Industri permainan video (video game) adalah sebuah industri yang besar. Untuk tahun 2018 sahaja, industri ini dijangka menjana antara $165 bilion hingga $170 bilion dan menjelang 2022, industri ini dijangka menjana pendapatan sehingga $230.

Pendapatan ini termasuklah permainan video menggunakan konsol dan juga komputer. Industri ini begitu pantas membangun dan menariknya industri ini baru sahaja wujud kira-kira 60 tahun. Industri permainan video dikatakan wujud pada tahun 1950-an dan mula popular sekitar tahun 1970-an selari dengan perkembangan teknologi.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kali ini, pihak Iluminasi ingin berkongsi 5 permainan video antara yang terawal di dunia. Kami yakin kemungkinan besar ramai peminat permainan video pada hari ini tidak pernah mengetahui kewujudan generasi awal permainan video ini.

1. Tennis for Two - 1958

tennis for two

Tennis for Two secara umumnya merupakan permainan video pertama di dunia. Ianya merupakan permainan video pertama yang dicipta semata-mata untuk tujuan hiburan dan bukannya untuk kegunaan kajian akademik. Permainan video ini dicipta oleh seorang saintis Amerika syarikat bernama William Higinbotham yang bekerja di Brookhaven National Laboratory.

Pada mulanya, beliau mendapat idea untuk mereka cipta permainan ini setelah membaca buku panduan manual untuk sebuah komputer analog, Donner Model 30. Beliau dapati bahawa komputer tersebut mempunyai kapasiti untuk mengira trajektori peluru berpandu balistik dan kekuatan lantunan bola dengan mengambil kira faktor rintangan angin. Beliau kemudiannya menggunakan oscilloscope untuk memaparkan permainan ini dalam bentuk visual.

2. Spacewar! - 1962

spacewar

Permainan video Spacewar! telah dicipta pada tahun 1962 dan begitu popular dalam kalangan komuniti pengaturcara pada tahun 1960-an. Menariknya, permainan ini mempunyai mod 2 orang pemain dan menjadi inspirasi kepada penciptaan permainan video arked.

Permainan Spacewar! dibangungkan oleh Steve Russell dengan bantuan daripada Martin Graetz, Wayne Wiitanen, Bob Saunders dan Steve Piner. Permainan video ini dicipta menggunakan komputer DEC PDP-1 dan dibangunkan di Massachusetts Institute of Technology (MIT). Apabila permainan video ini telah siap dan diedarkan, ramai pelajar dan staf daripada universiti ini telah menambahbaik dan terus membangunkan permainan ini.

3. Computer Space - 1971

computer space

Computer Space merupakan permainan video arked pertama dan juga permainan video kompersial pertama di dunia. Ianya merupakan salah sebuah permainan video yang diinspirasikan daripada permainan video Spacewar! yang telah dibangunkan pada tahun 1962. Permainan ini telah direkecipta secara bersama oleh Nolan Bushnell dan Ted Dabney.

Nolan Bushnell dan Ted Dabney telah mewujudkan syarikat Syzygy Engineering untuk menghasilkan permainan ini. Syarikat ini kemudiannya mendapatkan kerjasama daripada syarikat Nutting Associates untuk membina prototaip mesin arked bagi permainan ini yang akan beroperasi dengan bayaran duit syiling. 1500 mesin arked yang dihasilkan berjaya terjual dan kejayaan ini merupakan permulaan industri permainan video.

4. Galaxy Game - 1971

galaxy game

Galaxy Game merupakan sebuah lagi permainan video arked dan turut diinspirasikan daripada permainan video Spacewar!. I nya dibangunkan oleh Bill Pitts dan Hugh Tuck di Stanford University. Kedua mereka telah membelanjangkan kira-kira $65,000 untuk membina prototaip mesin arked untuk permainan video ini yang dipasang di universiti tersebut.

Permainan ini digemari oleh para pelajar di universiti tersebut. Malangnya, mereka tidak berjaya memasarkan permainan video ini secara lebih meluas memandangkan mereka terlalu menumpukan kepada pembangunan permainan video ini dan kurang mempromosikannya. Konsol kedua yang dihasilkan masih lagi berfungsi sehingga ke hari ini dan dipaparkan untuk tatapan di Computer History Museum.

5. Pong - 1972

pong

Permainan Pong telah dicipta oleh Allan Alcorn ketika beliau bekerja untuk syarikat Atari. Atari adalah penjenamaan semula syarikat Syzygy Engineering yang ditubuhkan oleh Nolan Bushnell dan Ted Dabney. Syarikat ini menggemari konsep permainan yang dibangunkan oleh beliau ini dan bersetuju untuk menghasilkannya secara komersial.

Tidak lama selepas dikomersialkan, ianya menjadi begitu popular. Kejayaan Pong menyebabkan beberapa syarikat lain turut membangunkan permainan video yang mempunyai konsep seakan-akan dengannya. Bagi meneruskan kesinambungan kejayaan Pong, syarikat Atari juga telah mengeluarkan beberapa sekuel untuk permainan ini selama beberapa tahun selepas itu.

Kredit:

  1. WikiPedia
  2. Thocught Co
  3. Life Wire



Hakcipta iluminasi.com (2017)