Anda pasti pernah mendengar istilah 'social media influencer' kan? Dalam zaman sekarang orang ramai berebut nak meletakkan diri mereka sebagai seorang influencer, menggunakan platform media sosial sebagai alat untuk 'mempengaruhi masyarakat.'
Bagaimanapun, kecanggihan teknologi yang ada dalam penghasilan grafik dan animasi maya membuatkan ada pihak mula mengambil kesempatan mencipta 'social media influencer' yang sebenarnya tidak wujud, tetapi hanya ada dalam ruangan maya?
BESARKAN TEKS A- A+
Tak percaya? Perkara ini memang benar-benar berlaku sama ada anda sedari atau tidak. Itu yang menakutkan pada penulis. Kita sedang hidup dalam zaman di mana amat sukar sekali untuk seseorang mampu membezakan antara realiti dan fantasi - walaupun dia seorang berilmu.
Permulaan 'social media influencer' maya
Salah satu sebab mengapa 'personaliti maya' mula menjadi perhatian, adalah disebabkan keperluan syarikat-syarikat pengiklanan untuk mencipta trend-trend terkini yang mahu dipasarkan pada bakal pembeli.
Bagaimanapun, berikutan daripada sifat-sifat manusia yang tentulah mahukan ganjaran di atas usaha yang ditagih, syarikat-syarikat pengiklanan ini mula 'mencipta' sendiri watak-watak maya; bagi membantu pengiklanan mereka.
Daripada perspektif pengiklan, wujud banyak faedah menggunakan personaliti maya berbanding manusia sebenar.
Syarikat tidak lagi perlu menangani masalah melayan kerenah-kerenah dan permintaan yang hadir daripada model atau peragawati. Soal bayaran juga sudah pastilah jauh menjimatkan - kerana 'personaliti maya' ini tidak perlu dibayar gaji. Selain itu, personaliti maya juga mampu 'bekerja' 24 jam sehari, 7 hari seminggu, 365 hari setahun tanpa henti.
Semuanya bermula dengan Lil Miquela (DOB:2016)
Untuk menceritakan tentang personaliti maya - tak sah sekiranya kita tidak menceritakan tentang personaliti maya pertama yang benar-benar popular : Lil Miquela.
Pada tahun 2016, sebuah akaun Instagram di bawah nama Lil Miquela diwujudkan dengan muat naik pertama pada 22 April 2016. Menurut maklumat yang dipaparkan dalam akaun tersebut, Miquela merupakan seorang wanita berusia 19 tahun, berketurunan Amerika-Brazil dan menetap di California. Nama sebenarnya adalah Miquela Sousa.
Miquela gemar memuat naik gambar-gambar yang sangat cantik sehingga satu ketika, dia berjaya mengumpul lebih 1.5 juta pengikut di Instagram sahaja. Kebanyakan orang memuji bagaimana Miquela sangat fotogenik dalam setiap gambar, malahan fesyen yang dipakai setiap hari juga mencetuskan trend yang diikuti peminat-peminatnya.
Apa yang sangat menakutkan, walaupun sejak mula sudah dikhabarkan tentang status sebenar Lil Miquela yang tidak wujud, pengikut-pengikutnya seakan-akan tidak mempedulikan perkara itu. Semua perkongsiannya yang ditulis mirip seorang wanita muda sebenar diberikan maklum balas sama seperti manusia biasa dan ramai mahu Lil Miquela benar-benar ada.
Berikutan pengaruh Lil Miquela yang semakin hebat, peluang karier lain mula terbuka untuknya. Pada bulan Ogos 2017, Lil Miquela mengeluarkan lagu pertama beliau. Lil Miquela mula menerima tawaran untuk menjadi peragawati bagi jenama terkenal seperti Prada dan Chanel.
Pada pertengahan 2018, syarikat yang mencipta dan menguruskan akaun Lil Miquela, Brud mendapat suntikan dana tambahan daripada Silicon Valley di Amerika Syarikat. Bulan Mei 2019, jenama Calvin Klein mencetuskan kontroversi setelah menggabungkan model Bella Hadid dengan Lil Miquela dalam keadaan berciuman, dalam salah satu kempen promosi mereka.
Teknologi yang semakin menghampiri realiti
Selain Lil Miquela, wujud beberapa lagi personaliti maya yang dilihat semakin hari, mampu mengambil tempat seterusnya menggantikan manusia-manusia sebenar sebagai personaliti yang harus dijulang masyarakat. Dua lagi personaliti yang diuruskan oleh syarikat yang sama dinamakan sebagai Bermuda dan Blawko.
Supermodel maya pertama dunia juga telah dicipta - dinamakan Shudu, seorang wanita kulit hitam rekaan seorang jurufoto fesyen bernama Cameron James Wilson. Selepas mendapat pujian daripada peragawati terkenal dunia Tyra Banks berikutan rupa mirip Shudu yang menyerupai manusia sebenar, perniagaan Wilson sebagai agensi peragaan maya mula berkembang.
Wilson menubuhkan 'The Diigitals', sebuah agensi peragaan digital sepenuhnya yang 'menggajikan' 7 orang model terkenal dengan Shudu menjadi perhatian. Artikel-artikel berkenaan Shudu mula dipaparkan di majalah-majalah berpengaruh seperti Vogue melonjakkan lagi watak tersebut di mata masyarakat.
Apabila fantasi dan realiti mula bercantum
Walaupun figura-figura maya yang kami senaraikan di atas mengecapi populariti yang meluas pengaruhnya, bagi mereka yang mahir sudah pasti masih mampu mengenalpasti perbezaan di antara manusia sebenar dan figura maya. Bagaimana pula sekiranya jurang kedua-duanya dirapatkan lagi sehingga kita pun sukar untuk mengetahui kebenaran?
Pada awal tahun 2019, dunia media sosial dikejutkan dengan kemunculan seorang personaliti baru bernama Imma, gadis muda dari Jepun di Instagram. Watak 'Imma' yang dihasilkan oleh sebuah syarikat grafik dari Jepun bernama ModelingCafe benar-benar menguji minda kita tentang perbezaa ilusi serta dunia nyata.
Dengan menggunakan teknik penggabungan di antara kepala dalam bentuk maya dengan tubuh serta latar belakang dunia nyata, watak Imma yang mereka hasilkan benar-benar mampu mencapai apa yang dikatakan sebagai ilusi maya sempurna.
Walaupun setakat ini belum mampu melawan populariti yang berjaya dicapai oleh kempen-kempen melibatkan Shudu mahupun Lil Miquela yang memulakan segalanya, diramalkan 'Imma' bakal menjadi personaliti maya yang besar berikutan trend dunia ketika ini yang tergilakan elemen-elemen Asia yang dibawa oleh Jepun dan Korea Selatan.
Kami tinggalkan anda dengan satu persoalan - adakah anda, sebagai pengguna internet dan media sosial mahu menuruti perkongsian-perkongsian yang dimuatnaik oleh personaliti atau figura maya?
Benarkah mereka benar-benar mampu mempengaruhi anda dan adakah kita waras, sekiranya kita benar-benar dipengaruhi mereka?
Rujukan