Jika anda seorang peminat permainan video, sudah pasti anda pernah memiliki sekurang-kurangnya satu konsol permainan video atau PC (Personal Computer). Jika dahulu, dunia permainan video didominasi oleh dua konsol legenda iaitu Nintendo dan Sega.

Pada hari ini, terdapat banyak konsol yang telah dikeluarkan oleh syarikat gergasi dunia permainan video. Sony telah menghasilkan Playstation 1-5, Microsoft pula telah menghasilkan pelbagai siri Xbox dan Nintendo juga tidak ketinggalan dengan konsol terbarunya Nintendo Switch.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Namun, konsol terbaru di pasaran seperti Playstation 5 dan Xbox Series X dan S mungkin akan mempunyai saingan baru tidak lama lagi. Apa yang lebih mengejutkan ialah, pesaing itu bukannya dari dunia permainan video.

Dianggap sebagai hoax pada mulanya

Konsol yang dimaksudkan itu ialah KFConsole yang akan dihasilkan oleh Kentucky Fried Chicken (KFC). Seperti yang semua sedia maklum, KFC adalah salah satu rangkaian makanan segera paling popular di dunia. Bagaimana mereka boleh terfikir untuk melancarkan konsol permainan video sendiri?

KFConsol adalah konsol permainan video yang akan dihasilkan KFC Gaming dengan kerjasama daripada Cooler Master, sebuah syarikat perkakasan komputer dari Taiwan.

Setelah pengumuman awal mengenai KFConsole dibuat pada Jun 2020, orang ramai menganggap perkara itu sebagai hoax yang sengaja direka atau sebagai publisiti murahan.

Apabila KFC membuat pengumuman rasmi mengenai KFConsole pada Disember 2020, barulah ia dianggap sebagai sesuatu yang serius dan bakal berada di pasaran kelak.

Konsol yang paling pelik setakat ini itu berjaya menarik perhatian ramai peminat permainan video. Ramai beranggapan bahawa KFConsole ini sebenarnya lebih kepada PC berbanding konsol. Namun, itu bukanlah mengapa ia dianggap pelik.

Konsol paling pelik setakat ini

Apa yang membuatkan KFConsole ini unik berbanding konsol dan PC lain ialah kerana ia dilengkapi dengan ruang pemanasan ayam goreng di dalam casisnya. Anda boleh bermain permainan kegemaran anda sambil memastikan ayam goreng anda kekal panas dan rangup.

Haba panas yang terhasil daripada KFConsole akan disalurkan ke dalam ruang casis untuk memastikan ayam goreng atau makanan lain kekal panas. Semakin tinggi had penggunaan konsolnya, semakin panas makanan anda.

kfconsole ayam panas

Mungkin ramai yang menganggap itu sebagai suatu idea buruk. Tiada siapa yang menyimpan makanan mereka di dalam casing komputer terutamanya makanan yang berminyak. Walau bagaimanapun, jika KFConsole memang direka untuk tujuan itu, ia sepatutnya tidak mendatangkan masalah. 

Walaupun konsol ini bakal berada di pasaran, ia mungkin tidak mudah untuk dimiliki. Ada yang berpendapat KFConsole tidak akan dihasilkan secara meluas dan terhad. Lihat sahaja konsol terkenal seperti PS5 dan Xbox Series X, walaupun dihasilkan secara meluas tetapi masih sukar dimiliki kerana sering kehabisan stok.

KFConsole lebih kepada PC berbanding konsol

KFC telah bekerjasama dengan Cooler Master dalam menghasilkan KFConsole. Cooler Master adalah satu nama besar dalam dunia PC gaming. Maka, tidak perlu dikhuatiri mengenai kualiti konsol ini.

Malah, perkakasan yang digunakan untuk KFConsole ini juga adalah perkakasan yang digunakan pada PC. Antara spesifikasi yang akan digunakan ialah seperti :

  • Casis khas Cooler Master NC100
  • Intel Core i9-9980HK CPU yang ditempatkan di Intel Nuc 9 Extreme Compute Element
  • 2 PCIe NVMEe Seagate CarraCuda 1TB SSD
  • Hot-swappable GPU (kemungkinan kad Asus RTX, belum didedahkan secara rasmi)
  • Mempunyai VR, Ray Tracing dan boleh mencapai sehingga 240 fps (frames per second) 

Jika dilihat pada spesifikasi KFConsole, ia mempunyai banyak kelebihan berbanding Playstation 5 dan Xbox Series X. Maka, tidak hairanlah jika ramai ingin memiliki konsol unik ini.

Mungkin sukar untuk dimiliki

Persoalan penting mengenai KFConsole ialah mengenai harganya. Walaupun harga konsol ini belum diumumkan, ramai menganggap bahawa konsol ini akan lebih mahal berbanding konsol lain.

kfconsole spec

Ini disebabkan perkakasan yang digunakan pada konsol ini sahaja sudah melebihi USD 1,000 (RM 4,100). Memandangkan ia mungkin terhad dan tidak dihasilkan secara besar-besaran, KFConsole mungkin akan mencecah hampir USD 2,000 (RM 8,200) atau lebih.

Untuk harga seperti itu, hanya pengumpul dan mereka yang benar-benar berkemampuan sahaja akan berbelanja untuk mendapatkan KFConsole.




Hakcipta iluminasi.com (2017)