Oleh pada 26 Sep 2017 kategori

Di Malaysia, kebanyakan organisasi tempatan mengamalkan budaya pulang lambat ke rumah dan suka membuat kerja lebih masa. Rata-rata ia berpunca daripada motivasi untuk memperolehi wang lebih ataupun disebabkan "hormatkan" bos yang pulang lewat.

Tahukah anda, keseimbangan budaya kerja amat penting untuk memastikan prestasi kerja anda di pejabat sentiasa berada pada tahap yang tinggi selain menjamin kesihatan dan kesejahteraan hidup anda di luar pejabat? Anda akan terlepas begitu banyak perkara di luar kerana kerap menghabiskan masa di pejabat.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kami kongsikan 5 sebab anda perlu buangkan tabiat suka kerja lebih masa dan pulang ke rumah tepat pada masanya:

1. Kerja lebih masa tidak bermakna anda kerja dengan penuh efisien

Apabila anda kerap bekerja lebih masa, ia tidak bermakna anda memberikan sepenuh komitmen terhadap majikan atau tugasan. Ia sebenarnya satu perbuatan yang sia-sia dan boleh menyebabkan produktiviti semakin menurun.

overtime kerja lebih masa pejabat 2

Sebaliknya, jika anda pulang ke rumah lebih awal, ia akan lebih membantu anda dalam pengurusan masa dan membolehkan anda belajar mengutamakan perkara yang lebih penting untuk mendapatkan hasil yang lebih sempurna. Apabila anda kembali ke pejabat keesokan hari, minda anda akan lebih segar dan bersemangat untuk menyiapkan tugasan.

2. Masa itu berharga 

Orang kata, "Masa itu emas." Walaupun anda memperolehi sedikit wang saku hasil kerja lebih masa, anda telahpun kehilangan banyak masa berharga yang sepatutnya anda luangkan untuk perkara lain.

overtime kerja lebih masa pejabat 5

Selain itu, terlalu kerap bekerja lebih masa juga hanya membazirkan wang syarikat. Namun, jika anda anda kerja lebih masa secara percuma pula bermakna anda banyak "menderma" untuk majikan. Menurut satu kajian yang dibuat, seorang pekerja di Amerika Syarikat telah "mendermakan" $9,471 dalam setahun apabila bekerja lebih masa dan tidak menerima sebarang bayaran.

Namun, persoalan sebenar adalah - ikhlaskah pekerja tersebut dalam "menderma"?

3. Banyak lagi perkara lain yang anda boleh lakukan

Apakah tujuan anda bekerja keras? Semuanya bermatlamatkan wang, bukan? Tapi apalah maknanya wang yang banyak jika anda hilang arah tuju sebenar dalam hidup.

overtime kerja lebih masa pejabat 4

Apabila anda terlalu menghadap timbunan kerja yang tidak akan pernah selesai, anda terlepas terlalu banyak peluang lain. Apa kata sesekali lupakan saja kerja lebih masa dan cuba hirup udara segar sambil melakukan aktiviti luar. Ataupun anda boleh berehat di rumah sambil membaca novel kegemaran anda ataupun mempelajari bahasa baru. Kesemua aktiviti seperti ini dapat menambahkan kecerdasan otak anda dan meningkatkan kemahiran diri.

4. Jangan tunggu sehingga keluarga dan rakan-rakan meninggalkan anda

Wang yang anda perolehi dan masa yang anda habiskan di pejabat itu tidak berbaloi sekiranya anda selalu mengabaikan orang yang tersayang. Jawatan tinggi dengan gaji lumayan mungkin menjadi keutamaan anda sekarang, namun anda perlu ingat bahawa apabila anda sakit, kesunyian atau meninggal dunia, keluarga dan rakan-rakanlah yang akan terus berada di samping anda.

overtime kerja lebih masa pejabat 6

Mungkin bos hanya akan menziarah anda seketika, kemudian kerjanya di pejabat masih perlu diteruskan. Calon yang baru akan menggantikan tempat duduk anda di pejabat dengan mudah sekali selepas ketiadaan anda.

Bilakah kali terakhir anda menelefon ibu bapa dan bercakap tanpa gangguan? Bilakah kali terakhir anda membawa keluarga keluar makan bersama? Bilakah kali terakhir anda duduk bersembang bersama teman karib anda?

5. Tidak baik untuk kesihatan 

Majikan mungkin membayar insurans perubatan anda namun anda perlu ingat bahawa kesihatan anda perlu diutamakan. Bekerja lebih masa, tekanan akibat kerja dan keinginan menyiapkan tugasan sebelum tarikh akhir boleh menyebabkan kesihatan anda merudum.

overtime kerja lebih masa pejabat 7

Kajian yang dijalankan oleh penyelidik dari University College London mendapati apabila anda kerap kerja lebih masa, anda meningkatkan risiko terkena penyakit strok dan penyakit jantung koronari. Situasi ini boleh bertambah lebih teruk jika anda tidak mengawal pemakanan dan tidak melakukan sebarang senaman.

Jangan jadikan kerja lebih masa sebagai satu amalan. Jika sesuatu tugasan boleh disiapkan kemudian, pulanglah lebih awal dan lihat sendiri perubahan demi perubahan yang akan berlaku dalam kehidupan anda.

Jom balik on time. Ingatlah orang yang tersayang.




Hakcipta iluminasi.com (2017)