sagat patung buddha tidur

Buddhisme merupakan agama yang ke-4 terbesar di dunia dengan lebih daripada 520 juta orang pengikut, bersamaan dengan tujuh peratus penduduk dunia. Agama ini diasaskan oleh Gautama Buddha yang hidup di timur laut India sekitar abad ke-6 SM.

Banyak kuil Buddha yang dibina oleh penganut agama itu sebagai rumah ibadat mereka. Di beberapa negara yang mempunyai ramai penganut Buddha, mereka juga membina patung Buddha yang besar sebagai memperingati pengasas agama itu. Berikut adalah beberapa patung Buddha gergasi yang paling popular di serata dunia.

11. Kuil Bongeunsa - Seoul, Korea Selatan

kuil bongeunsa korea selatan

Patung Buddha berdiri raksasa di Kuil Bongeunsa sememangnya mengagumkan, tetapi suasana dan lokasi ianya ditempatkan yang benar-benar memberi kesan kepada pengunjung. Patung itu dilihat seakan-akan memandang ke arah kesibukan ibu kota Korea Selatan itu dengan begitu tenang sekali.

Mula ditubuhkan pada tahun 794, Kuil Bongeunsa telah terselamat daripada kejadian kebakaran, peperangan dan juga pembangunan moden bandar Seoul di sekelilingnya. Selain patung Buddha di situ, kuil itu juga terkenal dengan program 'Temple Stay' yang unik dimana pelawat boleh tinggal di kuil itu dan merasai bagaimana kehidupan seseorang sami itu.

10. Buddha Berbaring Wat Pho - Bangkok, Thailand

reclining buddha wat pho

Kuil Wat Pho di Bangkok adalah sebuah kuil yang begitu tenang sekali. Ia adalah salah satu kuil yang terbesar dan tertua di Bangkok. Di kuil ini, terdapat patung Buddha berbaring paling besar di Thailand.

Patung Buddha berbaring yang bersalur emas ini adalah 46 meter panjang dan 15 meter tinggi. Manakala mata dan kakinya pula dihiasi dengan cengkerang tiram. Tapak kaki patung ini memaparkan ciri-ciri 108 sifat sebenar Buddha.

9. Buddha Ketawa Pagoda Vinh Trang - Vietnam

laughing buddha vietnam

Bo Dai atau Buddha Ketawa adalah salah satu patung Buddha paling popular dan sering ditempat dalam rumah di Vietnam. Patung ini terkenal dengan senyumannya dan perutnya yang besar. Namun, patung Buddha Ketawa ini jarang sekali dilihat dalam saiz yang besar.

Akan tetapi, di Pagoda Vinh Trang di My Tho ini, anda boleh melihat patung ini dalam saiz gergasi. Sama seperti kuil yang lain, tempat ini adalah tenang, sunyi dan digunakan untuk bersembahyang. Walau bagaimanapun, ramai pengunjung yang ketawa terbahak-bahak apabila berdiri di hadapan patung gergasi yang kelihatan lucu ini.

8. Gal Gal Viharaya - Polonnaruwa, Sri Lanka

gal gal viharaya polonnaruwa

Diukir di permukaan batu granit, patung Gal Gal Viharaya ini adalah salah satu patung Buddha gergasi yang paling cantik di dunia. Anda boleh melihat patung gergasi ini di Polonnaruwa, utara Sri Lanka.

Kuil ini merupakan sebuah kuil batu besar dan merupakan pusat kepada taman indah yang dibina oleh Parakramabahu yang Agung pada kurun ke-12. Selain itu, terdapat beberapa buah lagi patung Buddha gergasi di sini yang menjadi tarikan pelancong.

7. Daibutsu Kamakura - Jepun

daibutsu of kamakura

Tidak kira sama ada diliputi salji atau berlatar belakangkan musim bunga pokok ceri, patung gergasi Daibutsu Kamakura ini tetap duduk dengan tenang. Patung yang terdapat di selatan Jepun ini duduk dengan matanya tertutup, seolah-olah tidak mengendahkan apa yang berlaku di sekelilingnya.

Sejak patung gergasi yang diperbuat daripada gangsa ini siap dibina pada tahun 1252, dia telah bertahan segala bencana alam yang menimpanya. Sebagai contoh, patung ini masih bertahan walaupun dilanda Tsunami pada kurun ke-15 yang telah merobohkan kuil yang berada berhampiran.

6. Patung Buddha Wat Phothivihan - Kelantan, Malaysia

patung buddha di wat phothivihan

Patung Buddha di Wat Phothivihan, Jajahan Tumpat, Kelantan ini merupakan patung Buddha berbaring yang ketiga terbesar di dunia. Menurut penjaga kuil ini, pembinaan patung gergasi ini bermula pada tahun 1973 dan siap dalam tempoh enam tahun melalui sumbangan orang ramai.

Patung Buddha berbaring itu mempunyai ukuran 40.9 meter panjang dan 10.6 meter tinggi di dalam kawasan kuil yang bersaiz 2.4 hektar. Ia dibina dengan belanja kira-kira RM 2 juta. Patung Buddha berbaring ini merupakan salah satu tarikan pelancong di Malaysia dan ia dimasukkan ke dalam risalah pelancongan untuk edaran luar negara oleh Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia.

5. Buddha Besar - Ling Shan, China

ling shan great buddha

Berdiri lebih daripada 88 meter tinggi, patung Buddha Besar di Ling Shan ini adalah patung Amitabha Buddha yang diperbuat daripada gangsa. Patung ini siap dibina pada tahun 1996 dan mempunyai berat melebihi 700 tan. Para pengunjung boleh melawat patung yang berada di atas bukit kecil ini dengan memanjat 99 anak tangga.

Terletak di Pergunungan Longshan, patung itu merupakan tarikan utama taman tema Buddha yang merangkumi Istana Brahma, Lima Mudra Mandala, Sembilan Naga Sakyamuni dan Kuil Xiangfu.

Masa terbaik untuk melawat taman tema ini adalah semasa musim luruh. Ketika itu, pokok-pokok dan gunung-ganang di sini bertukar warna kepada lebih menonjol dan memberikan pemandangan yang menakjubkan. 

4. Fo Guang Shan - Kaohsiung, Taiwan

fo guang shan taiwan

Terletak di bandar Kaohsiung, Biara Fo Guan Shan ini adalah biara Buddha yang terbesar di Taiwan. Biara ini merupakan ibu pejabat pergerakan keagamaan yang baru. Diasaskan pada tahun 1967, ia mempromosi bentuk baru Buddhisme Manusia.

Biara ini meliputi kawasan sebesar lebih daripada 30 hektar, termasuk universiti dan pelbagai kuil. Selain itu, ia mempunyai kompleks utama dengan patung Amithaba Buddha duduk gergasi yang berukuran 36 meter tinggi.

3. Buddha Gergasi - Leshan, China

giant buddha leshan china

Patung besar yang memerhati dengan tenang ke arah titik pertemuan Sungai Minjiang, Sungai Dadu, dan Sungai Qingyi di wilayah Sichuan ini merupakan salah satu tempat pelancongan paling popular di China.

Diukir di tebing bukit pada tahun 713 SM, pembinaan Patung Gergasi ini adalah idea seorang sami bernama Haithong. Pembinaan patung Buddha itu diharap dapat memberi bimbingan dan perlindungan kepada kapal-kapal yang melalui arus berbahaya. Malangnya akibat kekurangan wang, patung ini mengambil masa 90 tahun untuk disiapkan.

2. Patung Buddha Dordenma - Thimphu, Bhutan

buddha dordenma statue thimphu bhutan

Diperbuat daripada gangsa bersepuh emas, patung Buddha Dordenma ini duduk di atas bukit di Taman Alam Kuanselphodrang. Kedudukan patung ini menghadap pintu masuk selatan Lembah Thimphu di Bhutan.

Patung ini dibina bagi memenuhi ramalan kuno yang menyatakan sekiranya sebuah patung dibina di tapak ini, aura kedamaian dan kebahagiaan akan tersebar ke seluruh dunia

Selain itu juga, terdapat lebih kurang 120,000 patung Buddha kecil yang terdapat di dalam kuil berhampiran sebagai tarikan para pengunjung.

1. Patung Buddha Agung - Monywa, Myanmar

the great buddhas of monywa myanmar

Bagi pengunjung yang ingin melihat patung Buddha gergasi yang paling popular, mereka perlu berkunjung ke Monywa yang terletak kira-kira 138 kilometer dari barat laut Mandalay. Di sini, mereka akan melihat bukan sahaja satu, malah dua patung Buddha gergasi. Satu daripada patung ini sedang berbaring, manakala satu lagi sedang berdiri.

Dengan ukuran 90 meter panjang, salah satu patung ini merupakan patung Buddha berbaring terpanjang di dunia. Ia juga menempatkan koleksi lebih daripada 9000 lukisan dan catitan yang menggambarkan kehidupan Buddha apabila anda memasuki belakang patung itu.

Manakala patung Buddha berdiri gergasi itu pula dikenali sebagai Laykyun Setkyar dan mempunyai ukuran 116 meter tinggi. Sememangnya suatu permandangan yang tidak dapat anda lupakan.

Rujukan:

1. Touropia

2. Matador Network

3. Wanderlust



Hakcipta iluminasi.com (2017)