Oleh pada 28 Apr 2017 kategori

Buli membawa maksud masalah yang meliputi kegiatan seperti memeras ugut, menghina, mengejek, menunjuk isyarat lucah, menumbuk, memaki dan sebagainya yang dilakukan oleh seseorang terhadap pemangsanya. Memang tidak boleh dinafikan bahawa zaman ini, kes buli yang berlaku di sekolah semakin berleluasa dan menjadi-jadi. Perkara ini telah mencapai satu tahap yang amat membimbangkan pelbagai pihak seperti pihak sekolah, ibu bapa, kerajaan, masyarakat dan lain-lain lagi.

hentikan buli

Menurut satu kajian, kes buli ini menjadi semakin meningkat pada setiap tahun dalam kalangan pelajar dan semakin serius masalahnya. Dari mana datang punca berlakunya kes buli ini? Terdapat beberapa punca yang telah dikenal pasti sebagai penyumbang kepada masalah kes buli ini, diantaranya kerana kekurangan penghayatan nilai-nilai agama yang menyebabkan seseorang pelajar itu terjebak dalam kes buli. Sesetengah dari mereka sanggup berbuat demikian hanya untuk mendapatkan perhatian orang lain dan menunjukkan kekuatannya kepada orang lain.

Selain itu, ibu bapa yang kurang memberikan belaian kasih sayang dan perhatian terhadap anak-anak juga menjadi punca kes buli ini berlaku. Ibu bapa yang selalu sibuk mencari duit dan bersikap materialistik telah mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap anak mereka. Di samping itu, anak-anak ini mudah terpengaruh dengan tindakan rakan sebaya. Jika kawan-kawannya merupakan seorang pembuli, tidak mustahil anak tersebut  juga akan terjebak perbuatan kawannya itu. Pengawasan yang longgar di sekolah juga menjadi punca banyaknya kes buli, mereka melihat ini sesuatu peluang untuk mereka terus melakukan aktiviti buli di sekolah.

buli pelajar

Terdapat 4 kategori buli yang perlu anda tahu iaitu buli fizikal,buli isyarat,buli bahasa dan juga buli perhubungan. Buli fizikal ini berlaku jika mangsa tersebut diganggu,dipukul dan dicederakan anggota badan mangsa oleh pembuli. Manakala buli isyarat bererti apabila si pembuli itu melakukan isyarat jari berunsur lucah atau jenayah dan juga menjeling kepada mangsa. Buli bahasa pula bermaksud pembuli tersebut mengejek,menyindir dan menjatuhkan maruah mangsa di hadapan rakan-rakan. Di zaman teknologi ini, jika pelajar menerima sms atau mesej wechat yang berunsur lucah dan negetif ia diklasifikasikan juga sebagai buli bahasa.  Manakala yang terakhir iaitu buli perhubungan berlaku apabila pembuli tersebut meniru suara mangsa,memulau rakan dan juga mengumpat untuk memburukkan mangsa.

Jika anda dibuli oleh rakan anda atau pembuli disekolah mahupun diluar kawasan sekolah, anda jangan panik dan jangan takut untuk memberitahu perkara ini kepada rakan baik anda, melaporkan kepada guru disiplin atau guru kaunseling dan cerita kepada ibubapa tentang kejadian buli yang berlaku terhadap diri anda. Para pelajar juga boleh melaporkan kes buli kepada pihak Kementerian Pelajaran Malaysia dengan menghubungi talian 03-8000 8000. Perlu di ingatkan bahawa perbuatan buli amat memberi kesan yang sangat mendalam kepada mangsa. Pembuli juga boleh dikenakan tindakan undang-undang dari pihak sekolah dan juga polis.

buli

Hapuskan budaya buli, semaikan budaya bermuafakat. Katakan tidak kepada buli, terima kasih kepada anda kerana tidak menjadi pembuli.


tags : , , , , ,








Hakcipta iluminasi.com (2017)