Bagi mereka yang pernah merasai sambutan hari raya Aidilfitri sejak 20, 30 ke 50 tahun dahulu, pasti ramai yang telah melihat sendiri bagaimana peredaran zaman mengubah tatacara sambutan Aidilfitri kita.

Banyak perubahan sebenarnya telah berlaku yang menjadikan sambutan zaman sekarang lebih meriah, tetapi ada juga perubahan yang menjadikannya semakin kurang dari segi tradisinya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah lima tradisi raya yang satu masa dahulu adalah 'trend' tetapi sekarang semakin kurang diamalkan, takut-takut satu hari kelak akan luput ditelan zaman.

1. Hantar kad raya

gantung kad raya

Kad raya satu ketika dulu adalah bukti populariti anda. Lebih banyak kad yang anda terima, itu menandakan ramailah sebenarnya kenalan atau sahabat handai anda yang mengingati diri anda.

Lagi best, bila dapat kad daripada orang kenamaan. Mak ayah kita pun gantung kad tu cantik-cantik di tengah-tengah dinding supaya kita tahu tokoh terkenal tu ingat keluarga kita.

Budaya menggantung kad raya memang malap dah kan? Pengalaman penulis berkunjung ke rumah rakan taulan sahabat handai 10 tahun kebelakangan ini, dah tak kelihatan lagi dah kad-kad raya menjadi hiasan.

Semua orang lebih selesa guna mesej je, hantar emoji raya. Dah hilang sentuhan peribadi sesama kita. Seronok tau fikirkan senarai nama kawan yang bakal terima kad raya dari kita.

Mak bagi 15 keping je, jadi kena pilih betul-betullah siapa dapat.

2. Keluarga buat kuih masing-masing sendiri

keluarga buat kuih raya

Satu masa dulu, pergi satu rumah untuk beraya - mesti keluarga tuan rumah ada hidangkan sekurang-kurangnya kuih buatan tangan mereka sendiri. Dapatlah juga kita merasa kepelbagaian dalam rasa kuih tu.

Walaupun tak sedap, telan jugalah sambil tersenyum kerana nak jaga hati tuan rumah.

Zaman sekarang, orang ramai dah lebih selesa membeli saja kuih disebabkan oleh kemampuan kita untuk membeli tu semakin baik. Sebut saja nak kuih apa, semuanya ada. Satu balang RM30.

Pergi rumah A, makan kuih sama. Pergi rumah B, makan kuih sama. Balik rumah sendiri pun, kuih yang sama juga kita hidangkan dekat tetamu kita.

Jika keluarga anda buat kuih sendiri - jemputlah kami bertandang ya. Kami akan hadir, kalau PKP tak jadi penghalang.

3. Pasang pelita

api pelita

Bagi mereka yang merasai pengalaman buat pelita sendiri guna tin susu atau bekas air tin, memang unik kan pengalaman tu? 

Walaupun hasilnya kadangkala kurang kemas dan sedikit berbahaya disebabkan oleh ketajaman sisi tin, bila rumah dihiasai cahaya lampu tu rasa puas saja kan? Generasi yang dah berusia mungkin sempat lalui pengalaman DIY pelita, sebelum pelita besi mula dijual.

Sekarang ni nak dapatkan pelita, beli saja kat kedai. Murah saja. Dibuat daripada plastik, siap lengkap dengan kayu pancang nak menggantungnya.

Tinggal nak beli minyak tanah saja. Dulu keluarga beli terus satu tong besar. Oleh kerana berat nak angkat, terpaksa guna pam untuk kita pam dulu minyak tu keluar diletakkan ke dalam bekas lebih kecil - supaya lebih mudah dituangkan.

4. Fenomena rancangan Sampaikan

rancangan sampaikan aidilfitri

Setiap kali tiba Aidilfitri dulu, mesti masyarakat kita akan ternantikan satu rancangan wajib tonton iaitu 'Sampaikan.' Sekarang ni pun rancangan ni cuba diperkenalkan semula, tetapi suasananya dah berbeza.

Dulu kita tak ada kemudahan teknologi macam sekarang, jadi rancangan 'Sampaikan' ni lah yang jadi orang tengah untuk tayangkan ucapan salam kita kepada saudara mara yang jauh diselang-selikan dengan persembahan artis terkenal mendendangkan lagu raya.

Ramai berkumpul depan TV, dengan harapan ada lah pesanan daripada si dia yang jauh. Tapi sebab durasi pun terhad, jadi tak banyaklah pesanan dapat dikeudarakan. Kecewa pun tak apalah sebab 'Sampaikan' ni memang best habislah dulu sebelum adanya beratus-ratus saluran TV yang ada sekarang.

5. Sanak saudara berkumpul dalam satu rumah

gelagat budak raya aidilfitri

Mungkin rumah kita makin kecil. Mungkin juga orang kita makin mampu. Apa yang penulis sedar, budaya berkumpul ramai-ramai sanak saudara di rumah atuk dan nenek dah semakin kurang diamalkan.

Dulu rumah nenek penulis mampu menempatkan 5 ke 8 keluarga yang pulang ke kampung serentak. Semua geng lelaki pakat tidur ramai-ramai penuh ruang tamu dan golongan wanita pula diberikan keistimewaan guna bilik.

Bila dah ramai berkumpul, selalunya tidur pun lambat lah - dipenuhi dengan bermacam aktiviti seperti menonton TV ramai-ramai, main mercun atau lebih ekstrim, main meriam lawan dengan kampung sebelah.

Zaman sekarang ni, bila pulang ke kampung mesti ada aje adik-beradik atau saudara yang lebih gemar nak menginap di hotel, demi keselesaan nenek dan atuk agar tak pening melayan kerenah cucu katanya. Ada juga yang sewa homestay duduk beramai-ramai sehinggakan mak ayah tarik muka sebab anak sendiri balik kampung, tapi tak nampak muka.

Keluarga anda masih lagi amalkan tradisi sedemikian rupa? Tahniahlah. Teruskan dan cuba kekalkan, kerana hanya waktu-waktu itulah sepupu-sepapat boleh berkenalan dan berinteraksi sesama kita.

Asalkan mereka tak leka menelaah telefon pula setiap masa bila dah ramai-ramai balik berkumpul, menjelang malam raya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)