Zaman sekarang ini bila kita nak menunjuk tahap kemampuan kita, biasanya kita akan menggunakan kereta, rumah atau tempat di mana kita mampu makan - untuk membuatkan orang ramai kagum gila-gila kat kita.

Tetapi masyarakat zaman dahulu yang hidup sebelum adanya kemudahan media sosial bagi memudahkan perkongsian, nak berlagak atau menayang sikit harta tu mestilah dilakukan dengan cara yang sama cuma apa yang kita paparkan tu berbeza. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Nak tahu tak apa yang orang zaman dahulu gunakan sebagai simbol status kekayaan mereka?

1. Kolar baju putih

kolar baju orang kaya eropah

Anda perasan tak, sekiranya ditenung lukisan orang barat zaman dahulu khasnya golongan bangsawan mereka sekitar abad ke 16 dan 17, mesti mereka akan memakai pakaian yang mempunyai kolar besar berwarna putih?

Kolar itu yang dinamakan sebagai 'kolar ruff' merupakan simbol kekayaan seseorang pada zaman tersebut. Lebih besar kolar, lebih gah kedudukan seseorang itu dalam masyarakat berikutan hartanya.

Warna putih pula dipilih bagi menampakkan bahawa individu atau ahli keluarga itu mampu menggaji pencuci, yang bertugas memastikan kolar-kolar tinggi yang akan dipakai senantiasa berada dalam keadaan terbaik setiap masa.

2. Memiliki gula

ukiran arca gula simbol status

Sesiapa saja boleh membeli gula. Sepaket baru RM3 sahaja! Namun satu masa dahulu gula adalah simbol status kekayaan seseorang khasnya ketika abad ke 16 di Britain.

Berikutan kesukaran untuk mendapatkan bekalan gula, hanya mereka yang benar-benar mampu berjaya mendapatkannya. Jadi apa yang mereka buat untuk menunjuk? Mereka jadikan gula sebagai arca.

Gula yang telah dilarutkan akan dikeringkan sebelum diukir agar menjadi persembahan semasa acara-acara kemasyarakatan di kalang ahli bangsawan. Arca-arca gula ini diukir menjadi bentuk haiwan, bangunan dan sebagainya sebelum dijamah oleh tetamu-tetamu yang hadir.

3. Saiz badan besar

bangsawan gemuk simbol status

Jangan terkejut pula jika kami katakan, satu ketika dulu golongan bangsawan barat gemar menayangkan tubuh mereka yang gempal sebagai bukti mereka berkemampuan untuk menjamu selera.

Lemak-lemak tubuh yang menggelebeh, muka bulat berisi dan lengan yang tebal menggambarkan kemampuan seseorang itu untuk makan dan minum sepuas hatinya; dalam situasi di mana masalah kekurangan makanan asas dan bekalan bahan mentah tidak mencukupi berlaku.

Wanita-wanita yang berisi badannya dikatakan subur, seringkali dijadikan subjek lukisan pelukis-pelukis terkenal zaman dahulu khasnya era abad ke 17 di Eropah. Lebih berat, lebih mampu. Lebih mampu? Lebih berstatus tinggi.

4. Gigi buruk

hitamkan gigi ohaguro jepun

Jangan terkejut satu masa dulu gigi yang buruk melambangkan kemewahan seseorang. Masyarakat Eropah sekitar abad ke 14 gemar menayangkan gigi mereka yang rosak bagi membuktikan mereka mampu mendapatkan gula untuk digunakan.

Budaya ini menjadi sangat popular sehinggakan ada yang sengaja menghitamkan gigi mereka dengan arang, bagi memburukkan diri mereka. Trend masa itu agaknya.

Bagi masyarakat Jepun sekitar abad ke 17, mereka turut mengamalkan amalan 'ohaguro', di mana seseorang itu akan menghitamkan gigi mereka dengan gabungan beberapa bahan seperti kayu manis, sabut kelapa dan teh yang akan dibakar untuk dilumur pada gigi.

Ini kerana 'ohaguro' adalah tradisi lama masyarakat mereka yang sangat popular di kalangan bangsawan dan golongan samurai bagi melambangkan kedudukan mereka dalam masyarakat. Hanya sekitar penghujung abad ke 19 barulah kerajaan Jepun mengharamkan amalan ini.

5. Nanas

nanas buah simbol status masyarakat

Pernahkah anda berkunjung ke rumah kenalan dan dia menayangkan buah nanas di tengah rumahnya, dengan rasa bangga? Itulah yang berlaku kepada masyarakat Eropah zaman dahulu kerana buah tersebut cukup sukar diperolehi dan harganya pula tinggi.

Oleh sebab itulah ada amalan di kalangan masyarakat bangsawan yang membeli nanas bukan untuk dimakan, sebaliknya untuk dijadikan hiasan rumah biarpun buah tersebut reput hari ke hari.

Kedudukan nanas dalam masyarakat Eropah zaman dahulu agak tinggi, sehingga Raja Charles II meminta agar lukisan dirinya disertakan bersama dengan nanasnya pada abad ke 17.

Peniaga zaman dahulu mengambil kesempatan ke atas populariti nanas, mula menjual bekas cantik yang membolehkan nanas didirikan untuk tatapan orang ramai.

Lebih lucu, perkhidmatan menyewa nanas mula ditawarkan bagi membolehkan lebih ramai orang 'berlakon' memiliki buah tersebut. Ada juga golongan hartawan yang sengaja membawa sebiji nanas ke mana-mana sahaja, untuk menunjukkan dia orang yang ada-ada kedudukannya.

Daripada lima yang kami senaraikan ini, yang mana satu paling lucu untuk anda?




Hakcipta iluminasi.com (2017)