Zaman sekarang ni, semua orang ada telefon sendiri dan proses komunikasi berlaku dengan sangat mudah sekali. Kosnya pun murah dengan harga RM30 sebulan sudah cukup untuk kita berkomunikasi sambil mendapatkan sambungan internet.
Apabila melihat kembali nostalgia zaman dahulu berkenaan komunikasi, memang banyak kenangan manis mampu diingat kembali. Namun, ada juga beberapa isu tentang sistem komunikasi kita zaman dahulu yang seeloknya berkubur serta tidak diharapkan berlaku kembali.
BESARKAN TEKS A- A+
Berikut adalah 5 perkara buruk berkaitan telekomunikasi yang mampu membuatkan kita tersenyum, tapi lebih elok tinggal sebagai memori sahaja.
1. Setiap satu mesej 20 sen
Masih ingat lagi sistem sms yang ada pada setiap fon kita, yang besar kemungkinan sekarang ini lebih banyak digunakan untuk kita menerima mesej-mesej iklan yang tidak diketahui siapa penghantarnya atau khas untuk menerima nombor TAC transaksi bank?
Bagi generasi yang lahir selepas tahun 2000, anda bernasib baik kerana tidak melalui satu zaman di mana setiap SMS yang dihantar akan dicaj 20 sen atau lebih. Harus diakui ketika ini pun kadar SMS masih lebih kurang sama, tetapi kini kita sudah ada kemudahan mesej percuma seperti Whatsapp atau Telegram, mungkin juga Messenger yang membuatkan komunikasi kita jadi percuma dan lebih cepat.
Pada zaman ini, menulis SMS merupakan satu cabaran besar kerana kita pasti cuba memuatkan semua perkara yang kita mahu sampaikan, dalam had 160 huruf setiap SMS. Bayangkan anda nak hantar tweet dengan setiap tweet dikenakan caj 20 sen. Itu baru SMS, kita belum cerita tentang MMS lagi.
2. Rasa takut panggilan terputus kerana kehabisan syiling
Salah satu perasaan paling menyeramkan adalah apabila kita sedang dalam panggilan dan kedengaran bunyi menandakan panggilan akan terputus, sekiranya tidak ada lagi syiling dimasukkan. Itulah antara salah satu fobia yang kerap dihadapi oleh generasi zaman dulu, fobia kehabisan syiling.
Tengah sedap berbual dengan teman istimewa, tanpa sedar duit syiling dah habis tapi hati kita belum puas mendengar suara si dia. Terpaksalah kita cepat-cepat memastikan segala apa yang cuba kita nak cakapkan, dapat diungkapkan dan berharap agar kita dapat berkata 'selamat tinggal' sebelum panggilan putus.
Nak buat macam zaman sekarang di mana pasangan boleh berlawan-lawan nak suruh 'you letak lah dulu' mintak maaflah. Panggilan putus tanpa belas kasihan.
3. Nombor telefon premium nombor '600'
Dulu, entah kenapa kerajaan kita membenarkan wujud perkhidmatan di mana mana-mana pihak boleh menelefon nombor-nombor telefon tertentu yang bermula dengan angka '600', bagi mendengar perkara yang kita minat. Sebagai contoh, ada artis yang cukup popular di negara kita mempunyai talian khas untuk peminat dia mendengar mesej-mesej ucapan dan lagu dendangan artis tersebut melalui telefon.
Masalahnya, kadar panggilan kepada nombor-nombor tersebut bukan murah. Setiap panggilan 30 saat atau kurang dicaj sebanyak 30 sen dan panggilan untuk 1 minit dicajkan 50 sen. Anda bayangkan apa akan berlaku sekiranya kanak-kanak kecil melihat nombor tersebut dalam surat khabar dan mendailnya?
Itulah yang berlaku kepada ramai ibu bapa era tersebut yang terkejut besar menerima bil telefon pada hujung bulan, yang mempunyai jumlah beratus atau beribu ringgit, semata-mata kerana anak mereka mahu mendengar lagu kumpulan 4U2C melalui telefon.
4. Telefon rosak
Masalah tidak ada telefon boleh dikatakan hampir pupus zaman sekarang ini. Bagaimanapun, ini adalah satu masalah yang kerap berlaku satu masa dulu. Ekoran terlalu banyak telefon awam mengalami kerosakan, pihak Telekom Malaysia (nama rasmi lama TM sekarang) pasti akan mengambil masa untuk memperbaiki setiap telefon.
Kedudukan telefon awam yang diletakkan di sebelah perhentian bas kerap menjadikan pondok telefon sebagai sasaran perosak vandalisme yang tidak cukup dengan merosakkan perhentian bas. Selalunya kalau ada 3 pondok telefon, berkemungkinan besar 1 sahaja boleh digunakan.
Berjalan kaki mencari telefon merupakan salah satu aktiviti paling kerap dilakukan masyarakat zaman tersebut. Yang menyedihkan, kita dah jumpa telefon - pasti ada barisan panjang orang lain menunggu giliran hendak menggunakannya.
5. Sambungan terpintas
Selama menggunakan telefon bimbit dan kini telefon pintar, admin belum pernah lagi mengalami masalah disambungkan ke panggilan orang lain semasa kita dalam panggilan. Bagaimanapun, perkara itu normal satu dulu dan kerap berlaku apa yang kita gelarkan 'cross line.'
Sedang enak bercakap dengan teman istimewa, tiba-tiba kedengaran suara lelaki yang garau. Siapa lelaki itu? Adakah itu ayah dia? Pakcik dia yang mengintip perbualan? Abang dia? Suara sebenar gadis itu?
Bukan. Suara itu milik seorang individu lain yang kita sendiri tak kenali tetapi panggilannya entah kenapa disambungkan kepada kita pula. Terpaksalah kita memohon maaf dan memutuskan panggilan, kemudian mendail semula nombor telefon yang kita hubungi sebelum itu.
Itulah dia 5 perkara berkaitan komunikasi yang besar kemungkinan tidak lagi akan dilalui oleh generasi muda zaman ini, kerana anda telah lahir dalam era di mana teknologi tersebut sudah berada dalam keadaan matang dan hanya penambahbaikan dilakukan.
Satu masa dulu, perkongsian data seperti gambar pun menjadi satu benda yang memerlukan beberapa proses pengalihan data, kini kita boleh menonton video tanpa perlu memuat turun video tersebut terlebih dahulu.
Begitulah hebatnya teknologi dalam mengubah hidup kita dan kami harapkan agar anda terus menggunakan teknologi yang ada ke arah kebaikan, serta menggunakan teknologi-teknologi hebat ini sebaik-baiknya.