Bagi kanak-kanak era 80-an sehinggalah tibanya zaman awal millenium, memori tentang konsol permainan video pasti mempunyai banyak kenangan manis dan juga pahit.
Teknologi pada waktu itu juga kurang matang, berbanding sekarang menyebabkan ada kalanya solusi-solusi unik serta aneh perlu digunakan - dalam memastikan konsol yang ada mampu terus dimainkan. Kecanggihan teknologi zaman sekarang sudah banyak mengubah tabiat peminat videogame sehinggakan sekiranya diceritakan bagaimana kanak-kanak zaman dahulu main permainan video - nyata sangat jauh berbeza aplikasinya berbanding sekarang.
BESARKAN TEKS A- A+
Generasi muda zaman sekarang sangat bertuah kerana lahir di dalam era di mana teknologi sudah benar-benar melepasi tahap eksperimen, namun di sebalik kesenangan yang datang - beberapa amalan masyarakat zaman dahulu dalam bermain permainan video semakin pupus ditelan zaman.
1. Lepas kalah kena bagi kawan main pulak
Zaman dulu, kalau main game kat TV, controller dia biasanya ada dua saja. Berbeza dengan sekarang di mana satu konsol mampu tanggung 4 controller serentak. Jadi bila dah main ramai-ramai tu, terpaksalah yang dah habis turn dia sabar menantikan giliran tu datang balik semula.
Kalau yang jenis main game n watch atau Gameboy pula, hanya seorang boleh main dalam satu-satu masa jadi kena tunggu yang main tu kalah dululah, baru boleh merasa. Selalunya dalam ramai-ramai, mesti ada seorang yang tak nak bagi kerjasama, dah kalah pun dia cepat-cepat mula balik kononnya orang lain tak perasan apa dia buat.
2. Budaya tukar-tukar game
Dulu zaman katrij, penulis rajin jugalah tukar game Micro Genius penulis dengan kawan-kawan. Seronok juga waktu tu tukar game sebab itu sajalah peluang kami nak mencuba game-game lain yang popular waktu tu.
Di antara semua kawan-kawan pulak, mesti ada seorang atau dua orang yang kami dah aim jangan bagi dia pinjamkan katrij game, sebab dia jenis tak pandai jaga barang ataupun gemar buat harta orang macam harta sendiri pulak.
Bila dah teknologi berubah dan katrij mula digantikan dengan cakera padat atau CD dan DVD, tak ramai lagi dah berani nak tukar-tukar game sebab CD ni sensitif. Lagipun, waktu tu game 'lanun' murah saja berbanding harga-harga katrij sebelum tu. Katrij tu pun sebenarnya produk pirate - tapi entah kenapa boleh dijual harga Yahudi.
3. Beli game secara buta
Zaman sekarang, nak beli game boleh baca reviu, tengok orang main dan tahu berapa skor pengkritik bagi untuk kita tahu apa yang kita nak beli. Kiranya kita memang boleh buat informed decisionlah bila nak beli sesuatu game.
Tapi 20 ke 30 tahun dulu, beli game ni memang proses beli buta aje lah. Game tu sedap ke tak sedap ke, nasib lah. Bagaimanapun, oleh kerana kehidupan generasi waktu tu dah terhad sebegitu, jadi tak ramai yang memilih sangat. Apa saja game yang mak ayah dia beli, sama ada best ke tak best ke - semua best.
Dulu, peminat videogame boleh main game yang simple - macam game bola yang tak ada nama pasukan, jersi pun satu warna dan player tak perlu ada nama. Sekarang dah jauh beza kan? Semua kena tulen. Tapi entah apa magicnya kami dulu boleh main game bola tu dari pagi sampailah ke malam.
4. Main ramai-ramai satu skrin
Dalam banyak-banyak budaya yang penulis paling rindui tentang permainan video ni, adalah budaya main dan tonton ramai-ramai di satu lokasi yang sama. Sekarang ni, kita masih lagi buat benda serupa cuma setiap orang kebiasaannya dah ada skrin sendiri dan budaya main videogame ni pun, dah jadi lebih individualistik.
Sebab itulah ada kalanya bila dapat berkumpul dengan kawan-kawan main FIFA misalnya, pengalaman yang dirasai tu meriahlah berbanding dengan main ikut on-line beramai-ramai.
Memang main on-line ni jumlah pemain lebih ramai, semua orang dapat main serentak dan game pun tak perlu lagi bahagikan skrin kepada dua atau empat kotak, hanya untuk pastikan setiap orang ada skrin sendiri. Tetapi feel dia tu berbeza. Dulu, main game adalah acara sosial yang benar-benar membentuk ukhuwwah. Sekarang? Dah lain.
5. Main game kat kedai
Penulis sempat merasai zaman kegemilangan arked videogame di Malaysia satu masa dulu, dengan kawasan segitiga Bukit Bintang memang jadi port kaki videogame. Waktu tu, kompleks-kompleks yang ada di situ khasnya plaza Sungai Wang memang jadi medan pertembungan kaki game nak tunjuk skill.
Yang lebih menarik - syarikat pengeluar game dunia pun sokong industri kita. Capcom ada arked dia sendiri. Sega buka Sega Planet kat Sungai Wang, untuk orang ramai cuba permainan terbaru mereka serta beberapa teknologi VR yang pada ketika itu masih lagi dalam peringkat eksperimen. Kedai-kedai game yang jual bermacam jenis konsol senang nak dijumpai. Yang susah nak jumpa satu saja - game original. Itu era di mana cetak rompak sangat berleluasa.
Zaman sekarang ni, masih lagi wujud beberapa kedai kecil yang terperosok dekat hujung-hujung menawarkan perkhidmatan main game PS4 atau XBOX, dengan kadar RM2 setengah jam sebagai contoh. Tapi kemeriahan dia dah tak ada.
Tak sama macam dulu di mana bila kita tengah main Street Fighter dan tertera 'here comes a new challenger', darah gemuruh terus datang sebab kita tahu pencabar kita memang ada ditepi kita. Kalah dengan dia, burn duit kita.
Pemain game zaman sekarang memang boleh berbangga bila menang dalam pertarungan PUBG atau Mobile Legends, tapi perasaan dia tak sama dengan perasaan lepas kita menang, bila ada orang lain berani masuk token dan cabar kita.