Kemajuan teknologi merupakan sesuatu yang amat dialu-alukan dalam memperbaiki kehidupan kita. Teknologi yang diperkenalkan akan melalui perubahan demi perubahan dalam menghalusi kegunaan atau kebolehan teknologi tersebut dalam memudahkan fungsinya.

Kebanyakan teknologi yang ada sekarang boleh dikatakan sudah mencapai tahap matang, menjadi terlalu mudah sehinggakan pengguna ada kalanya tidak memerlukan input yang banyak bagi mengoperasikan sesuatu. Berbeza dengan peralatan elektrik  atau perkakas komputer di era 80an dan 90an.

BESARKAN TEKS     A-  A+

microgenius and old mouse ball

Walaupun begitu, dengan kesenangan penggunaan teknologi moden yang ada ketika ini, harus diakui sedikit sebanyak kita hilang kenangan-kenangan yang dilalui kanak-kanak generasi terdahulu. Berikut adalah lima kesusahan yang dilalui kanak-kanak zaman dahulu, yang besar kemungkinan tidak lagi dirasai ketika ini.

1. Main permainan video dan tak boleh 'save game'

game super nintendo ada bateri untuk save game

Ketika zaman demam Micro Genius dan Super Nintendo melanda negara kita pada era 90-an, kebanyakan konsol permainan tidak mempunyai kebolehan untuk menyimpan tahap permainan atau 'save game.' Kalau ada pun, tak semua permainan ada, hanya permainan tertentu yang mempunyai kebolehan sedemikian itupun menggunakan bateri yang perlu dipasang pada katrij. Namun katrijnya agak mahal.

Salah satu solusi lain dalam menyelesaikan masalah ini, kebanyakan pengeluar akan mencipta kod-kod yang perlu dimasukkan bagi membolehkan seorang pemain untuk melompat terus ke peringkat yang dia dah capai, jadi kanak-kanak (atau orang dewasa) zaman dulu perlulah menyalin kod-kod ini supaya permainan dapat diteruskan, bila mak panggil makan.

Seandainya tengah main game dan mak panggil makan, berat sungguh hati nak pergi makan. Mesti ramai yang sanggup main game dari mula sampai habis hanya semata-mata takut nak tutup konsol dulu, kan?

2. Kena tukar VCD semasa tengok filem

lord of the rings vcd

Tahu pasal VCD kan? VCD masih banyak dijual di kedai jadi sepatutnya kita masih kenal VCD. Salah satu kelemahan ketara VCD adalah kapasitinya rendah jadi setiap filem memerlukan sekurang-kurangnya dua keping cakera VCD dimainkan. Tengah sedap berbaring layan filem, tiba-tiba tayangan pun terhenti dan kita kena bangun masukkan VCD ke dua bagi menyambung cerita. Memang spoil mood betul kalau begitu.

Itu kalau VCD satu filem yang dibahagikan kepada dua keping. Sekiranya kita ni kaki filem Hindustan yang durasinya mesti lebih 3 jam, itu saja dah 3 keping. Ada yang empat keping. Kaki filem Lord of the Rings dulu pun mengalami masalah serupa. Terpaksa bangun dan tukar VCD semasa tengah-tengah filem dua tiga kali.

3. Cuci bola tetikus

bebola mouse dulu kotor habuk

Sebelum adanya tetikus (mouse) yang menggunakan sensor laser macam sekarang, kebanyakan tetikus menggunakan bola bulat bagi mengesan pergerakan yang dilakukan. Bebola tu pula berada di dalam ruang yang terbuka. Bayangkan kita ni jenis suka makan dekat depan komputer, guna pula tetikus jenis bebola jadi lama kelamaan akan berkumpullah habuk-habuk dalam 'roda-roda' bebola tu.

Bukan semua orang rajin nak cuci bahagian dalaman tetikus ni dulu. Bagi seorang pembaiki komputer, salah satu pengalaman menakutkan yang mereka hadapi adalah ketika mereka membuka tetikus ni untuk dibersihkan. Daki-daki dan habuk di dalamnya memang cukup degil melekat pada roda tetikus dan rupanya pun, agak menjijikkan. Sebiji macam apa yang melekat pada kuku sekiranya kita biar kuku kita panjang dan habuk berkumpul di dalamnya.

4. Hantar 'assignment' guna disket atau CD

disket floppy disk hantar assignment

Bagi pelajar IPT sebelum millenium, menghantar tugasan kepada pensyarah dalam bentuk digital merupakan sesuatu yang cukup mencabar, apatah lagi apabila melibatkan fail-fail yang bersaiz besar. Sekiranya satu dokumen ketika itu melebih 1.4mb (megabyte!) itu bermakna dokumen itu tak cukup dalam satu disket. Jadi ramailah yang cari jalan untuk 'pecahkan' fail-fail itu kepada beberapa bahagian supaya boleh dimuatkan dalam disket. Masalahnya, satu disket ada korupsi, habis rosak keseluruhan fail yang dihantar.

Mana yang mewah sikit ketika itu dah ada CD-Burner. Semasa pengenalannya dulu, CD burner ni mencecah ribuan ringgit jugalah sebelum turun kepada ratus-ratus bergantung kepada kelajuannya. Mudahlah nak hantar tugasan pada pensyarah sebab tak perlu lagi pecah-pecahkan fail. Siapa ada CD-Burner semasa sebelum millenium atau awal era-2000 ni, adalah orang-orang berada.

5. 'Degauss' monitor

degauss monitor lama

Sekiranya anda tertanya-tanya apa itu 'degauss monitor' besar kemungkinan anda masih muda-muda remaja. Satu masa dulu semasa masyarakat kita baru diperkenalkan kepada komputer, memang tak ramai yang tahu nak 'degauss' monitor mereka sendiri. Monitor komputer dulu-dulu, bila diletakkan di sebelah pembesar suara yang ada magnet, akan menyebabkan wujudnya perubahan pada warna monitor tersebut yang disebabkan gelombang magnetik yang ada.

Ada monitor yang cepat berubah warnanya, ada yang lambat dan tak semua monitor sama. Atas sebab masalah ini, setiap monitor akan diberikan fungsi 'degauss' yang akan mengembalikan semula warna monitor kepada warna asal seperti sedia kala. Kadangkala, ada juga individu yang tak tahu wujudnya fungsi ini jadi dia teruskan saja penggunaan komputer, dengan skrin tak ubah macam warna pelangi. Dia ingatkan monitor dia rosak.




Hakcipta iluminasi.com (2017)