Ramai orang percaya bahawa anak-anak liar itu hanya wujud dalam kisah dongeng dan mitos sahaja. Walaupun jarang berlaku, namun ianya benar-benar wujud. Terdapat lebih daripada 100 kes yang didokumentasikan mengenai kanak-kanak yang dibesarkan oleh haiwan sendirian. 

Sesetengah daripada mereka jauh dari peradaban manusia untuk jangka masa yang lama sehingga mereka mengadaptasi sifat-sifat haiwan dalam hutan. Berikut adalah 5 kisah menarik mengenai kanak-kanak yang telah dibesarkan oleh haiwan ini.

BESARKAN TEKS     A-  A+

5. Marina Chapman

marina chapman

Sewaktu berusia empat tahun, Marina yang merupakan rakyat British kelahiran Colombia telah diculik dari kampungnya. Para penculik mungkin mengubah fikiran dan meninggalkan Marina jauh di pendalaman hutan Colombia. Kanak-kanak itu kemudian telah bercampur dengan sekumpulan monyet Capuchin dan membesar bersama mereka.

Marina belajar berdikari dengan memerhatikan monyet-monyet itu dan mendapati sekiranya dia berdiri di bawah pokok-pokok di mana monyet itu makan, dia boleh mengambil makanan yang digugurkan mereka. Marina tidur di dalam lubang pokok dan berjalan dengan menggunakan keempat-empat kaki dan tangan seperti monyet.

Selama 5 tahun berada di hutan, Marina lupa sepenuhnya bahasa yang dia faham semasa diselamatkan sekumpulan pemburu. Menurutnya, dia kemudian dijual ke rumah pelacuran di Cucuta. DIa kemudian melarikan diri dan tinggal di jalanan sebelum menjadi hamba kepada sebuah keluarga Mafia.

the girl with no name

Dia kemudian diselamatkan oleh seorang jiran dan berpindah ke Bradford, Yorkshire. Marina menulis sebuah buku mengenai kisah hidupnya The Girl With No Name tetapi tiada yang mahu menerbitkannya kerana kurang percaya dengan ceritanya. Di dalam bukunya itu, dia menceritakan beberapa kisah monyet tua yang membantunya.

Pernah sekali dia keracunan setelah memakan asam jawa dan ketika menangis kesakitan, seekor monyet tua yang digelarnya sebagai "Datuk" telah menunjukkan kawasan air berlumpur. Marina kemudian minum air itu dan muntah sebelum beransur sembuh. (sumber)

4. Bello

bello

Pada tahun 1996, seorang budak lelaki kurang upaya di Nigeria telah diselamatkan dari hutan. Dia telah ditempatkan dalam jagaan pakar di rumah kanak-kanak Tudun Miliki Torrey yang terletak di Kano. Kakitangan jururawat yang bertugas di situ menamakan budak lelaki itu sebagai "Bello". Sebelum diselamatkan, para pemburu mendapati Bello berada bersama sekeluarga chimpanzee di Hutan Falgore.

Ketika diselamatkan, Bello dianggarkan berusia sekitar dua tahun. Bello mungkin berasal daripada kaum nomad etnik Fulani yang mengembara di rantau ini. Dia mempunyai kecacatan dari segi mental dan fizikal. Dia dipercayai ditinggalkan kerana kecacatannya itu. Pengabaian kanak-kanak kurang upaya adalah perkara biasa di kalangan kaum Fulani namun Bello bernasib baik kerana dijaga oleh sekumpulan chimpanzee itu.

Pegawai kebajikan Bello iaitu Abba Isa Muhammad menganggarkan bahawa Bello mungkin hanya berumur enam bulan sahaja ketika dia ditinggalkan dan dijaga oleh kumpulan chimpanzee itu. Lebih mengejutkan, apabila Bello dihantar ke rumah penjagaan itu, dia mempunyai saiz dan berat seorang kanak-kanak berumur empat tahun.

Sama seperti chimpanzee, dia berjalan menggunakan kaki dan mengheret tangannya. Dia juga menepuk tangannya di atas kepala berulang-ulang kali seperti yang monyet lakukan. Dia tidak bercakap tetapi membuat bunyi seakan-akan bunyi chimpanzee. (sumber)

3. Marcos Rodriguez Pantoja

marcos rodriguez pantoja

Marcos Rodriguez Pantoja berasal daripada sebuah keluarga miskin. Pada usianya tujuh tahun, ayahnya telah menjualnya kepada seorang pengembala kambing yang tinggal di Sierra Morena yang jauh terpencil. Lelaki yang membeli Marcos itu pernah tinggal di gua dan dia mengajarkan Marcos bagaimana cara untuk mengembala kambing dan menjaga diri sendiri ketika berada di dalam hutan liar.

Tidak lama selepas itu, gembala itu meninggal dunia dan Marcos ditinggalkan bersendirian. Namun, kerana telah diajarkan bagaimana cara ikhtiar hidup oleh gembala itu, Marcos berjaya bertahan daripada kebuluran. Dia tinggal di pergunungan itu selama 12 tahun dari 1953 hingga 1965 dan tidak berhubung dengan manusia lain, sebaliknya menjadikan sekumpulan serigala sebagai kawannya.

Ahli tentera Sivil Sepanyol telah menangkapnya dan membawa Marcos kembali ke peradaban manusia ketika dia berusia 19 tahun. Marcos tidak pernah benar-benar menyesuaikan dirinya dengan dunia manusia dan sering berharap dia dapat kembali kepada keluarga seirigalanya.

Pada tahun 2007, seorang pengarah filem iaitu Olivares mendapati cerita lelaki itu sangat menarik dan mula menjejaki Marcos di bandar Orense di wilayah Galicia. Untuk tempoh dua tahun seterusnya, Marcos telah bekerjasama dengan pengarah itu untuk menghasilkan filem mengenai kisah hidupnya yang berjudul Among Wolves. (sumber)

2. John Ssebunya

john ssebunya

Pengabaian John Ssebunya di hutan adalah disebabkan ibunya telah dibunuh pada tahun 1988. Pihak berkuasa percaya bahawa bapanya pula telah meninggal dunia dalam rusuhan awam yang berlaku di Uganda pada awal tahun 1990-an. Sekumpulan monyet hijau Afrika telah menemui John yang berusia tiga tahun ketika dia ditinggalkan.

Monyet-monyet itu telah menjadikan John sebagai salah satu daripada kawanan mereka sendiri. John telah mempelajari cara-cara monyet itu hidup dan mahir memanjat pokok. Dia hidup dengan memakan buah-buahan, kacang dan buah beri selama tiga tahun lamanya.

Pada tahun 1991, seorang wanita orang asli telah terlihat John sedang mencuri makanan mereka bersama-sama dengan monyet lain. Wanita itu kemudiannya telah melaporkan perkara itu kepada penduduk kampung. Ketika penduduk kampung menemuinya, John kelihatan takut dan mula melempar kayu ke arah mereka.

John juga cuba memanjat pokok agar tidak ditangkap penduduk kampung. Malah, keluarga monyetnya juga mempertahankan John dan menyerang penduduk yang cuba mendekati budak itu. Akhirnya, penduduk berjaya menghalau monyet-monyet itu dan menangkap John.

Pengurus Rumah Anak Yatim Kristian Kamuzinda akhirnya mengambil John untuk tinggal bersama keluarganya sendiri. John mula diajar bertutur dan cara-cara seorang manusia menjalani kehidupan. Apabila John mula boleh bercakap, pihak pengurusan rumah anak yatim itu terkejut apabila mendapati John memiliki suara yang sedap. Pada tahun 1999, John telah menyertai jelajah kumpulan koir kanak-kanak. (sumber)

1. Oxana Malaya

oxana malaya

Oxana bukanlah sepenuhnya kanak-kanak liar tetapi kanak-kanak yang terabai. Oxana Malaya banyak menghabiskan masa kecilnya antara usia 3 hingga 8 tahun tinggal di dalam rumah anjing di Novaya Blagobeschenka, Ukraine, walaupun kadang-kala dia tinggal di rumah orang tuanya yang mempunyai masalah ketagihan alkohol dan sering mengabaikannya.

Ibu bapanya yang mempunyai masalah itu tidak dapat menjaga Oxana dan dia dihalau dari rumah ketika berusia tiga tahun. Ketika itu dia tinggal di kejiranan miskin di mana banyak anjing-anjing liar berkeliaran di jalanan. Oxana telah berlindung di dalam rumah anjing di belakang rumahnya dan beberapa tempat lain.

Selain itu, dia juga dijaga oleh anjing-anjing liar ini dan Oxana mula berkelakuan seperti mereka. Oxana juga berjalan dengan empat kaki, menggaru, menghidu makanan, makan tanpa menggunakan tangan dan menyalak seperti anjing. Hubungan Oxana dengan anjing-anjing ini begitu akrab sehingga pihak berkuasa yang cuba menyelamatkannya dihalau oleh anjing-anjing itu.

Ketika Oxana berjaya diselamatkan, dia hanya tahu perkataan "ya" dan "tidak" sahaja. Dia juga didapati sukar untuk mempelajari kemahiran sosial dan emosi manusia yang normal. Dia mengalami kekurangan rangsangan intelektual serta sosial dan satu-satunya sokongan emosi beliau datang daripada anjing-anjing yang tinggal bersamanya.

Pada tahun 2010 ketika berusia 26 tahun, Oxana tinggal di rumah khas orang kurang upaya dari segi mental. Di situ dia telah membantu untuk menjaga lembu dan juga ladang rumah khas itu. Dia menyatakan bahawa dia paling gembira ketika berada bersama anjing-anjing. (sumber)

Sebenarnya, banyak lagi kisah kanak-kanak liar terbiar yang telah dijaga oleh haiwan sepanjang abad ini. Sedangkan haiwan sanggup berkongsi kasih menjaga kanak-kanak yang bukan dari spesies mereka atau anak mereka sendiri, mengapakah manusia yang mempunyai akal fikiran sanggup membiarkan anak mereka terabai.




Hakcipta iluminasi.com (2017)