Sejarah permainan video bermula sejak tahun 1950 lagi. Kira-kira 20 tahun kemudian, lahirlah konsol permainan video pertama. Dari tahun ke tahun, konsol-konsol permainan video juga melalui pelbagai revolusi seiring dengan perkembangan teknologi.

Kini, persaingan permainan video ini lebih tertumpu kepada persaingan syarikat-syarikat besar seperti Sony, Nintendo dan Microsoft. Kita kini berada di generasi ke 8 konsol permainan video dan antara konsol permainan video popular masa kini termasuklah Playstation, Nintendo Switch, Wii dan sebagainya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kali ini, pihak Iluminasi ingin berkongsi beberapa konsol awal yang pernah dikeluarkan suatu ketika dahulu. Kesemua konsol ini telah dihentikan penghasilannya. Sekiranya anda merupakan pengumpul barangan lama, konsol-konsol ini mungkin boleh dibeli secara dalam talian pada harga berkali-kali ganda daripada harga asalnya.

1. Magnavox Odyssey

magnavox odyssey

Magnavox Odyssey merupakan konsol permainan video terawal di dunia. Dikeluarkan pada 1972 pada harga $99.00 ketika itu. Konsol ini dihasilkan oleh Magnavox. Uniknya, konsol ini hanya memaparkan visual dan tidak menghasilkan sebarang bunyi.

Apabila disambungkan ke televisyen, 3 titik akan dipaparkan pada skrin televisyen. Titik-titik ini akan berubah mengikut permainan video yang dimainkan. Sebanyak 350,000 unit telah terjual dimana 28 buah permainan video telah dihasilkan untuknya. Konsol ini telah dihentikan penghasilannya pada tahun 1975.

2. Atari Pong

atari pong

Atari Pong merupakan versi konsol bagi permainan video arked Pong yang dikeluarkan sebelumnya. Konsol ini telah dihasilkan oleh syarikat Atari pada tahun 1975. Konsol ini telah dijual pada harga $79.95.

Hanya satu jenis permainan sahaja boleh dimainkan oleh konsol ini, iaitu permainan Pong. Pong merupakan permainan video berasaskan sukan ping-pong. Walau hanya boleh dimainkan oleh seorang pemain, konsol ini boleh dianggap begitu popular pada ketika itu kesan daripada permainan video arked Pong.

3. Telstar 

telstar

Telstar merupakan konsol yang dikeluarkan oleh syarikat Coleco antara tahun 1976 hingga 1978. Telstar merupakan siri beberapa konsol dimana setiap konsol ini terhad kepada sesebuah permainan video sahaja antaranya Telstar Classic, Telstar Deluxe, Telstar Ranger dan banyak lagi.

Secara keseluruhannya terdapat 14 konsol yang dikeluarkan dalam siri ini. 1 juta unit berjaya dijual bagi keseluruhan unit konsol ini. Malangnya, terlalu banyak konsol yang dijual dan penurunan populariti permainan Pong menyaksikan syarikat ini hampir muflis pada tahun 1980.

4. Color TV-Game 

color tv game

Color TV-Game merupakan permainan konsol pertama yang dihasilkan oleh syarikat Nintendo dan hanya dijual untuk pasaran Jepun. Dihasilkan pada tahun 1977, sekitar 3 juta unit telah terjual. Harga jualannya ketika itu adalah 48 ribu Yen, iaitu sekitar $400.

Sekitar 3 juta unit konsol ini telah terjual, menjadikannya jualan tertinggi konsol permainan video generasi pertama. Walaupun permainan yang boleh dimainkan begitu mudah, ianya begitu popular kerana konsol ini boleh dimainkan oleh dua orang pemain.

5. Atari 2600 

atari 2600

Atari 2600 merupakan sebuah lagi konsol yang telah dihasilkan oleh syarikat Atari pada tahun 1977. Konsol ini merupakan permulaan generasi kedua konsol permainan video. Menariknya, konsol inilah yang mencetuskan penggunaan katrij, membolehkan lebih banyak permainan video dimainkan. 

Konsol Atari 2600 ini juga telah memperkenalkan penggunaan pengawal joystick yang boleh berpusing 360 darjah untuk bermain permainan video. Konsol ini dijual pada harga $199 dan telah dihentikan jualannya pada tahun 1992. Dianggarkan sebanyak 30 juta unit konsol ini telah terjual.

Kredit:

  1. Engadget
  2. Computing History
  3. Kotaku
  4. Games Radar



Hakcipta iluminasi.com (2017)