Memahami ekonomi merupakan satu perkara yang sangat mencabar. Kewujudan bermacam jenis jargon serta istilah yang memerlukan kefahaman tentang teori dan praktikaliti di sebalik setiap apa yang berlaku atau yang diramal bakal berlaku.

Salah satu perbandingan paling popular yang digunakan oleh ahli ekonomi dunia, adalah perbandingan keupayaan kuasa membeli (purchasing power parity atau PPP) di antara negara-negara dunia menggunakan Indeks Big Mac (IBM).

BESARKAN TEKS     A-  A+

Pada awalnya dalam tahun 1986, Indeks Big Mac ini direka hanya sebagai satu penunjuk mudah bagi membolehkan orang ramai memahami tahap kemampuan orang ramai, namun lama-kelamaan indeks mudah ini diterima ramai sehinggakan diangkat menjadi standard antarabangsa yang diiktiraf.

Kursus-kursus ekonomi serta bahan rujukan mula meletakkan IBM sebagai satu cara mengukur kekuatan ekonomi yang boleh dipercayai, untuk menunjukkan sama ada nilai matawang sesebuah negara itu didagangkan bawah nilai, atas nilai atau berada pada tahap nilai sebenar.

Apa kaitan Indeks Big Mac dengan PPP

ekonomi big mac

Kenapa burger Big Mac dipilih? Idea asalnya menggunakan Big Mac kerana burger tersebut sama di seluruh dunia daripada segi bahannya dan faktor pengedarannya.

Dengan menggunakan harga Big Mac di Amerika Syarikat sebagai penanda aras, setiap harga burger Big Mac di serata dunia akan dinilai dan dibandingkan dengan harga Big Mac di Amerika Syarikat. Sebagai contoh, di UK harga Big Mac adalah £2.29 dan harga di Amerika Syarikat pula $3.57

Melakukan perkiraan mudah, Indeks Big Mac UK berbanding US Dollar berada pada kadar 1.56 ($3.57/£2.29). Nilai Indeks Big Mac kemudiannya akan diguna dalam melakukan perbandingan nilai tukaran matawang UK berbanding USD ketika itu bagi mendapatkan perbezaannya dengan Indeks Big Mac.

Walaupun Big Mac merupakan contoh produk atau makanan paling meluas digunakan, ada juga penganalisis ekonomi menggunakan produk-produk lain sebagai contoh mereka seperti iPod, kopi Starbucks dan juga sejenis almari IKEA bernama Billy.

Apakah kelemahan hasil kajian Indeks Big Mac ini?

big mac indeks

Dipuji kerana mampu menjelaskan keupayaan membeli penduduk serata dunia, Indeks Big Mac tetap tidak dapat lari daripada kritikan. Harus diakui restoran McDonalds mudah ditemui diserata dunia, namun kos untuk menyediakannya tidak sama khasnya kos pekerja. Selain itu di beberapa negara seperti Iceland, harga daging lembu yang digunakan jauh lebih tinggi berbanding negara-negara majoriti dalam perbandingan.

Di India pula, semua restoran McDonald tidak menyediakan hidangan Big Mac serupa berikutan faktor daging lembu, menggantikannya dengan Chicken Mac Maharaja yang menggunakan daging ayam. Selain itu, pihak McDonalds sendiri sudah pasti menggunakan strategi yang berbeza-beza mengikut negara dalam menawar serta memasarkan Big Mac, menyebabkan kosnya berbeza meninggikan lagi harga jualan.

Tidak dapat dinafikan, walaupun mempunyai banyak kelemahan, Indeks Big Mac merupakan satu pemudahcara atau gambaran awal keupayaan membeli yang dapat difahami orang ramai. Jadi persoalannya - adakah Indeks Big Mac ini berkesan? Kami kongsikan kepada anda data terbaru Indeks Big Mac untuk anda nilaikan sendiri.

Negara di mana Big Mac paling tinggiNegara di mana Big Mac paling murah
1Switzerland ($6.57)1Mesir ($1.75)
2Sweden ($5.83)2Ukraine ($1.91)
3Amerika Syarikat ($5.51)3Russia ($2.09)
4Norway ($5.22)4Malaysia ($2.10)
5Kanada ($5.08)5Indonesia ($2.19)
6Negara Kesatuan Eropah ($4.75)6Taiwan ($2.27)

Big Mac sebagai skala ekonomi masa depan

kos membeli big mac

Berdasarkan laporan dan analisa menggunakan Indeks Big Mac bagi bulan Januari tahun 2019, ketika ini nilai USD mempunyai nilai yang sangat kukuh berbanding majoriti matawang dunia khasnya matawang negara-negara membangun - menampakkan bahawa kebanyakan matawang bukan US Dollar ketika ini sedang berada pada nilai rendah daripada sepatutnya. (pautan PDF)

Kami berharap agar perkongsian ringkas ini dapat memperkenalkan kepada anda tentang indeks ringkas ini, yang nyata kelihatan mudah tetapi mampu memberikan gambaran kasar kemampuan matawang ringgit kita.




Hakcipta iluminasi.com (2017)