Oleh pada 08 Sep 2017 kategori

Dalam dunia teknologi, Elon Musk adalah nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Beliau adalah seorang billionaire dan memiliki beberapa syarikat yang bernilai lebih $1 bilion setiap satunya antaranya Tesla, SpaceX dan Paypal. Pada Jun 2016, beliau dianggarkan mempunyai aset bernilai $11.5 bilion, seterusnya meletakkannya ditangga ke 86 dalam senarai orang terkaya di dunia.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Elon Musk adalah contoh kejayaan seseorang yang bermula dengan minat dalam dunia teknologi yang digunakan sebaiknya untuk mencapai kejayaan dalam bidang keusahawan.

Siapakah Elon Musk?

elon musk billionaire

Elon Musk lahir pada tahun 1971 di Afrika Selatan. Ibunya merupakan seorang model dan ahli pemakanan manakala bapanya seorang jurutera elektromekanikal. Setelah kedua orang tuanya berpisah pada 1980, beliau tinggal bersama bapanya. Ketika fasa itulah minatnya terhadap teknologi dan perkomputeran semakin berkembang.

Beliau menghabiskan banyak masa untuk belajar pengaturcaraan secara sendiri. Antara kejayaan awalnya adalah menjual kod permainan video yang dihasilkan bernama Blastar kepada sebuah majalah bernama PC and Office Technology pada harga $500.

Elon Musk menghadapi zaman kanak-kanak yang sukar. Beliau sering dibuli disekolah dan pernah dimasukkan ke hospital kerana cedera setelah dicampak dari tangga. Setelah menamatkan sekolah, beliau telah merancang untuk berhijrah ke Amerika Syarikat. Tanpa bantuan daripada ibu bapa, laluannya bukanlah mudah. Pada mulanya, beliau telah tinggal di Kanada bersama saudaranya dan memperolehi kerakyatan Kanada. Untuk meneruskan kelangsungan hidup, beliau banyak melakukan kerja-kerja yang bergaji rendah.

spacex syarikat eksplorasi angkasa

Ketika berusia 19 tahun, beliau diterima masuk ke Queens University (Ontario) dan selepas menamatkan pengajian selama 2 tahun, beliau mendapat tawaran biasiswa untuk melanjutkan pengajian di University of Pennsylvania, Amerika Syarikat dalam bidang Fizik. Beliau turut berjaya menghabiskan pengajian dalam bidang Ekonomi di sana. Pada 1995, beliau telah memasuki Stanford University di California untuk menyambung pengajian PhD. Dua hari setelah bermula pengajian, beliau mengambil keputusan untuk tidak meneruskannya untuk memulakan cita-citanya dalam bidang teknologi, angkasa dan tenaga hijau.

Setelah berhenti daripada pengajiannya di Stanford University, pada 1995 Elon Musk dan abangnya Kimbal telah meminjam $28000 daripada ayah mereka dan menubuhkan sebuah syarikat bernama Zip2, syarikat yang membuat perisian. Ketika itu, dunia internet baru sahaja mula berkembang dan syarikat percetakan surat khabar sudah mula ingin menerbitkan akhbar mereka dalam bentuk digital. Elon Musk seorang yang bijak mengambil peluang dan beliau telah memenangi kontrak daripada syarikat-syarikat besar seperti The New York Times dan Chicago Tribune untuk membantu mereka menerbitkan akhbar digital.

Pada 1999, beliau menjual syaikat Zip2 kepada Compaq pada harga $307 juta dalam bentuk wang tunai dan $34 juta dalam bentuk saham. Kemudian, beliau menubuhkan pula syarikat bernama X.com, sebuah syarikat yang menawarkan servis kewangan dalam talian dan pembayaran melalui emel. Setahun kemudian, syarikat ini telah bergabung dengan Confinity, syarikat yang memiliki penyedia perkhidmatan pembayaran dalam talian, Paypal.

SpaceX dan Tesla Motors

elon musk dan tesla motors 976

Pada 2002, Paypal telah dijual kepada eBay dimana hasil daripada penjualan itu, beliau yang mempunyai pegangan saham sebanyak 11.7% telah mendapat $165 juta. Kejayaan Paypal ini adalah permulaan kejayaan-kejayaan lebih besar yang dikecapi oleh beliau. Dengan minat mendalam terhadap bidang eksplorasi angkasa, beliau menubuhkan pula syarikat Space Exploration Technologies (SpaceX) pada tahun 2002.

Idea penubuhan Tesla Motors bukanlah idea Elon Musk, sebaliknya Tesla Motors ditubuhkan oleh Martin Eberhard dan Marc Tarpenning. Pada 2004, Elon Musk telah membuat pelaburan dan menjadi penyumbang terbesar dana untuk Tesla, seterusnya menjadikan beliau sebagai pengerusi syarikat tersebut. Mengikut rekod, pada Januari 2016 beliau memiliki kira-kira 22% daripada pegangan saham dalam Tesla.

Selain 2 syarikat ini, Elon Musk juga telah melabur dalam banyak syarikat yang strategik antaranya NeuroVigil, Vicarious, SolarCity dan Stripe. Secara keseluruhan, beliau memiliki pegangan saham dalam 20 buah syarikat. Hasil daripada pelaburan yang bijak dan strategik inilah yang membolehkan beliau menikmati kekayaan yang dikecapinya kini.

Kredit:

  1. Yo! Success
  2. WikiPedia



Hakcipta iluminasi.com (2017)