Walaupun negara kita mempunyai industri animasi yang layak dikatakan mendahului negara lain di Asia Tenggara, industri permainan video kita masih agak terkebelakang berbanding negara luar.

Namun demikian kita tetap mempunyai banyak  studio tempatan yang boleh dibanggakan kekal mempelbagaikan variasi kepada penerbitan permainan video dalam negara dan juga luar negara.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Ada juga pengkarya tempatan yang mengambil keputusan bergerak sendiri dalam usaha menghasilkan judul permainan video secara solo.

Mari kita berkenalan dengan salah seorang pengkarya tempatan yang menggunakan nama 'Nerdook,' pengusaha permainan video secara solo tempatan yang telah berjaya memecah masuk pasaran antarabangsa.

Siapa 'Nerdook'?

sim yih chun nerdook 702

Hai semua pembaca Iluminasi! Nama saya Sim Yih Chun. Berasal dari Kuching, Sarawak.

Saya memegang ijazah dalam Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik dari Universiti Teknologi Petronas di Tronoh, Perak.

Selepas bekerja dengan PETRONAS selama 5 tahun sebagai jurutera di PETRONAS Fertilizer Kedah (PFK) dan PETRONAS Sarawak (SKO) di Miri, saya menubuhkan syarikat Nerdook Productions secara solo, dah masuk tahun ke lapan.

Nerdook Productions sudah berjaya menerbitkan tiga judul setakat ini dan jika tiada aral melintang, judul ke-empat yang dinamakan ‘The Magister’ bakal terbit pada bulan Ogos 2020.

Dah lama minat main 'videogame'?

super samurai sweeper

Saya mula berminat dengan teori-teori pembikinan permainan video sejak zaman remaja lagi.

Pada waktu sekolah menengah sebelum saya menceburi dunia programming, saya banyak meluangkan masa dengan melukis watak kartun pada kertas dan memotongnya untuk dijadikan bahan mainan dalam ‘board game’ dengan peraturan yang dicipta sendiri (biasanya dimain dengan kad atau dadu).

Selepas diperkenalkan kepada programming di peringkat universiti, saya mula melukis dalam komputer dan belajar membuat game sendiri.

Anda seorang jurutera bergaji sedap - kenapa berhenti?

nerdook production logo

Hahaha. Mula-mulanya takut juga hilang sumber pendapatan tetap, apatah lagi dengan syarikat besar yang bergaji lumayan seperti PETRONAS.

Pengalaman saya bekerja dengan PETRONAS amat positif tetapi sentiasa berjauhan dengan keluarga di kampung halaman.

Jujurnya, saya cuma mendapat keberanian untuk berhenti kerja dan membuka syarikat sendiri selepas isteri saya dapat berpindah balik ke Kuching untuk bekerja.

Apabila salah seorang daripada kami ada pendapatan tetap, risiko nak menubuhkan syarikat permainan video sendiri dapatlah dikurangkan sekiranya usaha saya tidak berjaya. Syukur, saya masih dapat bertahan sehingga ke hari ini.

Boleh ke cari makan ke dengan buat game di Malaysia secara solo?

nerdook productions screenshot

Memang boleh. Anggap saja sama seperti perniagaan-perniagaan yang lain, selagi dapat menjana keuntungan yang mampu menyara kehidupan, boleh je cari makan.

Saya dapat menjimatkan kos dengan membuat semua design dan programming sendiri, semua lukisan sendiri.

Hanya baru-baru ni saya perlu mula mengambil artis tempatan dan luar negara untuk meningkatkan kualiti grafik dalamjudul saya.

Pada acara LEVEL UP KL yang dianjurkan oleh MDEC baru-baru ini, saya juga bertuah dapat melihat kewujudan banyak lagi studio-studio penerbitan serupa yang semakin giat berkembang di negara kita.

Jadi pada saya, peluang tu ada. Kena berani cuba. Bakat kita ramai dalam industri.

Boleh cerita sikit perisian apa yang digunakan?

nerdook productions game malaysia

Untuk melukis, saya menggunakan program seperti GIMP dan Aseprite. Untuk penghasilan program dan pengaturcaraan, saya enjin permainan video seperti Gamemaker Studio dan Unity.

Saya syorkan yang mana baru nak berjinak-jinak nak belajar, boleh cuba dengan dua enjin ini dulu. Tutorial pun mudah nak diperolehi kalau nak mula.

Apa kaedah terbaik untuk seseorang mula belajar bangunkan 'videogame'?

Saya pun mula belajar secara ‘trial and error’ sahaja! Tak ada guru atau pendidikan secara formal.

Bagi yang berminat, saya mencadangkan anda rujuk video-video tentang pengaturcaraan dan rekaan di Youtube.

Apa yang penting, pilih dahulu enjin permainan video yang anda rasakan sesuai untuk anda. Seperti yang dah saya nyatakan; saya 'rekemen' Unity atau GameMaker.

Bila dah tahu mana satu enjin yang bakal kita gunakan, dari situ kita punya pencarian akan lebih mudah kerana kita dah ada fokus.

Apa kemahiran yang perlu ada untuk jadi game developer?

belajar programming game

Saya tidak ada pendidikan formal dalam bidang ini, jadi saya terangkan mengikut kefahaman saya saja ya!

Bagi saya, kemahiran yang perlu ada pada seorang pembangunan permainan video solo boleh dibahagikan kepada ‘hard-skill’ seperti pengaturcaraan, menyelesaikan ralat dan kemahiran teknikal dalam menyusun unsur-unsur yang ada dalam judul tersebut.

Selain itu, ‘soft-skill’ dalam penentuan astetik atau visual yang bakal digunakan, komposisi, pilihan lagu dan sebagainya juga perlu kalau kita nak bergerak sendiri.

Bila dah mula mengurus projek sendiri seperti saya, kemahiran pengurusan juga amat penting untuk memastikan game tersebut siap dalam masa yang ditetapkan dan kos yang dibelanjakan tidak terlalu tinggi.

Siapa inspirasi anda?

pembangun stardew valley

Inspirasi saya sudah pastilah pembangun-pembangun lain yang bergerak secara solo (macam saya!) seperti Markus Persson (Notch) yang menghasilkan ‘Minecraft’ dan Eric Barone yang menghasilkan ‘Stardew Valley’.

Dua nama ini dah berjaya jadi jutawan selepas menghasilkan satu judul yang amat popular. Stardew Valley telah berjaya dijual lebih 10 juta unit dan membolehkan Barone bersara pada usia yang muda!

Secara realistiknya, kejayaan pada skala tersebut sangat jarang berlaku apatah lagi di Malaysia dan pasaran Asia namun saya sentiasa menaruh harapan dapat berjaya dari segi populariti judul dan juga kewangan seperti mereka.

Nasihat untuk mereka yang berminat nak ceburi bidang ni?

game engine unity

Nasihat saya untuk mereka yang berminat adalah cuba hasilkan terlebih dahulu judul-judul dengan skop kecil dan mudah. Kumpulkan pengalaman.

Idea untuk game akan sentiasa ada, tetapi yang penting usaha untuk menghabiskan projek dan menghasilkan judul yang lengkap perlu diletakkan sebagai sasaran utama.

Sebelum saya dapat menghasilkan game untuk dijual, saya banyak membuat judul dalam talian percuma untuk sesiapa mencuba berkonsep ‘free to play’, hanya untuk menimba ilmu dalam bidang ini.

Walaupun judul awal saya, saya akui nampak mudah dan ‘simple’, setiap satu merupakan langkah penting untuk faham proses penghasilan sesuatu judul yang seronok untuk dimainkan.

Sehingga ke hari ini saya masih lagi menelaah konsep-konsep di sebalik keseronokan ataupun ‘fun factor’ yang agak rumit serta berkait rapat dengan bidang psikologi, hanya untuk membantu penghasilan judul yang berkualiti dan diterima baik.

Mahu 'collaborate' dengan pihak lain?

buka studio game sendiri

Saya sentiasa terbuka hati dan sudi untuk bekerjasama dengan pihak lain, terutamanya bakat di Malaysia.

Bidang ini masih ada ruang yang banyak untuk berkembang di Malaysia dan saya sentiasa berharap agar satu hari nanti Malaysia ada syarikat penerbitan game yang besar, setaraf dengan CD Projekt Red di Poland yang kini bernilai lebih USD$8 billion ataupun syarikat antarabangsa seperti Activision-Blizzard, Electronic Arts dan Ubisoft.

Bakat tempatan memang sedia ada dan amat wajar untuk dibanggakan, tetapi saya lihat industri kita lebih cenderung kepada penghasilan projek-projek berskala kecil untuk menghasilkan kandungan pihak ketiga bagi terbitan syarikat lebih besar luar negara.

Boleh cerita sikit tentang judul yang dah diterbitkan?

monster slayer studio solo anak tempatan sarawak

Boleh! Sebelum ini saya telah menghasilkan lebih daripada 40 judul game versi Flash yang masih boleh dimain secara percuma di laman web Kongregate yang memaparkan semua judul awal Nerdook Productions.

Malangnya, banyak pelayar internet baru tidak lagi menyokong perisian Adobe Flash.

Judul besar syarikat saya setakat ini adalah “Vertical Drop Heroes HD”, “Reverse Crawl” dan “Monster Slayers” yang boleh didapati di platform Steam, Nintendo Switch dan Playstation Store.

“Vertical Drop Heroes HD” merupakan game berbentuk platform, “Reverse Crawl” ialah game strategi dan “Monster Slayers” ialah judul perlawanan kad.

the magister produk malaysia

Judul terbaru yang bakal diterbitkan tahun ini adalah “The Magister”. Saya harap agar judul ini yang bakal dilancarkan di platform Steam buat permulaan bakal mendapat sokongan pembaca Iluminasi semua.

Ada pesanan terakhir untuk pembaca Iluminasi?

nerdook solo videogame developer malaysia

Jangan takut untuk mencuba sesuatu yang baru walaupun bersendirian.

Terima kasih kerana beri peluang kepada saya untuk menceritakan sesuatu yang sangat dekat dengan diri saya.

Rujukan

Nerdook Production Steam Store Page




Hakcipta iluminasi.com (2017)