahu kamera sedang merakamkan aksi mereka walaupun kamera sendiri. Ada juga individu diserang rasa malu melihat diri sendiri dalam video. 

Adakah anda sama seperti ini? Jika ya, kami ingin membantu anda! Berikut adalah enam tips yang kami amalkan, untuk anda mampu memecahkan sempadan yang anda rasai seterusnya menjadi seorang influencer yang semulajadi di depan kamera.

1. Cari pempengaruh yang mempunyai ciri fizikal seperti anda

influencer malaysia filem zhafvlog ulasan kualiti

Salah satu halangan terbesar bagi mana-mana individu dalam mendapatkan keberanian beraksi depan kamera, adalah halangan mental yang wujud disebabkan rasa kurang yakin kita terhadap tubuh badan kita sendiri.

Ada yang merasakan diri mereka berisi, terlalu kurus, kurang menyerlah, gigi tak lawa, muka berjerawat dan bermacam lagi alasan yang kita cipta demi mempertahankan kurang keyakinan kita.

Satu tips yang cukup berguna dalam membentuk keyakinan anda adalah untuk mengikuti mana-mana pempengaruh atau influencer yang menyerupai fizikal anda. Tak perlulah wajah sebiji-sebiji pula ya!

Jika anda rasa anda sedikit besar, cari influencer yang sama besar seperti anda. Kaji perwatakannya. Seandainya anda tak yakin anda menarik, tonton video influencer yang anda yakin jauh kurang menarik berbanding anda dan fikirkan 'dari mana mereka boleh dapat keyakinan sebegitu?'

2. Berlatih rakam video anda solo

rakam diri sendiri dalam kamera

Dah nampak ada titik-titik keyakinan dalam diri anda, mulalah rakam diri anda bercakap atau bergaya depan kamera. Lakukanlah aktiviti rawak yang anda rasa sesuai.

Nak bercakap? Cakap saja apa topik terfikir. Nak menyanyi? Nyanyi saja tanpa peduli hasilnya. Biasakan perbuatan itu sehinggalah anda terlupa bahawa kamera sedang menyala. Apabila anda dah sampai ke tahap terbiasa, mula tengok balik rakaman-rakaman anda.

Apa penilaian anda? Adakah ada perubahan pada gaya dan lenggok anda dari mula-mula berlatih sehingga video terbaru? Pasti ada. Tengok bahagian-bahagian yang menimbulkan rasa malu anda kepada diri sendiri. Kenalpasti kenapa anda rasa cringe dengan diri sendiri. 

Adakah disebabkan gaya anda? Muka anda? Tangan anda terlalu banyak bergerak? Selalu garu ketiak? Lawak anda terlalu cringe? Cuba hentikan semua tabiat yang anda sendiri rasa malu nak tengok dan teruskan latihan anda sehinggalah anda rasa 'wow, tak sangka aku pun boleh bercakap depan kamera.' Latihan penting.

3. Muat naik semua video terbaik anda untuk tatapan peribadi

influencer pengaruh idea topik kandungan

Bila anda dah mula rasa selesa dan lebih loose dalam cara penyampaian, tibalah saat yang dinantikan iaitu memuat naik video pertama anda ke media sosial tetapi tetapkan dahulu hanya untuk akses anda.

Dah muat naik, ulang tengok video anda itu beberapa kali. Tanya dengan diri sendiri secara ikhlas - 'aku sanggup tak berhadapan situasi video aku dah dimuat naik ke internet dan semua orang boleh tengok?'

Jika jawapan anda 'ya' terus benarkan video anda diakses kepada awam sebagai ujian.

Seandainya masih ada rasa ragu-ragu, ulangi langkah 1 dan 2 di atas sehinggalah anda rasa lebih yakin dengan apa yang akan anda lakukan. Rakamkan lebih banyak video anda melakukan perkara-perkara ringkas seperti mengemas rumah, makan, ketika memandu dan sebagainya.

Apabila anda dah semakin kerap melakukan perkara rutin dan ringkas dengan kamera senantiasa ada - anda juga sedang membina tahap keyakinan seterusnya meruntuhkan rasa kurang yakin anda.

4. Umumkan kepada individu paling rapat anda tentang akaun anda

sokongan keluarga anak influencer

Anda dah rasa semakin yakin dengan kemampuan anda. Anda juga rasa selesa berhadapan kamera. Apa langkah seterusnya? 

Satu halangan yang paling ditakuti ramai pempengaruh media sosial baik yang dah terkenal atau baru nak berjinak-jinak, adalah mengumumkan aktiviti baru mereka itu kepada ahli keluarga atau sanak-saudara terdekat.

Ya, aneh bukan!

Di luar sana, ramai pempengaruh yang punyai jutaan pengikut dan kerap kali viral perkongsiannya, tapi dengan ahli keluarga sendiri dia tak berani berkongsi aktiviti mereka dalam media sosial. Anda jangan jadi begitu.

Mulakan perjalanan anda sebagai seorang 'pempengaruh noob' dengan meminta maklum balas kandungan anda daripada ayah, ibu, kakak, abang, adik, sepupu, makcik, pakcik, atuk, nenek, jiran, rakan sepejabat dan semua orang berdekatan anda.

Dengan tindakan berani ini, anda sudah memecahkan satu sekatan mental yang banyak berlaku di kalangan pempengaruh. Perasan tak ramai influencer bertindak merakamkan video secara senyap-senyap dalam bilik, dalam tandas atau secara curi-curi. Ramai kan macam tu? Kita tak mahu jadi sama seperti mereka.

Seorang pempengaruh yang mempunyai perjalanan panjang, biasanya mampu melibatkan orang terdekat beliau untuk bersama dalam perkongsian sehingga turut menjadi sebahagian dari kandungan.

Anda fikirlah berapa lama agaknya seseorang yang bercakap sendirian dalam bilik terkunci mampu bertahan mencipta kandungan? Tak lama. Keluarkan diri anda dari penjara yang banyak mengurung pengguna media sosial lain.

5. Jangan pedulikan pandangan orang lain

influencer hati tisu

Nak jadi pempengaruh, kena sedia hadapi haters. Terima saja realiti sebaik mana pun kandungan yang anda bangunkan, mesti ada orang tak suka dan dia pasti ada pandangan berbeza.

Akan ada individu yang melihat perkongsian anda sebagai negatif sehingga dia sanggup menghamburkan komen-komen kesat mengkritik usaha anda. Ni hakikat. Kami pun biasa kena.

Selepas berjaya memecahkan benteng dalam diri, benteng dengan kamera dan benteng dengan individu terdekat anda - dah tiba masanya untuk anda pula membina pula satu benteng penting iaitu benteng yang melindungi anda daripada kritikan awam.

iklan

Caranya mudah saja; kurangkan interaksi anda dengan akaun milik anda selepas anda memuat naik video. Jangan periksa telefon setiap kali masuk notifikasi. Biarkan saja apa yang berlaku, teruskan rutin harian anda. 

Ini untuk mengelak anda kerap memeriksa telefon kerana tindakan itu sebenarnya sedang melemahkan mentaliti anda. Anda akan lebih sensitif terhadap komen buruk yang membuatkan anda rasa meradang. JANGAN! 

Ingat ayat ini - semua influencer berjaya tahu lebih baik kita engage dengan komen dan follower yang positif berbanding follower yang negatif.

Nak juga engage follower yang negatif? Ada masa tertentu perbuatan itu dibenarkan, asalkan jangan kerap dan berlarutan sehingga anda mula rasa seperti hati dihiris-hiris.

6. Janganlah terasa tertekan untuk kerap muatnaik karya

sakit kepala cipta kandungan media sosial setiap hari

Sekiranya anda dah berada pada tahap ini, tahniah! Anda dah berjaya memecahkan banyak perangkap psikologi yang bukan semua orang mampu lakukan.

Pada peringkat ini, kawal diri anda. Jangan rasa tertekan untuk memuaskan hati pengikut anda. Ingat! Semua yang anda lakukan di TikTok, Insta, Facebook atau apa saja jenis media sosial lain adalah sebagai platform untuk mengenengahkan hobi anda.

Anda yang tentukan perjalanannya.

Tak perlu rasa ada kewajipan untuk buat kandungan hari-hari. Apabila anda dah rasa begitu, tekanan akan mula hadir dan apa yang bermula sebagai hobi bertukar jadi kerja. Kerja tak seronok...(melainkan memang sejak mula anda dah mensasarkan untuk jadikan hobi influencer anda itu sebagai kerjaya.)

Dah bergerak, mula cipta identiti anda, topik trademark anda, isu trademark anda. Wujudkan gaya penyampaian yang mudah buat orang kenal anda dan lakukannya secara konsisten.

Kami yakin selepas anda melakukan keenam-enam tips ini, anda takkan lagi berdepan masalah bercakap seorang diri depan kamera bak seorang pengacara ataupun menari-nari di khalayak awam sambil diperhatikan orang lain.

Penulis dulu pun takut nak bercakap depan kamera, tapi selepas lama berlatih membiasakan diri - penulis rasa yakin nak bercakap ibarat pengacara rancangan pagi Malaysia Hari Ini.



Hakcipta iluminasi.com (2017)