Oleh pada 17 Dec 2017 kategori

rahsia syarikat apple

Apple ialah salah sebuah syarikat gergasi paling kaya di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1980, jumlah pendapatan bersih globalnya setinggi $45.69 bilion setiap tahun. Namun, di sebalik kejayaan itu, Apple mempunyai sisi gelap tersendiri yang tidak diketahui ramai. Mari kita sama-sama semak 5 fakta paling mengejutkan tentang Apple.

1. Mempunyai pasukan polis rahsia

BESARKAN TEKS     A-  A+

pasukan polis apple

Sumber foto: iansobolev.com

Apple antara syarikat yang cukup berahsia bagi menjaga reputasi produknya. Namun, sejauh manakah gergasi teknologi ini cuba melindungi privasi barisan projek mereka yang masih belum dilancarkan? Apple mempunyai pasukan polisnya sendiri yang bergerak secara rahsia, iaitu "Worldwide Loyalty Team".

Pasukan khas ini terdiri daripada para pekerja Apple sendiri. Mereka didakwa memantau aktiviti pekerja syarikat itu sepanjang hari. Tugas utamanya adalah membanteras sebarang aktiviti yang berpotensi membocorkan maklumat penting milik Apple.

Menurut seorang bekas pekerja Apple, sebaik perkara sulit berkaitan produk mereka disyaki telah bocor, kesemua telefon bimbit milik para pekerja yang ditugaskan untuk projek itu akan dirampas buat sementara waktu dan diperiksa oleh "Worldwide Loyalty Team".

Pada tahun 2007, pasukan itu didakwa menyamar sebagai pegawai polis. Bagi mencari prototaip iPhone yang hilang secara tiba-tiba, mereka telah menjalankan serbuan besar-besaran di rumah seorang pekerjanya di San Francisco.

Tindakan biadap itu menerima kritikan hebat ramai pihak. Akibatnya, John Theriault selaku orkestrator serbuan itu terpaksa meletakkan jawatan.

Sumber: Apple Insider, The Inquirer, Daily Tech

2. Siri sebenarnya seorang "pengintip"?

siri merupakan pengintip

Sumber foto: Info Wars

Pada tahun 2013, peminat setia Apple terkejut sebaik mengetahui segala perbualan mereka bersama pembantu peribadi digital Apple yang dipanggil "Siri", telah dihantar kepada Apple untuk tujuan analisis.

Perkara tersebut ada dinyatakan pada keterangan produk itu. Namun, ia sama sekali tidak menyatakan bahawa Apple akan menyimpan maklumat sulit berkenaan sehingga tempoh 2 tahun.

Tindakan itu dipertahankan oleh Apple, dengan alasan transkrip pelanggan disimpan untuk tujuan penyelidikan pasaran dan peningkatan kualiti produknya. Sejak itu, pengguna mula bimbang akan kredibiliti Apple dalam menjaga privasi seseorang.

Terdapat teori mengatakan Apple selama ini telah bekerjasama dengan Agensi Keselamatan Negara milik Amerika Syarikat untuk mengintip rakyatnya. Namun, ia hanya sekadar dakwaan semata-mata, tanpa apa-apa bukti kukuh.

Teori ini kemudiannya disokong oleh pemberi maklumat terkenal, Edward Snowden yang enggan menggunakan iPhone. Beliau curiga peranti itu mengandungi sebuah perisian khas yang boleh diaktifkan oleh pihak berkuasa. Ini sekaligus meletakkan maklumat peribadi pemilik iPhone dalam keadaan bahaya.

Sumber: Tech Times, Wired, CNET

3. Kilangnya di China merosakkan alam sekitar

kilang apple mencemarkan alam sekitar

Sumber foto: European Pressphoto Agency

Tuduhan serius ini merujuk kepada kilang pembekal utamanya yang beroperasi di China, iaitu Foxconn Technology dan UniMicron Technology. Apple dipercayai banyak kali membuang cecair toksik perindustrian, sehingga menyebabkan bau kimia di sungai Huangcangjing dan Hanputang.

Namun, Apple bijak menyembunyikan rahsia ini. Sehingga kini, jumlah sebenar sisa toksik yang telah dibuang sebanyak dua kali sehari itu masih belum diketahui. Jumlah individu yang telah terkesan oleh perbuatan tidak bertamadun ini juga masih menjadi tanda tanya. 

Menurut kajian oleh sebuah pakatan alam sekitar di China, Apple berada di kedudukan terakhir, iaitu ke-29 antara firma-firma utama IT yang lain, dari segi ketelusan kesan mereka terhadap alam sekitar. Apple diramalkan menjalankan aktiviti yang boleh menjejaskan alam sekitar dengan begitu teruk.

Dalam tempoh sedekad lalu, sejumlah lebih daripada 3,000 kanak-kanak yang tinggal berdekatan kilang-kilang sebegini di China telah didiagnosis dengan tahap plumbum yang berbahaya dalam darah. Situasi ini boleh membawa kepada kerosakan saraf yang kritikal.

Sumber: The Guardian, Ethical Consumer, Financial Times

4. Mempunyai masalah cukai yang serius

masalah cukai apple

Sumber foto: Youtube TomoNews US

Syarikat-syarikat antarabangsa yang terkemuka seringkali dikaitkan dengan urusan cukai yang diragui. Apple juga tidak terkecuali. Menurut sebuah siasatan pada tahun 2016, Kesatuan Eropah mendapati Apple telah menerima pengecualian cukai secara haram dari Ireland.

Mereka dikehendaki membayar balik sejumlah $14.5 bilion. Menurut Jawatankuasa Senat Amerika Syarikat, Apple menggunakan entiti luar pesisir yang rumit dan terperinci bagi mengelak dari membayar cukai pendapatan berjumlah berbilion dolar.

Pada tahun 2013, Apple sekali lagi enggan membayar cukai bagi pendapatannya yang berjumlah $44 bilion, dalam tempoh hanya 4 tahun. Jumlah yang perlu dibayar iaitu $17 bilion, cukup untuk membina hampir 500 buah hospital.

Namun, tindakan Apple itu sah di Amerika Syarikat. Mereka hanya mewujudkan pengelakan cukai, bukannya pengalihan cukai. Apa-apa pun alasan yang diberikan, ia masih dianggap sebagai perbuatan yang tidak bermoral.

Mereka tidak mengisytiharkan residensi cukai di mana-mana negara dan mempunyai struktur luar pesisir untuk menghantar berbilion dolar kepada Ireland. Apple telah diperbadankan di Ireland sejak tahun 1980. Kadar cukainya setinggi 35% di Amerika Syarikat. Akan tetapi, ia hanya 2% di Ireland.

Ireland menggunakan ujian pengurusan dan kawalan untuk menentukan residensi cukai. Oleh sebab Apple tidak diurus atau dikawal di Ireland, ia tidak termasuk di bawah pemastautin cukai.

Apple tidak dikenakan cukai di Amerika Syarikat dan Ireland. Oleh sebab itulah, terdapat sejumlah berbilion dolar milik mereka. Namun, jumlah tepatnya tidak dinyatakan.

Sumber: Forbes, Washington Post, Independent

5. Ramai staf kilangnya yang membunuh diri

ramai staf kilang apple di china membunuh diri

Sumber foto: UKFast

Apple tidak berkompromi dalam mendominasi pasaran dunia, bahkan sanggup melayan pekerja mereka seperti hamba. Sebagai bukti, keadaan kilangnya di China, Foxconn adalah sangat teruk.

Staf mereka diberikan latihan yang minimum dan dibayar kurang dari $2 sehari, untuk syif selama 12 jam. Cuti yang disediakan pula cuma sehari, bagi tempoh setiap 13 hari.

Udara di dalam bangunan itu dipenuhi dengan debu logam yang mengakibatkan penyakit asma. Para pekerja juga dipaksa untuk bekerja, biarpun ketika tangan mereka sedang melecet dan kesakitan.

Segelintir juga didakwa menderita kanser darah yang jarang sekali berlaku, disebabkan produk Apple. Ternyata, mereka sanggup bergadai nyawa demi membangunkan syarikat Apple.

Pada tahun 2010, seramai 18 pekerja nekad terjun dari bangunan syarikat itu, dalam tempoh 14 hari. Namun, masih tiada perubahan yang berlaku.

Pada tahun 2012, seramai 150 pekerja mengadakan protes di bumbung sebuah kilang di Wuhan. Mereka mengugut untuk membunuh diri beramai-ramai. Selepas dua hari, mereka akhirnya berjaya dipujuk.

Pada tahun 2016, 5% pekerja Foxconn iaitu seramai hampir 24,000 orang berhenti kerja pada setiap bulan. Majoriti menjadikan suasana kerja sebagai punca utama.

Kilang itu dianggap sebagai "kem buruh paksaan" kerana asramanya yang penuh sesak. Sesetengah mendakwa mereka dihina di hadapan pekerja lain dan diawasi ketat oleh pihak atasan.

Sehingga kini, terdapat sebanyak 14 kes bunuh diri berlaku. Ini menjadi bukti kukuh kepada layanan tidak berperikemanusiaan yang diberikan oleh pihak Apple terhadap para pekerjanya di China.

Sumber: Telegraph, Independent, New York Times

Rujukan:

1.    Youtube Alltime10s

2.    We Like Viral




Hakcipta iluminasi.com (2017)