Zaman sekarang, menggunakan internet ni tersangatlah mudah. Buka saja telefon pintar atau komputer terus ada tersedia di situ. Internet ni tak lama lagi akan jadi setaraf dengan air dan elektrik agaknya daripada segi kepentingannya - di mana kita bakal berdepan kesukaran seandainya tak ada akses internet.

nostalgia internet dial up tmnet jaring dan time net

Bagi generasi muda, anda bernasib baik kerana berjaya merasai teknologi internet yang telah matang. Bagaimanapun bagi generasi yang dah berusia sikit macam penulis...eh bukan...macam abang penulis, mereka terpaksa melalui satu era di mana internet baru nak mula bercambah di negara kita.

Satu masa dulu penggunaan internet ni agak sukar kerana kita perlu faham tatacara penggunaannya yang betul, bagi memastikan akses tak terganggu. Ada banyak sebenarnya memori menarik tentang penggunaan internet di kalangan rakyat Malaysia yang berlaku sekitar 20 ke 30 tahun lampau.

1. Tona dial-up modem

tukar sambungan line 8734596 m e1516110523507

Dulu nak akses internet, komputer perlu melalui satu proses yang dinamakan sebagai dial-up. Macam telefon lah jugak. Bila kita nak mula capaian internet, komputer perlu melakukan panggilan kepada server (zaman tu Jaring la yang popular). Untuk melakukan panggilan, kita perlu buka tetingkap dail, isi nombor yang perlu didail (1511 atau 1515) dan komputer akan uruskan semuanya selepas itu.

Proses nak dail ni, ada bunyi yang sangat unik. Macam bunyi cangkerik sedang mengawan dalam bilik bergema beramai-ramai. Tiiittt toooottt teng teng tooott truuutt. Begitulah penulis andaikan bunyinya. Dah dail tu, bukan senang nak dapat pun. Kena cuba dua tiga kali jugalah untuk dapatkan sambungan. Yang bikin hati panas, dah dapat sambungan - seminit dua lepas tu putus. Kena dail balik.

2. Kelajuannya pula...macam siput

modem 56kbps

Sekarang kita dah cerita pasal 4G, 5G. Siapa yang pakai 3G pun boleh dikatakan perlahan kelajuan internet mereka. Bagaimanapun, satu masa dulu pakej internet di negara kita bermula dengan kelajuan 14.4kbps atau 28.8kbps bagi orang kebanyakan. Orang yang mampu pula bolehlah ambil pakej 56kbps.

Siapa pakai 56kbps tu memang poyo tak ingatlah, kerana laju saja muat turun laman web yang dia nak akses. Penulis tak ingatlah berapa harga pakej ni dulu tapi melebihi angka ratus jugalah dia punya pelan jualan. Aksi-aksi gaduh dan bertekak peminat JARING dengan TM NET dulu biasalah. Peminat JARING akan kata servis JARING terbaik, peminat TM NET akan kata TM NET bagus sangatlah. Sebenarnya, dua-dua sama saja - tak berapa layak nak dipuji tapi sebab itu saja yang ada, guna saja lah.

3. Kena taip penuh-penuh

taip zaman url lama

Tengok perisian papan kekunci sekarang ni mudah sunggu nak menaip. Salah ejaan pun boleh dibetulkan secara automatik. Zaman dulu nak akses internet, peraturan pertama dia adalah jangan salah taip alamat. Alamat pula kena taip penuh - mana ada jalan pintas macam sekarang.

Kalau nak buka laman web 'Yahoo' satu masa dulu kita kena taip satu-satu 'https://www.yahoo.com' termasuklah dia punya kod 'http' dan 'www' serta simbol URL yang ada tu. Tak letak tiga benda tu, tak ke mana lah kita. Bila pengeluar perisian internet mula buatkan 'http' secara automatik dan tak perlu lagi ditaip, nikmat itu sungguh dirasailah mudahnya. Tapi 'www' kena taip jugak! Sekarang tulis apa-apa pun terus keluar cadangan atau browser akan navigasi terus ke laman yang dia rasa kita nak akses.

4. Geocities dan Angelfire

geocities laman web

Zaman awal internet di Malaysia ni, semua orang yang nak ada laman web sendiri mesti akan gunakan servis percuma Geocities atau Angelfire. Kepada yang tak pernah dengar, kedua-dua ni adalah servis hosting percuma yang paling popular era tu. Ada juga beberapa servis hosting lain, tapi majoritinya akan guna dua ni lah. Penulis geng Geocities. Eh sori. Abang penulis geng Geocities.

Bila guna servis percuma ni, alamat laman web kita pun akan ikut format merekalah. Sekiranya Iluminasi ada zaman tu, alamatnya akan jadi 'https://www.geocities.com/iluminasi' kalau pakai Geocities. Bila dah ramai sangat guna, kedua-duanya mulalah letakkan iklan terapung yang akan tutup sikit laman web kita. Memang mengganggu rekaan betul iklan tu.

5. Orang nak guna telefon ni woi!

setup internet dulu

Oleh kerana sambungan internet era tu sama seperti komputer melakukan panggilan, ini bermakna semasa akses internet diaktifkan - panggilan masuk atau keluar tidak boleh dilakukan.

Jadi kerap kali jugalah saudara mara mengadu rumah penulis susah benar nak dihubungi sebab tak ada sambungan. Apa yang lagi menyakitkan hati, penulis tengah sibuk muat naik laman web penulis ke Geocities - kakak penulis nak telefon kawan dia. Kacau betullah.

Terpaksalah sambungan internet diputuskan bagi membolehkan saluran telefon bebas dan panggilan dapat digunakan. Telefon pun bukan sebab penting sangat pun. Nak pesan dengan kawan dia, janji nak jumpa pukul berapa dan lokasi dekat mana.

Itulah dia serba sedikit asam garam penggunaan internet 20 ke 30 tahun dulu, di mana teknologinya masih lagi dalam proses berkembang di Malaysia. Tak ada servis, terputus, kabel rosak atau modem terbakar sebab litar pintas dah jadi perkara-perkara biasa yang dihadapi dalam melalui proses kematangan teknologi yang dapat anda nikmati hari ini.

Hargailah apa yang anda ada dan jangan gunakan internet untuk sebarang aktiviti yang songsang, serta boleh merosakkan hidup anda.



Hakcipta iluminasi.com (2017)