Oleh pada 05 Sep 2017 kategori

Anda seorang yang mudah geli apabila digeletek? Situasi geli ini boleh berlaku pada banyak tempat di bahagian badan terutama sekali pinggang, leher, ketiak dan tapak kaki. Kesemua bahagian ini biasanya merupakan titik-titik paling lemah pada badan dan sensitif pada sentuhan.

Menurut sains, apabila anda digeletek, ia mengaktifkan bahagian otak yang menjangkakan kesakitan walaupun ia mengakibatkan anda ketawa. Disebabkan itulah anda sentiasa berhati-hati apabila ada orang yang mahu menggeletek anda.

BESARKAN TEKS     A-  A+

geletek guna penyedut hampagas vakum

Tapi ada satu perkara tentang geletek yang membuatkan ramai orang berasa hairan. Pernah tak anda terfikir kenapa anda tak boleh geletek diri sendiri walaupun anda seorang yang sangat mudah geli?

Apabila anggota badan anda bergerak, bahagian otak yang mengawal pergerakan dan kesan sentuhan/deria itu akan memberikan isyarat kepada anda. Anda tidak akan merasa lengan yang bersentuhan dengan bahagian tepi badan sendiri apabila sedang berjalan, tetapi anda akan terkejut apabila ada orang mencuit pinggang anda.

Bayangkanlah jika otak kita tidak mampu mengawal pergerakan badan sendiri dan rangsangan yang dihasilkan, kita akan sentiasa merasa seperti dicucuk, dicuit, dipegang dan diraba sehingga tidak mampu untuk fokus kepada perkara lain.

geletek diri sendiri tak akan rasa geli

Menggeletek diri sendiri juga merupakan salah satu cabang daripada situasi ini. Otak anda sudahpun mendapat isyarat bahawa jari yang mencucuk perut anda itu adalah jari anda sendiri, maka ia tidak memberikan sebarang respon atau rangsangan.

Satu kajian yang dijalankan di University College London menggunakan pengimejan otak untuk membandingkan bagaimana seseorang bertindak balas terhadap geletek yang dilakukan oleh pihak lain dengan geletek sendiri.

Keputusan kajian mendapati korteks somatosensori iaitu bahagian otak yang bertanggungjawab ke atas kederiaan badan kurang bertindak balas terhadap geletek yang dibuat sendiri. Bahagian serebelumyang mengawal pergerakan pula akan menghantar isyarat supaya menyekat tindak balas somatosensori apabila sentuhan dibuat sendiri.

kenapa kita gelak apabila digeletek

Kumpulan penyelidik yang sama itu juga cuba membuat ujian untuk melihat sama ada otak boleh ditipu untuk membenarkan rangsangan geli terhasil apabila menggeletek diri sendiri. Mereka membina satu mesin penggeletek di mana subjek akan menarik tuil untuk menghantar rangsangan geli kepada diri sendiri.

Mereka mendapati deria geli pada seseorang boleh ditingkatkan apabila perbuatan menarik tuil dengan rangsangan itu dipisahkan. Melewatkan masa walaupun kurang sesaat antara penarikan tuil dengan aksi menggeletek itu saja sudah cukup untuk menipu otak dan membuatkan subjek berasa geli.

geletek berlebihan amat menjengkelkan

Walaupun kita rasa seronok mencucuk pinggang orang sampai melatah atau geletek sehingga mangsa ketawa keluar air mata meleleh-leleh, perbuatan geletek secara melampau adalah agak menjengkelkan apabila dibuat secara berlebih-lebihan.

Tapi tahukah anda, ada satu sahaja situasi di mana seseorang tidak akan berasa geli? Apabila seseorang sedang marah, mereka tidak akan berasa geli kerana otak mereka tidak dapat fokus kepada rangsangan itu.

Tak percaya? Cubalah geletek mana-mana kawan anda yang sedang panas hati. Kalau berani.

Rujukan:




Hakcipta iluminasi.com (2017)