sejarah tulisan jawi 698

Tulisan jawi sudah menjadi identiti orang Melayu sejak hampir 1000 tahun dahulu. Malangnya, ramai rakyat Malaysia sendiri yang terkeliru antara tulisan Jawi dan bahasa Arab dengan menganggap kedua-duanya adalah perkara yang sama. Hal ini tidak benar sama sekali.

Walaupun tulisan Jawi menggunakan huruf-huruf Arab, ia hanyalah sejenis tulisan dimana sebutan dan ejaannya adalah untuk penggunaan Bahasa Melayu. Disebabkan inilah, terdapat penambahan beberapa huruf Jawi dalam tulisan Jawi bagi memudahkan pengejaannya dalam Bahasa Melayu

Suatu ketika dahulu, dalam kalangan orang Melayu sendiri tulisan Jawi ini merupakan antara tulisan utama di Tanah Melayu. Malah, orang Melayu sendiri sentiasa menggelar diri mereka orang Jawi yang berasal dari tanah Jawi. Kerana hubungkait rapat antara masyarakat Melayu dan Islam, maka seringkali disebut orang Melayu yang memeluk agama Islam disebut "masuk Jawi".

Walau bagaimanapun, penjajahan negara-negara Barat dan Akta Bahasa Kebangsaaan yang diwartakan pada tahun 1963 yang mengisytiharkan tulisan Rumi sebagai tulisan Rasmi negara telah sedikit sebanyak mengurangkan pengaruh tulisan Jawi di Malaysia.

Kedatangan tulisan Jawi di Tanah Melayu

sejarah tulisan jawi

Mengikut sejarah, kedatangan orang Arab dan proses Islamisasi di Tanah Melayu suatu ketika dahulu telah membawa kepada kemunculan tulisan Jawi. Perkara ini sememangnya tidak dapat dinafikan memandangkan sumber utama orang Islam adalah Al-Quran yang hadir dalam Bahasa Arab. 

Walaupun orang-orang Arab pada ketika itu datang dari pelbagai negara yang membawa sama pelbagai jenis bahasa (seperti bahasa Parsi), bahasa Arab lebih dominan memandangkan ianya adalah bahasa Al-Quran.

Untuk tujuan penyebaran dan pendidikan, para pendakwah Arab ketika itu perlu menulis dan menterjemahkan Al-Quran dan buku-buku agama lainnya dari bahasa Arab ke bahasa Melayu dan dengan itu lahirlah manuskrip dalam tulisan Jawi yang lebih dikenali sebagai Kitab Kuning.

Tulisan Jawi juga merupakan tulisan yang paling berkuasa di Tanah Nusantara suatu ketika dahulu. Malah, surat Raja-Raja Melayu kepada pemerintah luar seperti England, Portugal dan Perancis kesemuanya ditulis dalam tulisan Jawi.

Perkembangan tulisan Jawi

huruf jawi 253

Tulisan Jawi sangat sinonim dengan orang Melayu dan sudah dianggap sebagai identiti orang Melayu selain Bahasa Melayu itu sendiri. Malah, tulisan ini juga sudah dikaji oleh banyak tokoh-tokoh besar dunia antaranya seorang pakar tulisan Jawi, Profesor Dr. Kang Kyoung Seok dari Korea Selatan.

Pada peringkat awal, tulisan Jawi ini adalah usaha orang perseorangan dan kumpulan-kumpulan tertentu untuk tujuan peribadi semata-mata dan bukanlah untuk kegunaan masyarakat umum. Oleh itu, lahirlah beberapa sistem ejaan Jawi.

Antara manuskrip terawal yang menggunakan tulisan Jawi adalah tulisan Bustan al-Katibin yang ditulis oleh Raja Ali Haji. Beliau dipercayai antara orang terawal yang "membangunkan" tulisan ini selain tokoh-tokoh terkenal lain seperti Syeikh Ahmad al-Fatani (pada 1288H/1871M).

Walaupun sistem ejaan yang diperkenalkan tidak tersebar secara meluas, ianya sangat berguna untuk mentafsirkan kitab Arab ke dalam Bahasa Melayu. Kemudian, lahir pula sistem ejaan Pakatan yang diperkenalkan oleh Mejar Dato’ Haji Mohd Said Sulaiman di bawah Persatuan Bahasa Melayu Persuratan Buku-buku Diraja Johor (P.Bm.P.B) atau singkatannya Pakatan.

Selepas sistem ejaan Pakatan, lahir pula sistem ejaan Za'aba yang diperkenalkan oleh pendeta Za'aba. Sistem ejaan bagi tulisan Jawi terus berevolusi dan lahir pula sistem ejaan Dian sebelum Dewan Bahasa dan Pustaka mengambil inisiatif memperkenalkan ejaan tulisan Jawi yang lebih sistematik, teratur dan  menyeluruh,

Secara ringkasnya, berikut adalah beberapa sistem ejaan tulisan Jawi yang pernah wujud:

  1. Sistem Ejaan Jawi Pakatan
  2. Sistem Ejaan Jawi Za’aba
  3. Sistem Ejaan Jawi Dian
  4. Sistem Ejaan Jawi Yang Disempurnakan 

Bagi penyesuaian ejaan dengan bunyi atau sebutan dalam bahasa Melayu, pelbagai huruf Jawi telah ditambah seperti چ /cha/, ڤ /pa/, ڬ /ga/, ڠ /nga/, dan ڽ /nya/. Huruf-huruf ini tidak terdapat dapat huruf Arab dan dipercayai diambil daripada bahasa Parsi.

Terdapat 31 huruf yang diambil daripada bahasa Arab. Walau bagaimanapun, orang Melayu telah menambah 6 lagi huruf baru, menjadikan keseluruhan 37 huruf yang terdapat dalam sistem tulisan Jawi.

Manuskrip dan dokumen penting bertulisan Jawi

batu bersurat

Semasa zaman penjajahan, tulisan Jawi digunakan secara meluas di kawasan Kepulauan Melayu dalam pelbagai bidang antaranya falsafah, perundangan, perdagangan, sastera dan kesenian. Malah, tulisan Jawi juga merupakan tulisan rasmi Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu sewaktu zaman penjajahan British.

Kepentingan tulisan ini dapat dilihat apabila ianya digunakan dalam penulisan dokumen-dokumen penting seperti Hukum Kanun Melaka, Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor dan banyak lagi semua ditulis dalam tulisan Jawi.

Penggunaan meluas tulisan Jawi juga dapat dibuktikan pada penemuan Batu Bersurat di Kuala Terengganu yang dipercayai wujud sejak tahun 1303M lagi. Dalam penerbitan akhbar pula, surat khabar Melayu yang pertama bernama Jawi peranakan yang diterbitkan dari 1876 hingga 1895 juga ditulis dalam tulisan Jawi.

Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa dokumen pengisytiharaan kemerdekaan Tanah Melayu tahun 1957 yang ditandantangan oleh Tunku Abdul Rahmah juga sebenarnya ditulis dalam tulisan Jawi. Hal ini membuktikan betapa pentingnya peranan tulisan Jawi di Tanah Melayu suatu ketika dahulu. 

Status tulisan Jawi pada hari ini

Sindiran P Ramlee dalam filemnya terhadap orang Melayu sendiri yang tidak pandai membaca tulisan Jawi

Walaupun tulisan Jawi ini sangat sinonim dengan bangsa Melayu, amat menyedihkan pada masa kini kerana boleh dikatakan begitu ramai orang Melayu sendiri yang tidak boleh membaca dan menulis tulisan Jawi. Tulisan Jawi dianggap sangat asing terutamanya bagi generasi muda masa kini. 

Prof Dr. Kang Kyoung Seok, seorang pakar tulisan Jawi yang mengkaji tulisan ini sejak 1974 sendiri mengatakan bahasa tulisan Jawi ini sangat tenat dan jika tidak dipelihara dan diajarkan ke generasi muda, ia mungkin akan pupus satu hari nanti.

Kredit:

  1. Sejarah Perkembangan Tulisan Jawi oleh Ahmad Faisal Abdul Hamid
  2. Wikipedia
  3. Ust Firdaus Wong Wai Hung


Hakcipta iluminasi.com (2017)