Ramai di luar sana marah sekiranya buli berlaku, tetapi dalam masa yang sama ada juga segelintir alumni asrama yang secara tidak rasmi 'menyokong' buli berlaku.
Ini kerana kumpulan individu sebegini dapat melihat kesan positif daripada kejadian-kejadian buli, sehinggakan ketika mereka sudah dewasa pun mereka akan terus menerus menjaja berfaedahnya kejadian buli kepada mereka.
BESARKAN TEKS A- A+
Anda pernah berhadapan dengan lima hujah-hujah dangkal di bawah?
1. Buli membentuk jati diri
Ini adalah alasan paling kerap digunakan oleh alumni asrama. Kenapa? Kerana dengan mengatakan alasan sebegini, ia menunjukkan mereka adalah individu-individu cekal. Kena buli pun masih mampu bertahan.
Jika benar buli membentuk jati diri, kenapa mereka yang kini dah bergelar ibu bapa tak buli anak masing-masing serupa dengan apa yang telah mereka lalui? Anak buat salah? Ragging dia. Anak menipu? Ajak isteri belasah dia sama-sama.
Memang tak dinafikan buli memang membentuk kekuatan tetapi dalam masa yang sama, kekuatan itu terbentuk beserta rasa marah dan dendam dalam diam.
2. Buli merapatkan hubungan
Memang buli merapatkan hubungan! Pelajar yang dibuli akan rapat dengan rakan senasib mereka. Pelajar pembuli akan akrab dengan pembuli lain, kerana itu adalah kaedah terbaik mengekalkan ego mereka.
Daripada perbezaan ini, kumpulan pelajar yang sepatutnya rapat sesama sendiri akhirnya akan mewujudkan sub-kawanan masing-masing.
Dan situasi paling sukar untuk dihadapi oleh seorang remaja seusia sedemikian, adalah rasa tersisih. Kumpulan yang merasakan diri mereka tersisih ini akan memencilkan diri, mengelakkan diri daripada terlibat dalam aktiviti-aktiviti biasa sekolah serta sedaya upaya tidak mahu menonjolkan diri.
Ini kerana mereka tahu dengan menonjolkan diri, pelajar lain seusia mereka tak suka. Kami benar-benar tak faham kenapa ada pihak masih nak kata buli merapatkan hubungan.
3. Buli adalah anekdot kehidupan asrama yang menarik
Kisah-kisah buli di lihat sebagai sesuatu yang biasa, apabila dibicarakan dalam peringkat masyarakat kita. Ingin penulis persoalkan di sini - kenapa?
Kenapa ramai alumni sekolah asrama melihat kejadian buli seolah-olah satu pengalaman positif yang akan dikenang sampai mati? Satu-satunya jawapan kepada persoalan ini yang boleh difikirkan penulis hanyalah disebabkan...
..Dulu dia pun kaki buli orang.
Sekiranya anda seorang pelajar asrama, cuba lakukan pemerhatian pantas. Kira berapa orang antara sahabat anda yang telah terputus hubungan daripada kumpulan alumni sebaya anda. Berapa ramai di antara mereka bekas mangsa buli baik daripada senior mahupun sahabat seusia mereka?
Besar kemungkinan majoriti mereka yang meminggirkan diri daripada keep in touch semasa dewasa, adalah kumpulan sama yang meminggirkan diri semasa tempoh di asrama dulu.
4. Buli menentukan hanya yang kuat 'survive'
Ramai alumni yang tamat zaman asrama sering menggambarkan bahawa budaya asrama haruslah dilihat ibarat survival of the fittest. Yang kuat akan kekal, yang lemah akan tercicir lalu terkeluar.
Buli pula dilihat sebagai elemen penting perlu ada dalam asrama, dalam membantu mengasingkan mana yang kuat dan mana yang lemah. Yang pandai bawa diri akan berjaya cari jalan navigasi kesemua rintangan sementara mereka yang tak sanggup dibuli, tak tahan, akan mencari jalan mudah; memilih ditukarkan ke sekolah lain.
Adakah kumpulan yang memegang pemikiran sebegini melihat kehidupan di asrama satu pertandingan realiti TV? Budaya survival of the fittest tidak sepatutnya disemai di dalam bilik asrama, kerana bukan semua individu mempunyai mentaliti untuk tahan kena sepak terajang, ragging dan buli ni.
Sehinggi kini masih ramai alumni sekolah asrama berbangga mereka pernah jadi mangsa belasahan di sekolah, tetapi tetap mampu menghabiskan sekolah. Apa yang dibanggakan sebenarnya? Cuba fikir.
5. Buli akan tinggal kenangan bila dah dewasa
Di antara semua alasan berkenaan buli ni, ni satu-satunya alasan yang agak popular.
Ramai merasakan apa yang telah dilalui mangsa buli semasa di sekolah akan berakhir serta dilupakan selepas meginjak masuk dewasa. Mangsa juga biasanya dianggap akan memaafkan pembulinya sebegitu saja.
Benarkah itu realitinya? Tidak bukan. Rasa marah dan dendam mangsa buli kepada pembulinya tidak akan benar-benar padam, kerana apa yang berlaku adalah trauma yang akan dia pikul sepanjang hayat. Bagaimanapun, jarang sekali kaki buli benar-benar mahu melakukan permohonan maaf kepada semua mangsa buli kerana...
Mereka ini beranggapan mangsa-mangsa mereka sudah tentulah akan memaafkan mereka. Dah dewasa kan? Let bygones be bygones!
Bagaimana pula jika penulis katakan - tidak, mangsa buli sebenarnya tak pun memaafkan anda walaupun kini dia mungkin dah berusia 30 an, 40, 50 an mahupun 80-an sekalipun kerana apa yang telah mereka lalui, masih merupakan luka yang belum tertutup.
Itu baru melibatkan mangsa buli di sekolah. Di peringkat universiti macam mana? Biasanya pembuli-pembuli ni dah habis membuli di sekolah, masuk universiti pun dia akan ulang budaya sama. Dia ketagih nak tahu orang lain takut dengan dia. Ada kalanya dah dewasa dan dah kerja pun dia masih amal perangai sama.
Kenapalah ramai beranggapan mangsa buli akan memaafkan pembuli mereka secara automatik ketika dah menginjak dewasa? Kalau mangsa tak mahu maafkan pun, itu hak peribadi mereka kerana kes-kes buli di asrama biasanya dilakukan individu yang dah akil baligh usianya.
Selagi mana kita beri jalan keluar mudah kepada kaki buli, budaya buli akan terus jadi sebahagian budaya popular di asrama yang menempatkan anak-anak kita.