Bahasa Melayu amat unik sebenarnya dalam lenggok bahasanya. Untuk bertutur rasanya tidak susah kerana pendatang asing yang datang ke Malaysia tak lama pun mampu bertutur, namun apabila benar-benar hendak menguasai Bahasa Melayu, ilmu itu memerlukan pembelajaran yang mendalam dan komitmen yang tinggi.
Jadi tidak hairanlah ada masanya oleh kerana kita semua sudah terbiasa dengan sesuatu frasa itu, kita beramai-ramai kekal menggunakannya seolah perkataan itu benar dan selari dengan tertib Bahasa Melayu- sedangkan tatabahasanya salah sama sekali.
BESARKAN TEKS A- A+
Berikut adalah 5 contoh penggunaan frasa yang tidak betul tetapi sudah menjadi kebiasaan pada kita seharian.
1. Alat penghawa dingin
Mengikut peraturan DM iaitu peraturan 'diterangkan' dan 'menerangkan' - alat penghawa dingin merupakan satu kesalahan tatabahasa yang amat kerap berlaku. Fikirkan logiknya - kenapa kita nak hawakan dingin? Penggunaan yang betul adalah 'alat pendingin hawa.'
2. Goreng pisang
Kesalahan paling popular antara semua. Penggunaan 'goreng pisang ' seolah-olah sudah sebati dengan masyarakat kita tetapi apabila seseorang itu memaparkan papan tanda 'goreng pisang' dia sebenarnya seolah-olah sedang mengiklankan perkhidmatan tolong goreng pisang - bukannya menjual 'pisang goreng.'
3. Ibu pejabat
Ini salah satu frasa yang diberikan pengecualian dalam peraturan DM Bahasa Melayu atas dasar penggunaan gelaran untuk sesuatu yang dah menjadi kebiasaan masyarakat. Walaupun 'ibu pejabat' sebenarnya tidak mematuhi peraturan DM tatabahasa, penggunaannya tidaklah dianggap salah. Yang ini tidak perlu ditukar.
4. Cili sos/ Tomato Sos
Pengaruh bahasa Inggeris ke atas penutur Bahasa Melayu sebenarnya banyak juga memberi kesan sehinggakan kita kerap tersilap menggunakan frasa yang betul - seperti tomato sos yang sepatutnya sos tomato.
5. Perdana Menteri
Pasti ramai yang tidak menyangka frasa 'Perdana Menteri' sebenarnya silap dari segi tatabahasanya. Jika dilihat, 'Perdana Menteri' memang tidak mematuhi peraturan DM kerana "Menteri' itu sebenarnya subjek yang diterangkang dan 'Perdana' itu membawa maksud untuk 'menerangkan' kedudukan 'Menteri' tersebut.
Ini mungkin kesan daripada penggunaan terjemahan 'Prime Minister' yang acapkali kita dengar. Sebutan yang betul adalah 'Menteri Perdana.' Walaupun begitu, penggunaannya diberikan pengecualian kerana 'Perdana Menteri' adalah satu bentuk gelaran yang diberikan kepada individu pemegang jawatan tersebut.
6. Stesyen
Di mana-mana kita boleh jumpa orang yang menggunakan perkataan 'stesyen.' Malahan sebutan dalam MRT yang baru dilancarkan pun menggunakan sebutan 'stesyen' yang ada bunyi 'shh' bila disebut. Tidak wujud perkataan 'stesyen' dalam kamus Bahasa Melayu. Yang ada hanyalah 'stesen.' Nampak tak di atas. Unit berita RTM pun buat kesilapan yang sama.