Senaman merupakan sesuatu yang menyeronokkan, sekiranya kita dapat melakukan sesuatu yang kita suka. Namun bagi majoriti orang, senaman adalah sesuatu yang tidak seronok sehingga menyebabkan ramai mengambil mudah aktiviti bersenam.
Bagaimana pula sekiranya alatan yang unik seperti permainan video dijadikan alat bantuan untuk anda bersenam? Adakah anda rasa teruja untuk melakukannya?
BESARKAN TEKS A- A+
Memang sukar untuk dipercayai bahawa permainan video mampu menurunkan berat badan, kerana imej yang selalu digambarkan daripada aktiviti permainan video adalah seorang remaja terbaring dengan alat kawalan di tangan, matanya fokus pada kaca televisyen menekan-nekan butang.
Tetapi konsep yang dikenali sebagai 'exergaming' di mana permainan video dan senaman disatukan, semakin diterima ramai dan dibuktikan berkesan daripada segi saintifik berjaya menurunkan berat badan individu.
Apa itu Exergaming?
Exergaming atau 'exercise gaming' adalah sejenis model permainan video yang dibangunkan dengan memerlukan input pergerakan daripada pemain, bukan hanya sekadar menekan-nekan butang alat kawalan. Kebanyakannya direka untuk memastikan pemain berdiri dan mula melakukan aktiviti-aktiviti seakan-akan sukan, berpandukan kepada permainan video.
Persoalan penting yang perlu dijawab terlebih dahulu - adakah 'exergaming' berkesan dalam menjadi satu bentuk aktiviti yang layak digelarkan senaman? Jawapannya, ya!
Sudah banyak kajian dilakukan dan disahkan dengan nama-nama pusat penyelidikan seperti University of Calgary, American Council on Exercise dan University of Massachusetts mengakui 'exergaming' boleh diletakkan sama seperti senaman sebenar - bergantung kepada input yang diperlukan.
Sebagai perbandingan, berjalan kaki sejauh 4.8 km selama 30 minit, membakar sebanyak 120 kalori. Bermain permainan video berbentuk besbol membakar 135 kalori dalam tempoh yang sama. Bagi permainan video bercorak tarian seperti Dance Dance Revolution atau DDR pula, jumlah kalori yang dibakar adalah 159 kalori.
Kisah individu yang menjadikan DDR sebagai alat senaman mereka dalam bentuk 'exergaming' sehingga berjaya kurus, kerap kali dikongsikan bagi menjadi inspirasi kepada orang lain. Dalam satu kajian melibatkan 160 orang individu yang mempunyai diabetis tahap 2, didapati 'senaman' setiap hari yang dilakukan peserta kajian mampu mengawal kandungan gula dalam badan mereka.
Dance Dance Revolution sebagai alat bantuan senaman
Bagi mereka yang tidak tahu, DDR adalah sebuah permainan video yang ringkas di mana pemain perlu mengikut arah yang dipaparkan pada skrin dan memijak arah yang sama pada alat kawalan berbentuk alas, mengikut rentak lagu. Tahap pergerakannya pula berbeza mengikut tahap kesusahan dan lagu yang dipilih.
Pernah anda melihat individu lain menari seorang diri di depan TV sambil memijak alas berwarna-warni? Itulah permainan video DDR yang cukup popular.
Salah satu kisah yang baru saja dikongsikan pada awal bulan Oktober 2018, adalah berkenaan seorang lelaki dari Arkansas yang hanya dikenali dengan nama timangannya, Xopher. Berdepan risiko memerlukan penggantian jantung pada tahun 2012, Xopher yang obese sejak muda nekad membeli sebuah mesin arked DDR untuk dipasang di rumahnya. Beratnya pada ketika itu 147kg.
Walaupun sudah lama bermain permainan DDR sejak 2002, dia hanya mampu bermain pada tahap kepayahan 'senang.' Namun berkat usahanya setiap hari meluangkan masa, selama 2 tahun beratnya turun 25 kg. Dia juga mula merasa lebih cergas untuk bermain pada tahap yang lebih sukar.
Kemahiran dia dalam DDR juga bertambah. Tahap 'senang' dah jadi sangat senang pada dirinya.
57 kg dalam masa empat tahun bermain DDR!
Usaha beliau bermain secara serius diteruskan lagi dan beratnya ketika ini berada sekitar 95 kg sahaja, dalam usaha penat lelah 4 tahun. Ini menyebabkan kadar tekanan darahnya yang sebelum itu berada pada paras 140/80 turun kepada 112/65. Kadar nadi rehat Xopher juga menurun daripada 70 ke 50 denyutan satu minit.
Kini Xopher telah melabur untuk memiliki beberapa unit mesin DDR yang dipasangkan di rumahnya. Ekoran Berat badannya kini mengalami kesukaran untuk turun lebih daripada sedia ada, jadi Xopher turut memulakan aktiviti senaman di gimnasium bagi membantu membina otot serta meregangkan kembali kulit yang melendut, akibat penurunan berat yang banyak.
Populariti DDR dilihat akan kembali memuncak berikutan usaha peminat-peminatnya mahu menjadikan DDR sebagai salah satu sukan elektronik secara rasmi, dengan pengumumannya dibuat pada April 2018. Pengenalan versi terbaru DDR pada tahun 2016 mendapat sambutan menggalakkan dan Xopher cukup gembira alat yang membantunya kurus, kini boleh diakses semula oleh orang ramai selepas zaman kegemilangan DDR berakhir.
Nasihat kami, sekiranya anda mendapati senaman merupakan sesuatu yang sukar untuk anda lakukan, berikutan kesempitan masa atau komitmen keluarga dan kerja, apa kata anda cuba dapatkan sebuah konsol permainan serta perisian DDR beserta pad alas pengawalnya - mana tahu sedang berseronok menari, anda boleh juga menurunkan berat badan?