Media sosial merupakan satu ruangan yang baik sekiranya digunakan dengan cara yang betul.

Perkongsian ilmu serta pengesyoran bahan bacaan mudah berlaku ekoran kuasa teknologi di sebalik media sosia, dieelangi diskusi-diskusi berkenaan sesuatu topik.

Tidak kiralah ketika menulis, bercakap, atau berhujah, kita sebenarnya harus berhati-hati dalam setiap ucapan kita.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Walaupun demikian, wujud fenomena buruk menyebabkan majoriti perbincangan di media sosial kerap berubah tidak sihat, ekoran kesempitan minda dalam memahami mengapa kita bertukar-tukar buah fikiran di media sosial.

Akhirnya, daripada ruang bicara dibuka, diskusi yang diharapkan berlaku bertukar menjadi ruangan di mana kita mengeluarkan hujah bukan untuk berkongsi, tetapi hanya untuk menang atau mendiamkan 'musuh' media sosial kita.

Berikut adalah 6 kategori atau jenis falasi paling kerap diamalkan.

1. Falasi 'orang jerami'

straw man fallacy

Teknik falasi 'orang jerami' atau 'strawman fallacy' merupakan taktik biasa yang akan kita jumpai dalam mana-mana perbincangan di media sosial.

Penggunaannya amat mudah - alihkan topik yang dibincangkan kepada isu lain yang seakan-akan berkait, tetapi sebenarnya menyimpang daripada topik asal dan pandangannya pula sengaja diambil daripada ekstrim yang berlawanan.

Ini akan mengubah hala tuju diskusi daripada topik asal kepada satu topik yang mirip tetapi berbeza isunya.

Contoh :

A : "Kerajaan perlu mempertingkatkan kualiti pengangkutan awam."

B : "Takkanlah semua benda kita perlu bergantung dengan kerajaan?"

A : "Ya tak ya juga!"

2. Falasi 'kereta wagon'

ikut bandwagon

Falasi 'kereta wagon' atau 'bandwagon fallacy' pula datang daripada hujah yang cuba menggunakan pandangan majoriti sebagai kebenaran atau penutup perbincangan.

Sedangkan pandangan majoriti tidak semestinya mencerminkan fakta atau kebenaran topik tersebut.

Dalam situasi ini, pandangan majoriti dianggap benar tanpa mengambil kira kelayakan atau pengetahuan mereka yang dianggap majoriti.

Contoh :

"Ahmad, kau masih guna Android yang mudah 'hang'? Bila lagi kau nak rasai pengalaman menggunakan telefon pintar sebenar berjenama Apple yang sah-sah lebih stabil?"

3. Falasi 'generalisasi pantas'

generalization

Falasi jenis ini merupakan bentuk falasi antara yang paling kerap kita amalkan atau jumpai dalam media sosial.

Lebih dikenali dengan nama 'pukul rata', falasi generalisasi dilakukan apabila seseorang mengeluarkan hujah bersandarkan kepada justifikasi yang tidak logik dan tidak seimbang.

Hujahnya hanya bergantung kepada sumber yang kecil tetapi diaplikasikan kepada skop yang lebih besar.

Contoh

"Bulan ni saja dah tiga orang pelajar kita bertukar ke sekolah swasta. Nampak benar kualiti pendidikan sekolah kebangsaan amat teruk. Jahanam masa depan Malaysia!"

4. Falasi 'ad hominem'

ad hominem attack

'Ad hominem' atau taktik menyerang peribadi seseorang bukannya pandangan yang dikongsikan.

Ini adalah taktik paling mudah untuk digunakan dalam memenangi sebarang bentuk perdebatan.

Bagaimanapun, taktik falasi ini sebenarnya hanya mencipta ilusi seakan perbincangan telah pun tamat, sedangkan topik atau isu yang dibincang tidak boleh diteruskan kerana pintu perbincangan telah ditutup.

Contoh:

A : "Pada pandangan aku, Iluminasi adalah laman web terbaik bahasa Melayu dalam perkongsian ilmu."

B : "Ah, sudah lah. Aku nampak kau lagi banyak buka baca cerita merapu dekat laman Senangin Haruan! Tiba-tiba nak petik Iluminasi pulak! Aku lagi top fan Iluminasi dari kau la!"

5. Falasi 'cliche penamat perbincangan'

falasi orang bodoh

Falasi 'cliche penamat perbincangan' atau 'thought terminating cliche' merupakan satu taktik di mana perbincangan dimatikan dengan ayat cliche secara terus.

Berbeza dengan serangan ad hominem, ayat cliche yang tidak membawa apa-apa hujah disebut bagi menutup topik, tanpa memberikan sebarang input pada pihak yang terlibat.

Ayat yang diguna pula biasanya diambil daripada ayat semantik, sedap didengari tetapi tidak mempunyai apa-apa mesej untuk disampaikan.

Contoh

A : "Ada baiknya kita teruskan perbincangan berkenaan topik sejarah ni dengan membawa lebih ramai pakar."

B : "Kita dah ada jurnal dan dokumen kajian lengkap. Tak perlu kita cuba buktikan dengan lebih teliti. Sampai bila nak kaji lagi. Better kita move on ke topik baru yang lebih mencabar kita."

6. Falasi 'rujuk pihak lebih berkelayakan'

appeal to authority

Falasi yang dikenali sebagai 'call to authority fallacy' merupakan satu taktik mudah mengalihkan isu, dengan memetik individu atau badan yang secara amnya tampak berkelayakan dalam sesuatu perbincangan.

Untuk mengenali falasi ini dengan jelas, seseorang akan menggunakan nama atau kelayakan individu itu yang dipilih untuk dijadikan sebagai hujah, bukannya hujah itu sendiri yang dibawa sebagai isi perbincangan.

Dalam erti kata lain - oleh kerana wujudnya secebis kredibiliti dalam hujah, hujah itu tidak lagi boleh disangkal dan pihak yang menyebutnya berjaya menguasai perbincangan.

Contoh 1 : "Aku cikgu. Aku lebih tahu realiti sebenar murid-murid kita sekarang berbanding kau orang semua. So, percaya aje apa aku cakap."

Contoh 2 : "Dia seorang anggota parti, jadi sudah pastilah dia tahu sama ada skandal itu benar atau tidak - kenapa kita nak pertikaikan pandangan dia pula?"

Walaupun demikian - ada masanya falasi ini mampu mempunyai fakta atau isi disebalik penggunaannya. Ini hanya akan berlaku apabila topik atau isu itu dirujuk kepada individu yang terbukti benar-benar berkelayakan berdasarkan fakta.

Contoh : "Profesor itu menyebut berdasarkan kajiannya yang telah diterbitkan dalam jurnal psikologi, 6% murid di sekolah mengalami masalah penderaan fizikal atau mental di rumah. Bolehlah kita ambil angka itu sebagai sesuatu yang membimbangkan."




Hakcipta iluminasi.com (2017)