Anda mahu umur panjang?
Rasanya semua orang mahu umur panjang. Mungkin kita tidaklah berharap untuk hidup selama-lamanya tetapi kita berharap agar kita dapat menikmati hidup, sekurang-kurangnya berjaya tengok cucu sebelum meninggalkan dunia ini.
Dengan kemajuan sains dan teknologi, jangka hayat kita telah meningkat jika dibandingkan dengan beberapa puluh tahun dahulu yang membolehkan seseorang itu hidup lebih lama, pada kualiti hidup yang lebih baik. Berikut adalah 5 negara di Asia Tenggara yang mempunyai jangka hayat paling panjang di antara semua negara-negara Asia Tenggara.
BESARKAN TEKS A- A+
5. Vietnam
Negara Vietnam yang kini semakin rancak proses pembangunannya telah berjaya menjadikan ekonomi mereka sebagai salah satu negara paling pantas perkembangannya dari segi perubatan dan kesihatan. Rakyat Vietnam hanya melalui sektor kesihatan sahaja menyumbang 7.2% daripada jumlah KDNK Vietnam bagi tahun 2016. Jangka hayat penduduk Vietnam merupakan yang kelima tertinggi di Asia Tenggara iaitu purata 73.4 tahun dengan lelaki 70.9 tahun dan wanita 76.2 tahun.
4. Thailand
Pada tahun 2000, negara Thailand berada dalam situasi krisis kesihatan kerana mengalami masalah kematian. Lebih 17,000 kanak-kanak berumur 5 tahun ke bawah terkorban kerana wabak penyakit dan 20% keluarga di Thailand menjadi miskin kerana hutang kesihatan. Pengenalan Universal Coverage System pada 2001 membantu mengatasi masalah ini dan pada 2011, hampir 98% warga Thai dilindungi di bawah program tersebut. Jangka hayat orang Thailand kini adalah 74.7 tahun dengan lelaki dianggarkan 71.5 tahun dan wanita 78.0 tahun.
3. Malaysia
Memang sejak dari mula lagi Malaysia menggunakan sistem perubatan universal yang banyak membantu menyalurkan bantuan perubatan pada pesakit dengan kadar yang rendah. Fasiliti dan kemudahan hospital awam dan swasta juga mudah dijumpai dan program-program kerajaan menggalakkan pelajar menceburi bidang perubatan semakin menampakkan hasil. Purata jangka hayat rakyat Malaysia dianggarkan sekitar 75.0 tahun dengan 72.2 tahun bagi lelaki dan 78.0 tahun bagi wanita.
2. Brunei
Pada tahun 2012, Brunei mempunyai 4 hospital kerajaan dan 2 hospital swasta. Berjaya mengurangkan kadar kematian mengejut daripada 22 dalam 1000 pada tahun 1947 kepada 3 dalam 1000 pada 2011, Brunei mempunyai jangka hayat kedua tertinggi di Asia Tenggara. Rakyat lelaki mereka dianggarkan mampu hidup selama 74.8 tahun dan bagi wanita pula 79.6 tahun. Purata jangka hayat negara mereka adalah 77.2 tahun.
1. Singapura
Bertaraf negara maju, memang Singapura agak jauh meninggalkan negara serantau lainnya. Kerap diletakkan di tangga teratas sebagai negara contoh dalam bidang perubatan kerana sistemnya yang efisien dan kepakaran pakarnya yang diiktiraf terbaik di dunia, tidak hairanlah jangka hayat penduduk Singapura mendahului kita semua. Penduduk Singapura dianggarkan mampu hidup 85.0 tahun dengan lelaki pada purata 82.3 tahun dan perempuan 87.8 tahun.
Negara yang mempunyai jangka hayat paling rendah di Asia Tenggara adalah Laos, dengan purata 64.3 tahun, lelaki 62.2 tahun dan perempuan 66.4 tahun.
Sebagai rujukan, Jepun mempunyai purata 85 tahun, dengan 81.7 untuk lelaki dan 88.5 untuk wanita. Amerika Syarikat pula 79.8 purata, 77.5 untuk lelaki dan 82.1 untuk wanita.